Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHangzhou – Kejayaan dua atlet muda negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy membuktikan bahawa masa depan sukan olahraga Malaysia kini melonjak ke satu tahap baharu bertaraf Asia.
Azeem yang berusia 19 tahun, menggegarkan trek Stadium Olimpik Hangzhou semalam dengan meraih pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou di China dalam acara 100 meter (m) menerusi catatan masa 10.11 saat (s).
Atlet dari Teluk Intan, Perak itu tewas kepada pemenang pingat emas dari China, Xie Zhenye selepas merekodkan catatan 9.97 s dan jaguh pecut Thailand berusia 17 tahun, Puripol Boonson yang memenangi perak menerusi masa 10.02 s.
Walaupun Azeem gagal memecahkan rekod 100 m kebangsaannya, 10.09 s yang dilakukan di Cali, Colombia tahun lalu tetapi pencapaian penuntut Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat itu amat bermakna kerana menamatkan kemarau lebih empat dekad kem olahraga negara.
Kejayaan ini meleraikan penantian 41 tahun untuk melihat wakil Malaysia menaiki podium 100 m di pentas Sukan Asia sejak legenda negara, Datuk Rabuan Pit menjuarai acara “riben biru” berkenaan pada edisi tahun 1982 di New Delhi, India.
Sebelum Azeem, Shereen terlebih dahulu melakar kegemilangan apabila mengotakan janjinya untuk memenangi pingat dengan meraih tempat ketiga final 400 m wanita menerusi catatan 52.58 s semalam.
Atlet profesional berusia 25 tahun yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu tewas kepada dua pelari Bahrain, Oluwakemi Mujidat Adekoya dan Salwa Eid Nasser, masing-masing meraih emas serta perak menerusi catatan 50.66 s dan 50.92 s.
Menariknya, Shereen juga menamatkan penantian 45 tahun Malaysia dalam acara itu di temasya Sukan Asia selepas kali terakhir Saik Oik Cum memenangi pingat emas di Bangkok, Thailand pada tahun 1978.
Lebih membanggakan apabila Shereen kini mengikut jejak ibunya, Josephine Mary Singarayar sebagai antara pemenang pingat dalam Sukan Asia selepas meraih gangsa 800 m edisi tahun 1986 di Seoul, Korea Selatan dan 4 x 400 m di Beijing, China pada tahun 1990.
Tidak mustahil Azeem dan Shereen mampu melayakkan diri secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan.