17 Ogos 2023, 09:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 telah melabuhkan tirainya. Dari Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan, kumpulan jurufoto Bahagian Multimedia, Dewan Bahasa dan Pustaka, yang terdiri daripada Mohd Farid Janudin, Mohamad Adib Zulkifli, dan Khairul Azhar Baharuddin telah berjaya merakamkan warna-warni PRU DUN di enam buah negeri yang terlibat.

Lensa PRN JendelaDBP mula merakamkan detiknya pada Hari Penamaan Calon (29 Julai 2023); Hari Mengundi Awal (8 Ogos 2023) dan Hari Mengundi (12 Ogos 2023). Tidak hanya itu, sepanjang tempoh 14 hari berkempen, lensa PRN JendelaDBP turut berada di lapangan untuk merakamkan “perang” bendera; jelajah kempen dari rumah ke rumah; ceramah perdana; persiapan penuh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum hari mengundi; dan pengumuman keputusan PRU DUN di negeri masing-masing.

Meskipun keputusan PRU DUN Ke-15 sudah dinoktahkan, namun perjalanan pilihan raya pada kali ini masih menjadi perbualan. Berikut dikongsikan lensa JendelaDBP yang menjadi kenangan yang membawa banyak kisah dan cerita bukan sahaja kepada calon dan parti yang bertanding, tetapi kepada seluruh rakyat di negara ini.

Petugas SPR memerhatikan seorang anggota tentera menunaikan tanggungjawabnya sebagai Pengundi Awal dengan mengundi di Depot Bekalan Pusat, Kor Perkhidmatan Diraja Batu Caves, Selangor.
Anggota tentera menunjukkan dakwat kekal pada jari selepas membuang undi pada proses Pengundian Awal, di Depot Bekalan Pusat, Kor Perkhidmatan Diraja Batu Caves, Selangor.
Pada 8 Ogos 2023, sebahagian daripada anggota tentera menunggu giliran untuk membuang undi pada proses Pengundian Awal, di Depot Bekalan Pusat, Kor Perkhidmatan Diraja Batu Caves, Selangor.
Perang bendera parti Pakatan Harapan (Barisan Nasional) dan Perikatan Nasional, di Jalan Sungai Pusu, Gombak, Selangor, memeriahkan lagi suasana PRU DUN Ke-15 Selangor.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berucap di hadapan ratusan pengundi pada Grand Finale Kita Selangor bersempena dengan kempen PRU DUN Ke-15 Selangor, di Taman Keramat AU2, Selangor.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkempen pada majlis Grand Finale Kita Selangor, di Taman Keramat AU2, Selangor.
Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, berucap pada ceramah Grand Finale Kita Selangor, di Taman Keramat AU2, Selangor.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, diiringi Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ketika hadir pada Majlis Pengumuman Keputusan Rasmi PRU DUN Ke-15 bagi enam buah negeri di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Penyokong Perikatan Nasional yang hadir pada ceramah Grand Finale PN Selangor di Padang Awam Fasa 5, Taman Melawati, Selangor.
Pengundi mencelup jari pada dakwat kekal pada hari mengundi bersempena dengan PRU DUN Ke-15, di SJKC Selayang Baru, Selangor.
Pengundi muda, (dari kiri) T. Premalatha, Nur Azila Kamarudin dan Wong Ho Yee menunjukkan dakwat kekal pada jari masing-masing selepas menunaikan tanggungjawab membuang undi di SJKC Selayang Baru, Selangor.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan dalam Majlis Pengumuman Keputusan Rasmi PRU DUN Ke-15 bagi enam buah negeri, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Antara pengundi yang membuang undi bersempena dengan PRU DUN Ke-15 Kelantan, di SMK Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakub menunjukkan dakwat kekal pada jarinya selepas membuang undi di SMK Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.
Seorang warga emas berkerusi roda dibantu oleh ahli keluarganya ketika hadir untuk membuang undi di SMK Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.
Pasar Siti Khadijah turut menjadi tumpuan parti yang bertanding pada PRU DUN Ke-15 Kelantan.
Kibaran bendera Barisan Nasional dan poster calon MUDA dipasang bagi merancakkan lagi kempen PRU DUN Ke-15 Terengganu, di perairan Pulau Warisan, Kuala Terengganu.

 

“Perang” bendera bersempena dengan PRU DUN Ke-15 Terengganu, di perairan Pulau Warisan, Kuala Terengganu.
Kibaran bendera PAS pada waktu senja di Terengganu.
Seorang penunggang basikal sedang memerhatikan kibaran bendera parti yang bertanding pada PRU DUN Ke-15 Pulau Pinang, di DUN N28 Komtar.

 

Orang ramai beratur menunggu giliran untuk membuang undi pada hari mengundi bersempena dengan PRU DUN Ke-15 Kedah, di Sekolah Kebangsaan Bandar Beris Jaya, Sik, Kedah.
Petugas SPR dan anggota Polis membantu seorang warga emas berkerusi roda pada hari mengundi bersempena dengan PRU DUN Ke-15 Kedah, di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya, Sik.
Seorang pengundi warga emas dibantu oleh petugas SPR semasa membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bandar Beris Jaya, Sik, Kedah.

 

“Saya sudah mengundi”- Mohd Nor Taib, berusia 82 tahun. Beliau yang merupakan ayah kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, menunjukkan dakwat kekal pada jarinya selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bandar Beris Jaya, Sik, Kedah.
Reaksi calon DUN Gurun, Baddrol Bakhtiar, yang juga bekas pemain bola sepak profesional semasa pengumuman keputusan PRU DUN Ke-15 Kedah, di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.
Seorang wanita selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Bandar Beris Jaya, Sik, Kedah. Beliau hadir ke pusat pengundian dengan membawa bayinya.
Kibaran bendera Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional menghiasi sebuah jeti di Pulau Pinang.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.