9 Oktober 2023, 18:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 7 Oktober 2023, Hamas, iaitu gerakan pembebasan Palestin telah melakukan serangan berani terhadap Israel dan berjaya membunuh ratusan askar Israel serta menculik puluhan yang lain. Mereka juga telah berjaya menghancurkan aset-aset Israel termasuklah pangkalan tentera dan balai polis.

Setelah diserang, rejim Zionis Israel telah bertindak balas dengan mengebom Gaza. Pengeboman tersebut setakat ini meragut lebih daripada 300 nyawa warga Palestin yang tidak berdosa termasuklah kanak-kanak dan wanita. Banyak bangunan, rumah dan pejabat juga hancur musnah akibat pengeboman oleh jet pejuang tentera udara Israel yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat.

Mungkin ada daripada kalangan rakyat Malaysia yang berpendapat bahawa kesengsaraan warga Palestin mencerminkan bahawa hasil daripada tindakan kurang cerdik tentera Hamas di Gaza yang telah melancarkan serangan sebelum itu. Mereka mungkin merasakan semua ini boleh dielakkan jika Hamas “tidak cari pasal menyerang” Israel.

Sebenarnya, sesiapa yang mempunyai pandangan seperti di atas perlu disedarkan bahawa kefahaman mereka tentang apa-apa yang berlaku di Palestin begitu cetek serta buta sejarah. Hakikat yang paling penting yang perlu disedari oleh mereka ialah Israel sebenarnya adalah sebuah negara haram. Seperti yang diterangkan oleh seorang pakar sejarah berbangsa Yahudi dari Israel sendiri yang bernama Prof Ilan Pappe dalam bukunya yang masyhur, iaitu The Ethnic Cleansing of Palestine, kewujudan Israel pada tahun 1948 berlaku hasil dari tindakan kumpulan Yahudi Zionis yang telah datang dari Eropah ke bumi Palestin pada awal kurun ke-20 dan seterusnya telah melakukan tindakan penghapusan etnik (ethnic cleansing) yang melibatkan jenayah pembunuhan beramai-ramai (massacre) serta pengusiran penduduk Palestin dari kampung halaman mereka (expulsion).

Akibat daripada tindakan tersebut, lebih daripada 750 ribu orang penduduk Palestin telah menjadi pelarian dan tidak dibenarkan pulang ke tanah air mereka sehingga sekarang, walaupun ini merupakan hak mereka di bawah Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan sejak tahun 1948 lagi. Tidak cukup dengan itu, kumpulan penjenayah Zionis ini terus mengganas dan pada tahun 1967  mereka telah merampas Tebing Barat dan Timur Baitul Maqdis, termasuklah Masjid Al Aqsa.

Walaupun masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf wilayah Tebing Barat sebagai sebahagian dari Israel, namun kerajaan Israel terus membuka penempatan atau bandar-bandar untuk orang Yahudi sahaja di atas tanah-tanah yang dirampas dari warga Palestin. Bahkan banyak kebun zaitun warga Palestin juga telah dirampas oleh pendatang Yahudi Zionis dengan bantuan tentera Israel.

Sebahagian besar Tebing Barat sekarang (dipanggil Area C) adalah di bawah kuasa penuh tentera Israel dan turut membenarkan mereka mengawal pergerakan rakyat Palestin dengan mewujudkan ratusan sekatan jalan raya. Warga Palestin dihalang dan disekat daripada bergerak bebas di dalam negara mereka sendiri sama ada untuk bekerja, mengusahakan kebun zaitun mereka, untuk ke sekolah,hospital atau untuk melawat ahli keluarga.

Semenjak terlantiknya Benjamin Netanyahu sekali lagi sebagai Perdana Menteri Israel pada bulan Disember 2022 dengan sokongan puak-puak pelampau Zionis, kerajaan Israel semakin tidak segan untuk mendedahkan agenda sebenar mereka semenjak penubuhan negara haram Israel. Agenda tersebut adalah untuk memastikan kesemua wilayah Palestin, termasuklah Tebing Barat serta Baitulmuqaddis Timur ialah seratus peratus di bawah kawalan mereka. Penduduk Palestin di Tebing Barat akan dihalau keluar dan tanah mereka akan diambil alih oleh peneroka-peneroka haram Yahudi.

Sebelum ini, mereka juga telah merampas rumah puluhan warga Palestin di sebuah daerah bernama Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis Timur bersebelahan dengan Masjid Al Aqsa. Mereka juga telah berusaha untuk menghalau warga Palestin daripada melakukan iktikaf di Masjid Al Aqsa pada bulan Ramadan dan sebaliknya membenarkan kumpulan ekstremis Zionis mengadakan sambutan Jerusalem Day, iaitu upacara tahunan memperingati kejayaan mereka merampas Baitul Maqdis daripada milik rakyat Palestin. Beberapa orang pemimpin Israel juga telah mendedahkan rancangan mereka untuk merobohkan Masjid Al Aqsa dan digantikan dengan sebuah kuil Yahudi yang dipanggil Haikal Sulaiman.

Semenanjung Gaza pula dikepung oleh mereka seperti sebuah penjara. Tujuan mereka melakukan sedemikian ialah supaya penduduk yang berjumlah lebih daripada dua juta di dalam kawasan itu akur dengan kehendak mereka, iaitu tidak menentang mereka langsung. Akibatnya hak asasi warga Palestin dicabul dengan sewenang-wenangnya di bumi mereka sendiri.

Dalam erti kata yang lain, kumpulan penjenayah Zionis ini tidak akan berhenti daripada melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap warga Palestin sehingga kesemua bumi Palestin berada dalam genggaman mereka dan warga Palestin kesemuanya dihalau keluar dan identiti Palestin turut dihapuskan sama sekali.

Dalam suasana tersebut, sebenarnya warga Palestin tidak mempunyai banyak pilihan. Sama ada mereka berpindah ke negara lain atau hidup sebagai manusia yang terhina di bumi mereka sendiri dan akhirnya identiti mereka dilenyapkan terus daripada bumi tersebut.

Namun begitu, dalam situasi sebegini masih wujud daripada kalangan masyarakat Palestin yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi. Mereka tidak pernah tunduk kepada usaha penjajah asing untuk terus merampas kesemua tanah mereka serta mencabul hak asasi mereka dan menghina Masjid Al Aqsa yang suci itu.

Yang paling menonjol daripada kalangan warga Palestin yang menentang Israel ini ialah kumpulan Hamas. Berbeza daripada kumpulan yang dipimpin oleh Mahmud Abbas yang telah bersetuju untuk menjadi budak suruhan kerajaan Zionis Israel, Hamas sejak daripada awal kewujudannya lagi pada tahun 1980-an menolak tekanan dari semua pihak untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah.

Sebaliknya Hamas berpendirian bahawa menjadi tanggungjawab mereka sebagai orang Islam untuk menentang penjajahan negara mereka oleh orang asing dengan apa-apa cara sekali pun, termasuklah dengan cara ketenteraan. Perjuangan Hamas untuk membebaskan negara Palestin daripada penjajahan oleh pihak Zionis ini dianggap oleh kebanyakan ulama muktabar sebagai perjuangan jihad yang sah dan terpuji dan jika mereka mati dalam perjuangan tersebut, kematian mereka itu dianggap sebagai syahid.

Atas dasar itulah Hamas yang sekarang berpangkalan di Gaza telah memberikan amaran ke atas Israel supaya menghentikan jenayah zalim terhadap warga Palestin yang semakin hari semakin serius seperti merampas rumah kediaman warga Palestin di daerah Sheikh Jarrah, merampas tanah Palestin di Tebing Barat, membunuh warga Palestin, memenjarakan ribuan warga Palestin, serta mencabul kesucian Masjid Al Aqsa. Oleh sebab Israel masih terus melakukan jenayah-jenayah tersebut, Hamas tidak mempunyai pilihan selain daripada menyerang rejim Zionis Israel dengan menggunakan roket yang dicipta oleh mereka sendiri  serta melakukan serangan berani mati di wilayah Palestin yang dijajah bersebelahan dengan Gaza dengan cara merobohkan pagar pemisah di antara Israel dan Gaza, serta melalui laut dan udara.

Sudah tentu mereka menyedari terdapat risiko bahawa Israel akan menyerang balas dengan ganas dan ramai daripada kalangan ahli mereka mungkin akan terkorban. Namun bagi Hamas, hal tersebut merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan kerana tanggung jawab menentang musuh yang ingin merampas tanah air mereka dan ingin menghapuskan masyarakat Islam Palestin merupakan tanggungjawab mulia yang tidak boleh dikorbankan.

Sebagai rumusan, kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin adalah kesengsaraan yang bukan pilihan mereka sendiri kerana melibatkan kesengsaraan yang telah dipaksa ke atas mereka oleh penjenayah Zionis yang datang dari Eropah serta anak-cucu mereka yang sehingga ke hari ini berusaha untuk menghalau warga Palestin dan menghapuskan saki baki identiti masyarakat Palestin di negara milik mereka. Penjajah yang juga penjenayah dari Eropah ini jelas akan terus melakukan kezaliman terhadap warga Palestin pada masa akan datang. Yang paling dahsyat ialah kezaliman Zionis Israel ini dilakukan dengan bantuan kuasa-kuasa Barat, terutamanya Amerika Syarikat sementara masyarakat dunia hanya terus menonton dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Persoalannya, apakah reaksi kita terhadap jenayah zalim yang sedang berlaku di hadapan mata kita sekarang? Adakah kita hanya mahu menjadi penonton pasif yang sekadar mengucapkan rasa sedih dengan kejadian yang berlaku atau kita ingin menjadi pembela kepada kumpulan lemah yang dizalimi?

Tepuk dada dan tanyalah iman kerana hadis Rasulullah SAW berbunyi:

Orang Islam itu bersaudara, tidak boleh menzalimi dan mengkhianatinya. Sesiapa yang menolong saudaranya, nescaya Allah SWT akan menolongnya. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam nescaya Allah SWT akan menghilangkan daripadanya kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam nescaya Allah SWTakan menutup keaibannya pada hari kiamat.”(Riwayat  Ahmad)

Profesor Mohd Nazari Ismail, Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani, Universiti Malaya.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.