Oleh Asrar Ab Latif
6 Oktober 2023, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kundasang – Sejak Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah diwujudkan di negeri ini 46 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1977, badan ini telah menjadi satu-satunya badan yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasakan bahasa dan sastera kebangsaan di negeri ini, di samping melestarikan bahasa sukuan.

Melalui penganjuran Festival Seni dan Alam (FESA) yang telah berlangsung pada Selasa lalu, DBP Cawangan Sabah memberikan gambaran bahawa untuk mencintai dan mengangkat martabat bahasa dan sastera tidak perlu hanya tertumpu kepada program berbentuk ilmiah sahaja, namun boleh dijelmakan dalam program berbentuk kesenian dan kebudayaan yang dapat dihayati oleh setiap lapisan masyarakat.

Menariknya, FESA pada tahun ini menunjukkan pembaharuan apabila Pertandingan Sajian Alam mendapat penyertaan sebanyak sembilan buah kumpulan yang terdiri daripada warganegara yang berasal atau bermastautin di daerah Ranau, Sabah, dan yang terlibat dalam perusahaan inap desa (homestay). Setiap kumpulan juga dikehendaki menyediakan tiga menu utama yang sesuai untuk majlis makan Malam Bahasa Jiwa Bangsa, bertemakan masakan tradisional atau kontemporari.

Peserta sedang menyediakan hidangan masakan kontemporari.
Peserta sedang memberikan penerangan kepada pihak juri.

Pertandingan ini bukan sahaja dinilai dari aspek pembentangan hasil masakan dalam bahasa kebangsaan, malah nama menu juga dititikberatkan dalam bahasa kebangsaan yang mempunyai ciri-ciri kearifan tempatan.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kumpulan Rasa Kinabalu yang berjaya merangkul Johan bagi pertandingan ini dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000.00. Manakala, Naib Johan dirangkul oleh kumpulan Sinaran Kilat yang memenangi wang tunai berjumlah RM1,500.00, manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan Selera Kampung dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.00. Bagi menghargai usaha dan iltizam peserta lain, wang tunai berjumlah RM200.00 turut diberikan kepada enam pemenang sagu hati yang terdiri daripada kumpulan Akina, Udang Harimau, Cili Padi, Strim Kinabalu, Apju dan Kuali Berapi.

Kumpulan Rasa Kinabalu berjaya merangkul Johan bagi pertandingan ini.

 

Naib Johan dirangkul oleh kumpulan Sinaran Kilat.

 

Tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Selera Kampung.

Tuntasnya, aktiviti ini bukanlah semata-mata untuk keseronokan dan memperoleh keuntungan, namun ada mesej yang ingin disampaikan oleh DBP melalui pelaksanaan aktiviti tersebut, iaitu untuk membibitkan kesedaran dalam masyarakat tentang isu bahasa Melayu atau alam sekitar yang perlu dititikberatkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.