31 Ogos 2023, 12:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur –  Minda Majlis Profesor Negara bersiaran lagi bagi meraikan hari kebangsaan yang akan disambut oleh rakyat Malaysia pada 31 Ogos 2023. Program kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini diadakan secara dalam talian menjelang satu hari sebelum negara meraikan hari kebangsaan. 

Dengan tajuk perbincangan “Patriotisme Generasi Muda” menampilkan tiga orang panel iaitu YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong dari Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Felow Majlis Profesor Negara (MPN); Encik Abdul Ghani bin Abu, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP dan Dr. Azizul bin Ismail, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP. Manakala moderator dalam program ini ialah Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow MPN.

Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong menyatakan dengan tegas bahawa anak muda pada hari ini sememangnya memiliki patriotisme yang tinggi sehingga dalamnya penghargaan kepada semangat cintakan negara dan meraikan kepelbagaian, golongan ini secara terbuka telah mewujudkan keharmonian linguistik atau dengan kata lain merojakkan bahasa atau mencampuradukkan bahasa demi untuk memperlambangkan kesatuan perpaduan Malaysia yang terdiri daripada rakyat yang majmuk.

Tambah beliau,

Tidak kira etnik dan generasi dalam negara ini, suasana ini cukup begitu diraikan khususnya memghubungkan dengan patriotisme. Malaysia yang berada pada kedudukan ke-18 negara yang aman di dunia, tidak bermakna Malaysia tidak berdepan dengan cabaran yang boleh menggugat keharmonian negara.

Menyentuh berkaitan dengan Rukun Negara,  Prof. Emeritus Teo menegaskan bahawa tahap rakyat Malaysia untuk  memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara ini perlu dipertingkatkan lagi.

Tahap tersebut merupakan pertama, melafazkan ikrar; kedua, mempertingkatkan kefahaman kepada setiap prinsip dan penghayatan serta ketiga melaksanakan dalam kehidupan seluruh rakyat negara ini.

Pada prinsip pertama contohnya beliau berkongsikan tentang bagaimanakah setiap warganegara Malaysia difahamkan tentang konsep bahawa setiap rakyat memiliki unsur pedoman.

Daripada pedoman tersebut, mereka akan memahami perkara baik yang boleh dilakukan serta turut menanamkan nilai kesyukuran bahawa negara ini aman, berjaya dalam pelbagai bidang dan pencapaian, serta dalam pembinaan negara bangsa.

Beliau turut mencadangkan Pendidikan Silang Budaya diperkenalkan, agar setiap rakyat akan lebih saling memahami dan meraikan kepelbagaian antara satu sama lain dengan lebih luas dan tersusun.

Pada hujung perkongsian, Prof. Teo merumuskan bahawa usaha bagi memperkukuh serta penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara mesti diteruskan oleh semua pihak agar hasrat merealisasikan aspirasi memajukan negara dengan mengekalkan sistem Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen terus dipertahankan.

 

Majlis Profesor Negara dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan program “Patriotisme Generasi Muda” yang diadakan secara dalam talian.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.