14 Mei 2023, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 17 April 2023. Menerusi ucapan perasmian bersempena dengan majlis tersebut, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyampaikan beberapa amanat tentang usaha memperkasakan budaya ilmu, seperti bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang diumumkan sejurus selepas mengetuai tampuk kepimpinan negara.

Yang berikut merupakan inti pati ucapan Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa majlis pelancaran karya agung tersebut.

1.     YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Karyawan, YB Senator Datuk Seri Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, sasterawan-sasterawan negara (SN), YBhg. Datuk Seri A. Samad Said, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim, YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja- Raja, Ahli Jawantankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) serta pejuang-pejuang bahasa dan sastera.

2.     Saya berterima kasih apabila mendengar ucapan rakan-rakan sebentar tadi, terutamanya YB Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang sudah tentu menggunakan peluang untuk terus memperkasakan bahasa, sastera dan budaya.

Kelemahan Pemikiran Barat

3.      Kita terutamanya yang berpendidikan Barat, benar-benar mengenali tentang karya agung atau Great Books. Sebenarnya karya agung itu ialah warisan Barat yang disunting oleh Profesor Ulung Chicago Mortimer J. Yang menariknya, dalam kupasan Adler adalah mengenai “Kelemahan besar dalam tamadun Barat kini berlaku kerana terputusnya tradisi ilmu Barat daripada sejarah khazanah warisan Barat itu sendiri”. Dalam kesempatan ini, saya menekankan bahawa jika beliau menganggap diri itu sebagai cendekiawan Barat, sudah biasa dan serasi dengan pemikiran banyak tokoh yang terangkum dalam budaya ilmu Barat yang disebut dalam karya agung. Kemudian, Harold Bloom seorang Sarjana Kanan menulis tentang The Western Canon yang merumuskan semua karya yang dianggap sebagai karya utama di Barat. Beliau menyebut bahawa antara lain paksi daripada seluruh kekuatan budaya ilmu Barat itu (The Western Canon) ialah karya- karya William Shakespeare. Bab itu, saya setuju. Akan tetapi, ada nota kaki penting yang disebut, yang saya nukilkan dan masukkan dalam Gelombang Kebangkitan Asia (The Asian Renaissance), manakala Harold Bloom menyebut kelemahan dalam budaya ilmu Barat kerana meminggirkan tradisi Islam, dan kefahaman al-Quran. Dia menyebut bahawa, “Kegagalan menguasai al-Quran menyebabkan kelemahan ketara dalam kalangan pemikir Barat”.

4.      Semasa saya muda, saya terlibat dan diundang bersama-sama sarjana besar. Pada ketika itu, saya hanya sebagai pelajar. Semasa menjadi Presiden ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), saya hadir atas inisiatif Profesor A. K. Brohi yang disokong oleh Presiden Pakistan, Zia ul Haq pada ketika itu, dan beberapa perjumpaan pemimpin Islam yang turut dihadiri oleh Profesor Ismail al-Faruqi, Dr. Khurshid Ahmad dan beberapa orang sarjana, Amirullah Siddiqi dan beberapa sarjana besar dalam dunia Islam. Maka, saya pada masa itu terpanggil sama untuk menyertainya dan menghadiri mesyuarat itu berulang kali hingga pada tahun 1982 dan tahun 1983, iaitu semasa saya sudah menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Oleh itu, apabila saya pulang, saya menyatakan bahawa terdapat kelompangan vakum yang nyata dalam dunia Melayu. Anak- anak Melayu, graduan Melayu, siswazah dan cendekiawan tidak diperkenalkan dan dibentangkan dengan  khazanah dan budaya bangsa mereka sendiri. Oleh sebab itulah, saya mula menggagas Yayasan Karyawan. Walaupun pada peringkat itu sangat lemah kerana tiada sokongan langsung daripada pemerintah, tetapi saudara lihat perkembangan dari semasa ke semasa selepas itu, kita merasakan perlu untuk ditingkatkan. Maka itu, semasa menjadi Menteri Kewangan, saya tambah peruntukan supaya Yayasan Karyawan ini lebih berfungsi.

Penubuhan Yayasan Karyawan

5.      Selain DBP, Yayasan Karyawan ini tugas khususnya adalah untuk meningkatkan usaha, memperkenalkan kepada khalayak tentang karya-karya besar Melayu, walaupun pada ketika itu, saya memfokuskan usaha untuk melahirkan karya-karya agung Melayu yang bertaraf dunia. Namun begitu, kita mula dengan pemerkasaan budaya dengan memantapkan tradisi akliah dan juga tradisi ilmu. Itulah sejarahnya Yayasan Karyawan ini dan saya rasa walaupun ada sejarah yang disebutkan oleh Tan Sri Hamad Kama, tetapi yang paling berjasa dalam penubuhannya tentulah Allahyarham Dato’ Hasan Ahmad, mantan Ketua Pengarah DBP. Tatkala beliau ditugaskan sebagai Ketua Pengarah, beliau ada berhubung langsung dengan saya di Kementerian Kewangan untuk meminta beberapa sarjana besar termasuklah SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam soal penerbitan karya Hang Tuah, walaupun saya tidak setuju sepenuhnya dengan kata pengantarnya. Namun begitu, hal tersebut menjadi suatu tradisi yang sangat diperlukan bagi negara. Dalam budaya Cina, The Romance of Three Kingdoms, Lao Tzu, karya-karya LunYun, Konfusius, itu dijadikan karya- karya besar walaupun pada masa itu ada usaha dalam “Cultural Revolution” untuk memadamkannya, tetapi tetap kembali bersemarak. Sebagai contoh, karya Journey to the West, yang begitu terkenal dalam kalangan sarjana atau intelektual China.

Kebangkitan Melayu, Keutuhan Ekonomi, Inovasi dan Nilai Kemanusiaan dalam Gagasan Malaysia MADANI

6.      Dalam ucapan yang disebutkan, terdapat beberapa kisah dari The Romance of Three Kingdoms atau Journey to the West atau karya LunYun, Konfusius itu, khalayak umumnya mengetahui. Namun begitu, dalam soal kebangkitan Melayu atau ketuanan Melayu, dari segi pengisiannya kelihatan hambar. Tokoh-tokoh besar, pejuang-pejuang Melayu hampir tidak pernah membaca Sejarah Melayu ataupun Hikayat Hang Tuah, apalagi Sairus Salikin, Tajus Salatin atau Tuhfat al-Nafis hampir tidak dikenali. Oleh hal yang demikian, saya beri tugas besar untuk membangkitkan, membangunkan, memperkasakan bangsa yang harus berteraskan kekuatan bahasa, budaya dengan memunggah semula, menggali dan menghebahkan khazanah bangsa sendiri. Dalam hal ini, sudah tentu kita menilainya secara kritis.

Saudara,

7.      Dalam Gagasan Malaysia MADANI, saya juga melontarkan idea yang sama. Satu kesinambungan daripada pandangan saya, “Nahdah Asia” ataupun “Gelombang Kebangkitan Asia”, iaitu tonggak kekuatan, keutuhan ekonomi itu tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Sumbangan atau dana yang boleh diserahkan kepada Yayasan Karyawan atau DBP, Institut Terjemahan & Buku Malaysia itu kerana adanya keupayaan ekonomi, tetapi kekuatan ekonomi itu tidak akan menjamin kekuatan bangsa, negara dan tamadun tanpa usaha untuk memperkasakan bahasa, budaya dan keupayaan untuk menggali khazanah. Oleh sebab itu, dalam agenda MADANI ini, soal nilai itu penting. Kita mengupas semula maksud kemapanan itu berbeza daripada kelestarian (sustainability) dalam konteks yang sama. Dalam mengupas tentang inovasi, daya cipta yang tidak terikat kepada pendigitalan, tetapi sekali lagi memintas isu nilai dan akhlak. Soal ihsan, soal kemanusiaan, soal karamah insaniah itu lebih jelas dan mampu menjawab pandangan yang terlalu cetek untuk mempertahankan kepentingan kaum sehingga menenggelamkan soal nilai dan kemanusiaan kerana budaya bangsa, dan saya lihat Sairus Salikin itu kupasan tasawuf, berhujah mengenai bahaya kekeliruan pentaasub yang berpegang kukuh kepada pandangan. Walaupun dalam kalangan ahli Sufi, masih ada kelompok yang mempertahankan wahdatul-wujud dengan alasan mereka daripada karya-karya besar Ibnu Arabi dan Hamzah Fansuri yang kemudiannya diperkenalkan oleh Profesor Dr. Syed Mohamad Naquib al-Atas. Akan tetapi, perbahasan tentang wahdatul wujud, wahdatul syuhud dan bahaya pentafsiran yang agak ekstrem itu terus hidup dan segar dalam dunia Melayu yang secara sendirinya meletakkan fahaman yang lebih universal dan para ulama besar pada ketika itu hidup bukan sahaja berakar pada bumi Melayu, namun serasi dengan pemikiran ulama Islam antarabangsa.

Nilai Keadilan Umat

8.      Maka itu, kekuatan Abdul Samad Palembangi, seperti mana karya- karya besar yang lain ataupun terjemahan Aqaid An-Nasafi yang lebih awal dikupas. Sudah lama kita tidak berbicara tentang Abdul Samad Palembangi Maka itu, kita perlu fahami budaya kita. Baru-baru ini saya telah menulis, kebetulan dalam bahasa Inggeris tentang karya Daud Abdullah al-Fatani. Syeikh Daud Abdullah al- Fatani (1617), beliau menulis tentang Munyatul Musolli dan saya beberapa bulan ketika itu, yakni dalam ucapan saya, saya menghebahkannya kerana hampir semua pondok, pesantren di Tanah Melayu, Patani, Indonesia menjadikan karya tersebut sebagai bahan dan buku teks tentang solat wajib dan semua solat sunat.

9.      Namun begitu, yang menarik bagi saya, dalam kupasan Syeikh Daud Abdullah al-Fatani ini, iaitu bab terakhir Tatmim al-Faidah, maknanya penamat yang sangat berfaedah. Apakah maksudnya? Beliau berbicara tentang soal tatanegara, tata kelola dan keadilan. Keadilan bagi umat Islam dan keadilan bagi umat manusia. Misalnya, tentang seorang Yahudi yang menemui Khalifah Makmum, merayu kerana haknya dirampas dan Khalifah Makmum yang begitu sibuk tidak sempat melayaninya. Ketika itu, dia berkata, “Tanah saya dirampas, ya Amirul Mukminin!” Akan tetapi, baginda sibuk akan soal yang lain dan tidak mendengarnya. Kali kedua, baginda tidak juga mendengarnya dan kali ketiga, katanya, “Ya Amirul Mukminin, dalam kitab Taurat, saya menekankan hal ini!” dan barulah tersentuh perasaan Khalifah Makmum sehingga memberikan jaminan terhadap hak orang Yahudi yang memohon pertimbangan beliau dalam hal tersebut. Dalam hal ini, perkara yang ingin saya sebutkan ialah kekuatan ilmuwan silam yang kadangkala diremehkan oleh sarjana tempatan tanpa usaha, memahami dan menghadamkan karya-karya besar.

10.      Kitab Munyatul Musolli ialah kitab tentang fadilat solat. Tidakkah aneh kitab mengenai solat dan serba jenis solat sunat ditamatkan dengan kupasan penting tentang tata kelola, selain pimpinan yang harus adil, harus menolak kezaliman yang ditulis oleh al-Fatani walaupun seperti juga Abdul Samad tatkala berada di Timur Tengah? Oleh sebab itu, dalam majalah Critical Muslim,  saya tulis judulnya ialah Justice for a Praying Person maknanya seseorang yang sedang solat, tetapi baginya kaitan solat itu dengan soal keadilan dan soal tatanegara sangat penting. Walaupun tidak semestinya diamalkan begitu, tetapi itulah kekuatan para alim dan ilmuwan Islam yang patut kita hadam semula atau telaah supaya dapat menyampaikan mesej kepada masyarakat dan rakyat tempatan.

11.      Dalam menyempurnakan tugas kita sekarang, saya telah meminta rakan-rakan yang ada dan jemaah menteri keseluruhannya supaya melihat konsep MADANI ini sebagai satu konsep untuk mengangkat martabat dan harakat bangsa dan negara. Tentunya hal ini mengutamakan tonggak ekonomi, namun perlulah berbeza daripada ekonomi yang terlalu asyik dengan pertumbuhan angka dan data. Kita fokuskan ekonomi manusiawi. Jangan kita berbicara tentang soal pertumbuhan sampai mengetepikan soal nasib manusia yang melarat. Rakan-rakan bertanya dari manakah saya dapat idea untuk menekankan soal keadilan dan membebaskan rakyat daripada belenggu kefakiran dan kemiskinan dan agak keras dalam menentang penyelewengan dan rasuah? Saya fikir, tentunya daripada kefahaman saya sebagai seorang Muslim dan tentunya tercerap daripada karya-karya agung dunia.

Aspek Kemanusiaan dalam Karya Sastera

12.      Aspek kemanusiaan sangat tebal dan kuat walaupun ada kontroversinya dalam setiap karya. SN Datuk Seri Samad Said lebih tahu, kerana novel Salina suatu ketika dahulu pun agak kontroversi. Wira Bukit kurang kontroversi, namun Hujan Pagi itu mungkin terdapat sedikit polemiknya. Dalam hal ini, aspek kemanusiaan itu ditekan begitu sekali dengan sangat mengesankan. Bagaimanakah kita yang membaca dan menelaah daripada al-Quran kepada hadis hingga kepada karya besar sasterawan besar dan lain- lain, apabila kita diberi amanah untuk mentadbir, mengelola dan memimpin, semua aspek itu dikesampingkan? Ada yang menganggap bahawa jawatan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan dan menteri-menteri dan penguasa besar itu hanya kesempatan untuk memunggah kekayaan untuk diri, anak-anak dan menantu. Oleh sebab itu, saya bertekad untuk berkeras dalam hal ini dengan menghentikan budaya ini, tanpa mengira mana-mana kelompok, parti dan kaum. Negara ini mesti diselamatkan daripada rompakan besar oleh pemimpin-pemimpin negara. Sudah tentu, untuk tugas besar ini kita perlu menghadapi risikonya. Jika tidak, apakah maknanya kita membaca Sairus Salikin? Apakah maknanya yang memberikan kekuatan tasawuf dengan mengenal diri sebagai makhluk terhadap Khaliknya? Apakah makna membaca Iskandar Zulkarnain yang juga dari segi karya Melayu itu yang berteraskan al-Quran? Mesejnya begitu universal. Orang Melayu tidak pernah diajar dan dilatih terutamanya daripada karya-karya besar dan mereka terperangkap di bawah tempurung perkauman yang sempit. Semua karya tersebut bersifat universal sifatnya. Saya beri beberapa contoh, karya kecil, nipis oleh Syeikh Daud Abdullah al-Fatani umpamanya, yang membicarakan soal solat, keadilan yang universal, seperti yang saudara-saudara lihat.

Tugas Besar Menggalas Kelangsungan Bangsa

13.      Kita ada tugas yang Pertamanya untuk menggali sumber-sumber ini. Terima kasih kepada kawan- kawan yang terus tekun untuk menghasilkan karya-karya ini dan menterjemahkannya. Seterusnya, mempopularkannya dan ini juga merupakan tugas besar. Ini tugas YB Fadhlina Sidek. Maka itu, saya lantik beliau sebagai Menteri Pendidikan. Saya bangga dengan anak-anak muda yang berada dalam barisan menteri kabinet. Kita tidak mahu Yayasan Karyawan ini hanya berlegar dalam kalangan elit yang memenuhi susunan buku mereka di perpustakaan peribadi. Mereka juga tidak pernah membaca karya-karya tersebut. Oleh itu, harus ada program daripada Yayasan Karyawan dan DBP, serta Institut Terjemahan & Buku Malaysia yang harus menggalakkan tradisi kupasan buku ini seperti Sasterawan Negara yang sering turun ke lapangan. Saya masih ingat, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah, dalam soal bahasa, beliau sentiasa merencanakan usaha berkaitan dengan bahasa dalam kalangan pelajar, mahasiswa dan graduan dan masyarakat. Saya, insya-Allah akan beri apa-apa sahaja sokongan yang perlu, kerana bagi saya, ini soal kelangsungan bangsa. Kelangsungan bangsa ini tidak hanya berlaku dengan kekuatan ekonomi, namun dari segi tata kelola, kelangsungan bangsa ini termasuklah dengan mengekalkan satu tradisi baharu, iaitu tradisi sebenar, yang boleh dibanggakan oleh orang Melayu dengan melibatkan pimpinan yang bersih dan bertanggungjawab serta memahami erti pembangunan dan pemerkasaan budaya bangsa dia sendiri.

14.      Untuk menjadi seorang warganegara dan cendekiawan, saya percaya akarnya tentulah melibatkan elemen sastera kebudayaan Melayu, budaya dunia, Islam dan budaya lain kerana kita hidup dalam masyarakat kosmopolitan yang harus menunjukkan keupayaan kita dalam memahami budaya dan tamadun yang lain. Dalam Belanjawan Malaysia MADANI yang lepas, sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk pengembangan bahasa dan sastera. Yayasan Karyawan telah memohon sebanyak RM3 juta secara khusus untuk kegiatan tahunan dan saya meluluskannya. Saya juga menyediakan RM2 juta tambahan untuk menerbitkan dan menyebarluaskan karya-karya Sasterawan Negara. Saya berharap agar dana kecil, RM25 juta yang diperuntukkan pada tahun ini sebagai permulaan untuk mengangkat karya DBP dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia ini dapat diselaraskan. Hindarilah daripada kerja dalam budaya silo atau bekerja dalam komuniti sendiri. Saya tahu tentang fahaman ini. Oleh itu, kita mohon Menteri Pendidikan untuk membantu menyelaraskan keutamaan DBP, Institut Terjemahan & Buku Malaysia dan Yayasan Karyawan.

15.      Selain itu, saya hanya mohon pandangan, teguran, kritikan saudara- saudara dan juga cadangan-cadangan untuk kita mempertingkatkan usaha memartabatkan bahasa dan mengangkat budaya dengan usaha menggali khazanah bangsa itu sendiri.

16.      Sekarang, kita diberi amanah dan tanggungjawab yang Apakah lagi langkah yang perlu untuk memartabatkan bahasa di negara kita? Apakah lagi yang perlu dilakukan untuk memantapkan penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar dan rakyat umumnya? Kemudian, apakah lagi yang harus kita lakukan untuk menjadikan selain perkara yang saya sebut tentang teknologi digital, ekonomi baharu dan memartabatkan budaya melalui sastera agar mampu menjadi khazanah bangsa? Maka itu, inilah tugas dan usaha yang perlu kita renung, kemukakan pandangan dan saya ambil sikap yang sangat terbuka, iaitu apa- apa sahaja yang baik, yang mampu kita lakukan, insya-Allah saya akan lakukan sebaik-baiknya.

17.      Pada hari ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan terutamanya mereka yang telah berusaha dan berikhtiar demi menjayakan hasil karya agung Sairus Salikin dan juga Hikayat Iskandar Zulkarnain. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan segala sukacitanya melancarkan dua karya agung Melayu, Sayr al-Salikin dan juga Hikayat Iskandar Zulkarnain.

Demikianlah inti pati ucapan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa pelancaran Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.