Oleh G. Manimaran
15 Mac 2024, 15:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meletakkan sasaran untuk menarik simpanan berjumlah RM3.2 bilion pada tahun ini susulan prestasinya yang membanggakan sepanjang tahun 2023.

Pengerusinya, YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN terus mencatatkan pencapaian membanggakan melalui penabungan Simpan SSPN dengan jumlah terimaan deposit sebanyak RM17.39 bilion dan 6.25 juta akaun yang direkodkan sejak produk itu diperkenalkan pada tahun 2004.

Menurut beliau, prestasi itu membuktikan usaha PTPTN untuk mentransformasikan minda masyarakat agar membudayakan amalan menabung melalui Simpan SSPN terus diterima dengan baik.

Pencapaian ini merupakan hasil komitmen dan dedikasi seluruh warga PTPTN.

“Sesungguhnya saya bersyukur kerana usaha untuk mengubah minda masyarakat Malaysia dari meminjam kepada menabung, sekali gus mengelakkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman semakin diterima baik.

Beliau berkata, kejayaan itu dapat diterjemahkan melalui prestasi simpan SSPN, iaitu satu daripada produk utama PTPTN yang semakin diterima baik oleh setiap lapisan masyarakat.

YBhg. Datuk Norliza juga berkata, PTPTN telah menetapkan sasaran bayaran balik sebanyak RM3.1 bilion pada tahun ini.

Jelas beliau, pelbagai strategi telah dirangka secara menyeluruh merangkumi semua aspek agar sasaran itu dapat dicapai dengan cemerlang.

Penetapan sasaran ini penting bagi memastikan PTPTN terus komited dalam membantu generasi akan datang agar mempunyai sumber kewangan untuk melanjutkan pengajian dan menjadi modal insan berjasa kepada negara.

Ujar beliau, penubuhan PTPTN pada tahun 1997 adalah selaras dengan dasar pendemokrasian pendidikan, iaitu semua pihak diberikan peluang sama rata untuk mendapat pinjaman bagi pendidikan tinggi.

Dalam tempoh 27 tahun menabur bakti, PTPTN memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada modal insan negara.

Menurut YBhg. Datuk Norliza, sehingga 31 Disember lalu, PTPTN telah membantu seramai 3.95 juta pelajar melibatkan dana pinjaman yang telah dikeluarkan berjumlah RM71.32 bilion.

Kata beliau, PTPTN juga meneruskan usaha untuk meningkatkan budaya membayar balik pinjaman bagi menjamin pembiayaan PTPTN untuk generasi akan datang.

Menurut beliau, bayaran balik yang telah diterima pada tahun lalu adalah berjumlah RM2.91 bilion.

“Jumlah terimaan ini menunjukkan bahawa peningkatan sebanyak RM144.37 juta atau 5.21 peratus berbanding dengan tahun 2022. Prestasi ini juga disokong oleh pelbagai strategi berkesan dan insentif diskaun bayaran balik pinjaman oleh kerajaan,” kata beliau.

Katanya lagi, seiring dengan transformasi dunia pendigitalan, PTPTN sentiasa komited dalam menambah baik aplikasi myPTPTN untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada para pelanggan.

Sehingga 31 Disember lalu, lebih 1.1 juta pelanggan telah mendaftar sebagai pengguna myPTPTN, kata beliau.

Sepanjang tahun 2023 juga, kata beliau, PTPTN proaktif mengadakan kerjasama dengan agensi awam dan swasta dalam menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk pemberian pelbagai insentif oleh agensi awam dan swasta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.