14 Jun 2023, 18:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) menyambut ulang tahun ke-20 dengan mengadakan persidangan antarabangsa, iaitu SIC 2023 dengan tema “Building Digital Resilience Preventing and Countering Violent Extremism (PCVE)”. Persidangan ini diadakan pada 13 Jun hingga 15 Jun 2023 dengan pelibatan sebanyak 150 peserta dan delegasi pelbagai negara. Persidangan sepanjang dua hari setengah ini menampilkan lima orang panel perbincangan.

Dalam ucap utama Dato’ Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Luar Negeri yang dibacakan oleh Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri, menekankan bahawa pentingnya untuk memahami faktor penggunaan platform digital oleh kumpulan ekstremisme ganas dan mekanisme yang boleh diambil untuk memeranginya.

Antara faktor ideologi ekstremisme ganas terus mencambah termasuklah penguasaan digital oleh kumpulan pengganas dan pelampau dalam menyebarkan propaganda mereka sehingga menimbulkan semangat berpuak-puak yang memecahbelahkan. Mereka juga boleh menyesuaikan diri dengan teknologi terkini dalam mencapai objektif mereka.

Selain itu, anonimiti di ruang digital memungkinkan pengguna untuk membina akaun tanpa identiti mereka diketahui. Bukan itu sahaja, retorik yang digunakan oleh kumpulan tersebut juga sering kali mengeksploitasi isu-isu semasa seperti politik, ekonomi dan ketidakadilan sosial. Retorik ini digunakan untuk memecahbelahkan, menyemai ketakutan dan mempromosikan naratif “kita lawan mereka”.
Seterusnya, kumpulan pengganas juga menggunakan medium yang pelbagai dalam penyebaran ideologi seperti permainan video, kuiz dalam talian, serta cabaran media sosial.

SEARCCT berperanan untuk melaksanakan program latihan, bina upaya, penyelidikan dan kesedaran awam dalam bidang mencegah keganasan. Semenjak penubuhannya pada tahun 2003, SEARCCT telah memperoleh pelbagai pengalaman melalui penganjuran lebih daripada 320 program. Program ini telah memanfaatkan lebih 13 500 peserta tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai sektor termasuklah kerajaan, penguatkuasaan undang-undang, akademia, media dan organisasi masyarakat sivil.

Sebagai pra-acara kepada SIC 2023, diadakan Bengkel Serantau bertajuk “Sharing Together for Online Resilience Among Youth’ (STORY)”pada 10 hingga 12 Jun 2023. Bengkel STORY ini melibatkan belia dari rantau Asia Tenggara bagi mempromosikan pelibatan belia dalam usaha pencegahan keganasan. Daya tahan digital dapat dibina melalui penggunaan platform dalam talian secara kritis serta pengamalan etika digital yang baik dalam mewujudkan aspirasi MADANI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.