Oleh Asrar Ab Latif
6 Oktober 2023, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kundasang – Festival Seni dan Alam (FESA) 2023 melabuhkan tirainya pada pagi ini setelah melaksanakan pelbagai pertandingan bahasa, sastera dan budaya; Pertandingan nyanyian berunsurkan alam; program kebahasaan dan ilmiah melibatkan masyarakat di sekitar Kundasang dan Ranau.

FESA sudah memasuki tahun kedua penganjurannya di Pekan Kundasang ini. Pemilihan pekan ini sangat signifikan sesuai dengan keindahan dan kekayaan sumber alam yang dimilikinya, sekali gus seiring dengan tema FESA, iaitu “Alam Dilestari, Seni Dijiwai.

FESA merupakan satu daripada program yang dirancang di bawah Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka (2021-2025), yang bertujuan untuk memperkasakan bahasa kebangsaan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak awam dan swasta.

Puan Aminah Awang Basar, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah  menyampaikan ucapan dalam Majlis Penutupan Festival Seni dan Alam (FESA) di Pentas Budaya, Pekan Kundasang.

Demikian jelas Puan Aminah Awang Basar, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Penutupan Festival Seni dan Alam (FESA) di Pentas Budaya, Pekan Kundasang pagi tadi.

Turut hadir memeriahkan majlis penutupan pada pagi tadi ialah Puan Barizah Mohd Kahar, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau.

Sambung Puan Aminah lagi:

Saya percaya festival seumpama ini dapat memberikan semangat dan suntikan baharu kepada masyarakat untuk memulihara alam sekitar sekali gus memupuk kesedaran untuk melestarikan bahasa kebangsaan, yakni bahasa perpaduan di Malaysia. Bak kata pujangga, “Utamakan bahasa Melayu, lestarikan bahasa sukuan dan kuasai bahasa asing.

Dalam pada itu, program seumpama ini wajar diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha melestarikan alam semula jadi melalui pertandingan yang dianjurkan sekali gus memberikan nilai tambah kepada kegiatan bahasa dan sastera dalam dimensi yang berbeza.

Bersama-sama peserta yang telah menjayakan aktiviti FESA 2023.

Jika sebelum ini, kita sering kali mendengar program forum kebahasaan, kesusasteraan, kebudayaan dan sebagainya dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi festival pada kali ini menggabungkan antara elemen alam dan seni dalam sebuah festival yang cukup bermakna dan sudah tentu memberikan banyak faedah sama ada kepada peserta pertandingan, masyarakat setempat dan pelajar yang terlibat.

Puan Barizah Mohd Kahar turut berbesar hati bersama-sama Puan Aminah Awang Basar menyempurnakan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi Pertandingan Jejak Bahasa, Pertandingan Sajian Alam dan Sayembara Nyanyian Lagu Puisi Alam yang telah dipertandingkan selama tiga hari.

Tidak dilupakan juga, penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada rakan sinergi sektor awam yang terdiri daripada Majlis Daerah Ranau, Pejabat Pendidikan Daerah Ranau dan Jabatan Penerangan Daerah Ranau. Manakala, sektor swasta yang telah membantu dan menaja sebahagian daripada penganjuran festival tersebuat. Termasuklah:

  1. YB Datuk Jonathan Yasin yang menaja wakaf buku terbitan DBP kepada sekolah-sekolah di Kundasang dan Ranau.
  2. Sabah Housing and Real Estate Developers Association (SHAREDA) yang manaja percetakan kemeja T FESA 2023.
  3. Sabah Fish and Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) yang menaja ikan untuk Pertandingan Sajian Alam.
  4. Lembaga Pemasaran dan Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menaja sayur dan buah-buahan untuk Pertandingan Sajian Alam.
  5. Sazarice Sdn. Bhd. yang menaja beras basmathi, bihun dan beg cenderamata untuk para peserta.
  6. Iris Publishing and Distributor yang menaja hamper makanan untuk cabutan bertuah dan hadiah iringan pertandingan.
  7. Instant Exibition Sdn. Bhd. yang menaja barang elektrik untuk cabutan bertuah.
  8. Hotel Shangri-La Kota Kinabalu yang menaja baucar penginapan dua orang untuk cabutan bertuah.
  9. Kumpulan BTC yang menaja roti kecil untuk para peserta.
  10. DESA Dairy Farm yang menaja dua buah kanopi sepanjang festival.
  11. Inap Desa Walai Tokou yang menaja penginapan untuk peserta pertandingan.
Antara rakan sinergi FESA 2023 yang terdiri daripada sektor awam dan swasta. PPD Ranau, DESA Dairy Farm, Majlis Daerah Ranau dan Sazarice Sdn. Bhd.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.