Oleh Asrar Ab Latif
6 Oktober 2023, 16:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kundasang – Festival Seni dan Alam (FESA) yang berlangsung sejak Rabu lalu hingga Jumaat di Pentas Budaya, Kundasang, yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar mempunyai keunikannya yang tersendiri. Festival ini menggabung jalin elemen bahasa, sastera dan seni budaya dengan alam sekitar. Perkara ini telah memberikan impak yang besar kepada masyarakat khususnya kesedaran tentang isu yang berlaku di sekeliling secara tidak langsung.

Antara pengisian yang mendekatkan jiwa masyarakat Kundasang dan Ranau ini ialah Sayembara Nyanyian Lagu Puisi Alam yang bukan sahaja bertujuan untuk menghiburkan, tetapi juga membawa mesej penting berkenaan isu alam sekitar yang semakin meruncing.

Bersama-sama peserta yang menyertai Sayembara Nyanyian Lagu Puisi Alam.

Sayembara ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang lahir dan menetap di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Penyertaan secara berkumpulan hendaklah tidak melebihi tiga orang. Disebabkan sambutan yang terlalu ramai dan penyertaan yang amat memberangsangkan daripada seluruh masyarakat Sabah dan Labuan, maka sayembara ini telah diadakan dalam dua peringkat, iaitu peringkat saringan secara dalam talian dan peringkat akhir yang diadakan secara bersemuka di Pentas Budaya, Kundasang, pada Rabu lalu.

Antara syarat yang mencabar para peserta ialah mencipta seni kata baharu bertemakan alam dalam bahasa Melayu. Selain daripada aspek gaya persembahan, keindahan diksi gaya bahasa turut dititikberatkan dan menyumbang 40 peratus daripada markah keseluruhan persembahan. Hal ini membuktikan bahawa Sayembara Nyanyian Puisi Lagu Alam bukan sekadar penyedap halwa telinga, namun menjadi titik tolak kepada masyarakat Sabah dan Labuan akan peri pentingnya menjaga bahasa kebangsaan untuk menyampaikan mesej tersembunyi berkaitan alam.

Johan Sayembara Nyanyian Lagu Puisi Alam dinobatkan kepada kumpulan Seni Kinabalu.

 

Naib Johan sayembara ini dirangkul oleh kumpulan Nadi Alam.

 

Kumpulan Alamanda, pemenang tempat ketiga.

Johan bagi Sayembara Nyanyian Lagu Puisi Alam dinobatkan kepada kumpulan Seni Kinabalu dengan ciptaan lagunya Keindahan Alam. Mereka berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000.00. Naib Johan sayembara ini berjaya dirangkul oleh kumpulan Nadi Alam dengan tajuk lagunya Khazanah Alam. Mereka membawa pulang wang tunai bernilai RM1,500.00. Manakala, tempat ketiga pula membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.00 yang berjaya dimenangi oleh kumpulan Alamanda dengan tajuk lagunya Alam yang Tersakiti. Turut dihargai buat tiga penerima sagu hati yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM200.00, iaitu kumpulan Syaidatulmulia, Sinaran Kilat Sininsian dan PUTERI.

Antara kumpulan yang sedang membuat persembahan.

Penganjuran FESA yang diadakan bersempena dengan Hari Alam Sekitar Negara telah menjadi platform kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memelihara dan memulihara alam sekitar, khususnya di Sabah yang kaya dengan khazanah alam. Kecintaan yang mendalam terhadap alam semula jadi ciptaan Tuhan perlu ditanamkan dalam jiwa setiap masyarakat. Oleh itu, wajarlah kita mendukung hasrat agensi yang melestarikan alam melalui program kesusasteraan dan kebahasaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.