Oleh Asrar Ab Latif
5 Oktober 2023, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kundasang – “Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan”, ujar Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah, sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Program Malam Bahasa Jiwa Bangsa bersempena dengan Festival Seni dan Alam (FESA) yang berlangsung selama tiga hari, iaitu pada 4 Oktober hingga 6 Oktober 2023, di Pentas Budaya, Pekan Kundasang. Begitulah antara gambaran penghargaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah kepada masyarakat di Kundasang apabila ada yang memohon agar penganjuran festival ini diteruskan lagi pada masa akan datang.

Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Program Malam Bahasa Jiwa Bangsa bersempena dengan FESA 2023.

Festival Seni dan Alam telah diadakan buat kali keduanya pada tahun ini dengan mengangkat tema “Alam Dilestari, Seni Dijiwai”. Tema ini menjadi suatu tema yang besar dan memberikan pengertian penuh bermakna kepada semua pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, belia dan seluruh masyarakat di sekitar Ranau dan Kundasang. Antara kesedaran yang ingin dipupuk dalam setiap individu adalah untuk menghidupkan roh atau jiwa dalam setiap tindakan yang diambil yang akhirnya akan memberikan kesan sama ada baik atau buruk.

Antara pengisian program yang berlangsung selama tiga hari ini ialah Pertandingan Pintar Bahasa, Kuiz Pintar Jawi, Kuiz Pintar Peribahasa, Pertandingan Sajian Alam, Sayembara Nyanyian Lagu Puisi Alam, Pertandingan Jejak Bahasa, Secangkir Kopi dan Bersahabat dengan Kamus.

Antara peserta yang menyertai aktiviti FESA di Pentas Budaya, Pekan Kundasang.

FESA pada tahun ini turut mendapat kerjasama penuh daripada Pejabat Daerah Ranau, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau, Majlis Daerah Ranau, SAFMA dan FAMA. Selain agensi awam, FESA yang menyokong satu daripada Teras Strategik DBP, iaitu Bahasa Melayu Bahasa Ekonomi melalui strategi pembinaan dan peningkatan jaringan kerjasama turut menerima kerjasama dan sokongan daripada beberapa agensi swasta, antaranya termasuklah SHAREDA, DESA, SAZARICE, BTC, Instant Exibition, Iris Publishing and Distributor, Walai Tokou, SESB, dan Shangri-La Hotel Kota Kinabalu.

YBhg. Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP menyampaikan ucapan sewaktu merasmikan FESA 2023.

Tahniah saya kalungkan kepada DBP Cawangan Sabah atas penganjuran program yang penuh bermakna ini. Perkara ini membuktikan bahawa DBP sentiasa kreatif dan proaktif dalam merangka program yang melibatkan masyarakat dalam usaha untuk memacu matlamatnya. Maka itu, terhasillah FESA, iaitu program yang menggabungjalinkan unsur bahasa, sastera, budaya dan alam yang cukup menarik dan mesra masyarakat.

Demikian lantunan madah oleh YBhg. Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia yang berbesar hati merasmikan FESA yang berlangsung pada 4 Oktober hingga 6 Oktober 2023.

Selepas itu, beliau turut menyempurnakan penyerahan wakaf buku terbitan DBP bernilai RM5000.00 yang disumbangkan oleh YB Datuk Jonathan Yasin, Ahli Parlimen P179 Ranau, kepada wakil daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Karagasan, SK Kawiyan, SK Malinsau, SK Nunuk Ragang dan SK Sri Gabungan.

Penyerahan wakaf buku terbitan DBP bernilai RM5000.00 yang disumbangkan oleh YB Datuk Jonathan Yasin, Ahli Parlimen P179 Ranau, kepada wakil daripada beberapa buah sekolah.

 

Penyerahan wakaf buku terbitan DBP bernilai RM5000.00 kepada SK Kawiyan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.