25 Ogos 2023, 23:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof

Program Sepatah Selidah: Bicara Merdeka Karyaseni dan DBP berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan.

Kuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, Penerbit Karyaseni Sdn. Bhd. dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Program Sepatah Selidah: Bicara Merdeka Karyaseni dan DBP, hari ini.

Program yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP ini menampilkan kehadiran penulis buku Somalia Belang Harimau Besi, Dato’ Mohd Halim Khalid, penulis novel Black Ghost: #Megat Adri, Puan Lily Haslina Nasir dan penulis novel Black Ghost: #Umaralhaidar, Puan Rose Harissa, manakala Rose Haslindar Nasir sebagai moderator.

Dato’ Mohd Halim menjelaskan bahawa timbul kesedaran dalam dirinya untuk menghasilkan penulisan sehingga terbitnya novel genre ketenteraan oleh DBP pada tahun 2021 ini disebabkan kebiasaannya pihak ketiga yang menulis buku berkisarkan ketenteraan. Sekiranya penulis sepertinya tidak menghasilkan karya, maka pengalaman berkaitan dengan sesuatu peristiwa yang dialami oleh tentera sepertinya sudah tentu tidak dapat dihasilkan dan disebarkan kepada orang ramai.

Dato’ Mohd Halim Khalid, penulis buku Somalia Belang Harimau Besi merupakan pegawai Angkatan Tentera Malaysia yang terlibat dalam misi keamanan yang ditugaskan di Somalia.

Proses menulis atau menjalankan amanah sebagai anggota keselamatan, kedua-duanya mempunyai tahap kesukaran yang berbeza-beza, namun menuntut semangat yang tidak boleh pudar.

Sebagai anggota, mesti sentiasa bersedia, mematuhi arahan, memiliki semangat yang tinggi, tiada pilihan untuk enggan atau bersetuju. Tanggungjawab wajib ditunaikan demi negara.

Menulis pula menuntut semangat yang tinggi, cabaran menghidangkan pengalaman yang dijalinkan dengan fakta. Sebagai penulis, perkara ini bagaikan ‘berperang’ dengan dirinya sendiri untuk melonjakkan atau melontarkan pemikiran dalam penulisan.

Lily Haslina Nasir, penulis novel Black Ghost: #Megat Adri.

Lily Haslina Nasir, penulis prolifik tidak asing lagi dalam genre novel negara ini berkongsikan pengalaman yang amat bermakna buat dirinya apabila pegawai tentera memberikan kerjasama dalam usaha melakukan penyelidikan, seterusnya berjaya menghasilkan penulisan genre ketenteraan di negara ini. Menerusi hasil kerjasama ini, penulis sepertinya berjaya merakamkan kisah di sebalik perit-jerih, darah dan air mata dunia ketenteraan.

Puan Rose Harissa, penulis novel Black Ghost: #Umaralhaidar.

Bagi penulis bersama, Rose Harissa pula sebagai orang awam yang jauh sekali dengan alam ketenteraan sudah tentu menuntut semangat dan kesabaran yang tinggi dalam perancangan dan penyelidikannya untuk menghasilkan genre penulisan berkaitan dunia ketenteraan.

Menurut beliau, sumber buku, risalah, jurnal, malah filem juga boleh membantu seseorang penulis menjayakan projek penulisannya, di samping dapat meraih pengalaman terus daripada tokoh atau individu berkaitan.

Untuk rekod, Dato’ Halim Mohd. Halid Halim merupakan seorang daripada pegawai Angkatan Tentera Malaysia yang terlibat dalam misi keamanan yang ditugaskan di Somalia. Menerusi buku berjudul, Somalia Belang Harimau Besi yang ditulis oleh beliau sendiri merupakan rakaman peristiwa sejarah pertempuran yang dialami olehnya dan anggota-anggotanya. Peristiwa ini turut menjadi inspirasi kepada penghasilan filem oleh Amerika Syarikat yang berjudul, Black Hawk Down (2001).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.