Oleh Sakinah Sahwati
30 Mei 2023, 14:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Catuan merujuk kawalan terhadap pengagihan sumber yang terhad, barangan makanan, pengeluaran perindustrian dan sebagainya.

Dalam institusi perbankan, catuan kredit merupakan situasi apabila bank mengehadkan bekalan pinjaman terhadap pengguna. Dalam ekonomi pula, catuan merujuk kawalan buatan terhadap penawaran dan permintaan komoditi.

Mengapakah catuan dilakukan? Menurut The Economic Times, catuan adalah untuk memastikan pengagihan sumber yang betul tanpa sebarang pembaziran yang tidak diingini. Bank melaksanakan catuan kredit adalah untuk mengawal pemberian pinjaman di luar asas kewangan bank. Selain itu, catuan adalah usaha untuk mengawal harga dan permintaan serta penawaran yang membawa kepada ketersediaan barangan dan perkhidmatan untuk setiap bahagian masyarakat.

Banyak pihak melihat catuan dari pelbagai dimensi yang berbeza. Semasa Perang Dunia Kedua, catuan bertujuan untuk mengawasi kawalan harga barangan. Pada ketika itu, Officer of Price Administration (OPA), di Amerika Syarikat menetapkan peraturan yang amat rumit untuk mencatu segala-galanya, iaitu daripada daging lembu kepada gula dan daripada gula kepada kasut. Dalam proses itu, banyak syarikat dipersalahkan dan menjadi tumpuan untuk melepaskan kemarahan rakyat yang tidak berpuas hati dengan catuan yang dilaksanakan.

Kesan daripada catuan yang menghimpit peniaga dan pembeli, pasaran gelap berkembang dengan pesat dan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Walaupun pelbagai kerumitan dan rungutan dilontarkan, kebanyakan rakyat Amerika Syarikat tetap mengakui bahawa catuan adalah satu daripada usaha penting dalam menangani perang yang sedang melanda sambil menyatakan bahawa, “catuan merupakan pengorbanan yang perlu tetapi tetap dibenci”.

Hal ini dikatakan demikian kerana, pada ketika itu, walaupun kawalan harga adalah bertujuan untuk mengawal inflasi, tetapi matlamat utama catuan adalah untuk mengagihkan barangan yang terhad secara adil. Pegawai OPA, E.W. Eggen meletakkan isu ini secara praktikal semasa beliau menjadi tetamu dalam rancangan radio KGW 1943 di Portland dengan menyatakan bahawa; “Andaikan permintaan untuk kopi melebihi bekalan dan tiada catuan, yang akan berlaku ialah pengunjung yang sampai ke kedai runcit terlebih dahulu akan mendapat kopi dan pengunjung yang tiba lewat tidak akan mendapat apa-apa. Hal ini bermaksud wanita yang bekerja di kilang dan tidak mempunyai masa untuk membeli bekalan makanan pastinya tidak akan dapat membeli kopi kerana bekalan yang ada sudah habis dibeli oleh pengunjung yang lain. Prinsip yang sama juga akan terpakai terhadap barangan lain seperti tuala, cadar, kasut, pakaian, dan segala jenis komoditi lain di mana kekurangan mungkin berlaku kerana dimonopoli oleh sesetengah pelanggan. Dalam hal ini, catuan pada dasarnya dilihat sebagai bersifat demokratik.

Peraturan pelaksanaan catuan di Amerika Syarikat berubah dari semasa ke semasa, tetapi tetap dipenuhi dengan kerenah birokrasi apabila kupon mula diperkenalkan, sijil setem, pelekat dan sistem pertukaran mata. Pada ketika itu, gula menjadi barangan pertama yang dicatu di seluruh Amerika Syarikat pada Mei 1942 dan diikuti dengan kopi.

Gula menjadi barangan utama dicatu ketika Perang Dunia Pertama.

Pada hari ini, meskipun hampir 80 tahun Perang Dunia Kedua berakhir, catuan masih menjadi pilihan banyak negara dalam usaha mengawal ketidaktentuan ekonomi yang melanda dunia. Walau bagaimanpun, sumber makanan bukan lagi dijadikan barangan catuan utama yang memerlukan kawalan, tetapi telah beralih kepada sumber tenaga seperti elektrik yang menjadi keperluan utama masyarakat dunia.

Pada hakikatnya, kadar penggunaan tenaga elektrik secara global berterusan meningkat di seluruh dunia dan majoriti tenaga ini dijana melalui pembakaran bahan api fosil seperti arang batu dan minyak. Walau bagaimanapun, penggunaan sumber tenaga bersih sedang ditingkatkan oleh banyak negara lebih-lebih lagi ketika dunia sedang menangani kesan perubahan iklim. Tenaga boleh diperbaharui, seperti nuklear dan sumber bukan bahan api fosil kini semakin meningkat dalam penggunaan tenaga global.

Bilangan negara yang menggunakan bahan api fosil secara eksklusif telah berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kebanyakan negara kini mengutamakan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan pergantungan mereka terhadap bahan api fosil yang bersifat tidak mesra alam. Maka itu, sumber tenaga boleh diperbaharui seperti  angin, solar dan kuasa hidro diramalkan akan menyumbang lebih separuh daripada pengeluaran elektrik di seluruh dunia menjelang tahun 2035.

Sebagai rekod, yang berikut lima buah negara yang paling tinggi penggunaan elektrik yang disenaraikan oleh NS Energy, iaitu China, Amerika Syarikat, India, Rusia dan Jepun.

Keperluan tenaga elektrik semakin meningkat di serata negara.

China telah mendahului senarai dunia dalam penggunaan elektrik dengan menggunakan lebih daripada 6.3 trilion kilowatt tenaga sejam setiap tahun. Negara tersebut didakwa merupakan pengeluar dan pengguna arang batu terbesar dunia. Namun begitu, China telah mengalihkan tumpuannya kepada penggunaan gas asli dan sumber boleh diperbaharui sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, Amerika Syarikat menduduki tempat kedua dalam senarai penggunaan tenaga elektrik di dunia dengan penggunaan lebih daripada 3.9 trilion kilowatt sejam (kWj) setiap tahun. Penggunaan elektrik di negara itu dilaporkan telah melonjak 13 kali ganda sejak tahun 1950 dan penggunaan tersebut diramalkan akan terus meningkat dalam beberapa dekad akan datang.

Sebagai negara kedua dunia dengan populasi teramai di dunia, India berada pada kedudukan ketiga dengan 1.54 trilion kWj dalam masa setahun. Kadar penggunaan tenaga elektrik di negara ini dijangkakan akan mencecah 4 trilion unit menjelang tahun 2030. Sektor tenaga elektrik negara ini telah didominasi dengan penggunaan bahan api fosil, khususnya arang batu. Kerajaan India sedang berusaha untuk meningkatkan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dengan sasaran kapasiti 175 GW.

Kadar penggunaan tenaga elektrik di Rusia telah meletakkan negara ini pada kedudukan keempat dengan penggunaan 1.06 trilion kWj setahun. Rusia mempunyai sumber tenaga yang banyak dan mempunyai rizab gas asli terbesar yang dikenali dunia. Negara ini merupakan pengeluar minyak terbesar dalam kalangan negara bukan OPEC dan kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi. Sebagai satu daripada 10 pengeluar dan pengguna arang batu di dunia, Rusia telah melakukan usaha besar untuk pelaburan bagi tenaga boleh diperbaharui dengan lebih meluas walaupun terdapat dominasi penggunaan bahan api fosil dalam campuran tenaganya.

Jepun merupakan negara kelima dengan kadar penggunaan tenaga elektrik tertinggi di dunia, iaitu 0.93 trilion kWj setiap tahun. Negara tersebut telah lama menjadi pengguna utama serta pengimport tenaga. Jepun juga merupakan pengguna minyak ketiga dan pengguna arang batu keempat terbesar di dunia.

Jepun mempunyai grid timur dan barat yang berasingan, tidak seperti kebanyakan negara perindustrian lain yang biasanya mempunyai satu grid nasional tunggal sahaja.

Selepas bencana nuklear Fukushima Daiichi pada Mac 2011, Jepun telah mengalami peningkatan drastik dalam penggunaan elektrik dan penghasilannya. Negara ini banyak bergantung pada tenaga hidroelektrik storan pam untuk mengimbangi permintaan dan bekalan.

Meskipun Malaysia tidak tersenarai dalam negara tertinggi penggunaan tenaga elektrik, namun Malaysia memerlukan perancangan yang rapi dan terperinci dalam usaha mempertingkat sumber bahan api fosil atau mempersiapkan negara ini untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui seperti sumber bukan bahan api fosil dengan mempertingkat pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui yang mesra alam.

Usaha ini penting bukan sahaja untuk bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan, tetapi dapat menjadi usaha awal dalam memastikan catuan bekalan elektrik tidak lagi dilaksanakan yang bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian rakyat, malah kerugian yang terpaksa ditanggung oleh industri.

Bermula April lalu catuan elektrik terpaksa dilaksnakan di negeri Sabah. Meskipun banyak usaha telah dilakukan, tetapi catuan merupakan pilihan utama Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dalam usaha menampung permintaan yang tinggi terhadap sumber elektrik di negeri itu susulan fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Menurut SESB menerusi kenyataan medianya  memaklumkan bahawa catuan bekalan elektrik yang dilaksanakan di beberapa daerah secara bergilir-gilir adalah bertujuan untuk menstabilkan sistem grid elektrik di negeri tersebut yang seterusnya mengelakkan keseluruhan Sabah mengalami gangguan bekalan.

Tambah kenyatan itu lagi, pemintaan bekalan elektrik pada waktu puncak untuk Sabah adalah sekitar 970 megawatt (MW), walau bagaimanapun, pada 26 April lalu negeri tersebut telah mencatat permintaan paling tinggi untuk tahun ini, iaitu 1029MW.

“Keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini secara tidak langsung telah meningkatkan permintaan tertinggi tenaga elektrik. Kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sabah secara amnya boleh menampung jumlah permintaan tersebut. Bagaimanapun baru-baru ini terdapat beberapa loji penjanaan telah mengalami masalah di luar jangka menyebabkan loji-loji tersebut tidak dapat menjana tenaga elektrik untuk memenuhi permintaan grid (elektrik) Sabah.” Ujar kenyataan yang dikeluarkan SESB.

Selain catuan bekalan elektrik, negara pada tahun 1997 dan tahun 2014 pernah melaksanakan catuan air terawat di beberapa buah negeri bagi mengawal penggunaan sumber air mentah terutama ketika tahap takungan air di empangan berada pada paras kritikal akibat cuaca kemarau yang panjang.

Ada pihak yang melihat catuan bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan terhadap kekuarangan bekalan elektrik atau air daripada menjadi lebih teruk, tetapi dapat dijadikan sebagai langkah yang berkesan untuk mendidik pengguna untuk menghargai keperluan elektrik dan air yang pada akhirnya dapat meningkatkan kesedaran rakyat terhadap krisis dua sumber penting dalam kehidupan itu.

Ketika negara sedang menggapai status negara maju, catuan keperluan asas seperti elektrik dan air sepatutnya menjadi catuan terakhir untuk dilaksanakan. Kerajaan seharusnya merangka pelan utama jangka masa panjang untuk kedua-dua sumber utama ini. Pelan tersebut perlu memastikan bahawa Malaysia sudah memiliki persiapan dalam menjana tenaga boleh diperbaharui yang tidak lagi bergantung 100 peratus pada bahan api fosil sperti arang batu dan minyak untuk membekalkan tenaga letrik. Hal yang demikian juga dengan bekalan air terawat yang boleh menampung keperluan rakyat meskipun kemarau melanda negara.

Mungkin kita perlu belajar daripada kesungguhan Singapura sebagai negara pulau kecil yang tidak memiliki sumber air semula jadi secukupnya dan selama ini amat bergantung pada sumber bekalan air dari Malaysia. Negara itu kini sudah bersiap sedia memelopori kaedah moden memproses air sisa kumbahan kepada air yang selamat untuk digunakan.

Hasil kitar semula air tersebut dipercayai akan dapat memenuhi sebanyak 40 peratus daripada kegunaan air rakyat Singapura sekarang (5.7 juta orang) dan dijangkakan bakal meningkat sehingga 55 peratus penggunaan air pada tahun 2060.

Benar, catuan dapat dijadikan penyelesaian jangka pendek kepada sebarang gangguan sumber air atau elektrik, namun untuk tempoh jangka panjang, catuan bukanlah penyelesaian terbaik, selain menyusahkan rakyat dan merugikan pelbagai industri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.