Oleh G. Manimaran
11 April 2024, 10:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Datuk Dr. Firdaus Abdullah telah kembali ke rahmatullah pada 11 April 2024 bersamaan dengan 2 Syawal 1445, hari ini.

Kuala Lumpur – Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Datuk Dr. Firdaus Abdullah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada 11 April 2024 bersamaan dengan 2 Syawal 1445, hari ini.

Allahyarham yang berusia 80 tahun kembali ke rahmatullah ketika berada di hospital untuk menerima rawatan.

Lahir di Kuang, Selangor pada 3 Jun 1944, beliau seorang yang aktif menulis buku serta menghasilkan sajak dan puisi.

Beliau menyandang jawatan Ketua Pengarah DBP dari tahun 2005 hingga tahun 2008. Selain itu, beliau pernah menjadi Senator selama satu penggal bermula pada Januari 2012.

YBhg. Datuk Dr. Firdaus yang menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Jalan Raja Muda dan Sekolah Menengah Methodist, Sentul pernah berkhidmat sebagai wartawan.

Allahyarham pernah bekerja dengan Kumpulan The New Straits Times sebagai wartawan Berita Harian dan pensyarah di Universiti Malaya.

YBhg. Datuk Dr. Firdaus menerima Ijazah Sarjana Politik dari Ohio University (1971), Ijazah Sarjana Falsafah (1975) dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik lima tahun kemudian.

Pada tahun 1979, beliau mewakili Gabungan Gapena menghadiri Persidangan Antarabangsa Kedua Sastera Kanak-kanak dan Belia di Moscow, Rusia; Seminar Ekonomi Asia di Tokyo; Seminar Tamadun Islam di Kuala Lumpur dan Seminar Koperasi Pengguna di Tokyo (1985).

Seorang yang terlibat dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, allahyarham pernah aktif dalam persatuan penulis seperti Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Selain itu, beliau juga bergiat aktif dalam Persatuan Sains Sosial Malaysia, Persatuan Sejarah Malaysia dan Persatuan Ekonomi Malaysia.

Beliau pernah terlibat sebagai pelakon dalam filem Esok Masih Ada arahan Dato’ Jins Shamsuddin.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman – YBrs. Dr. Hazami.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata,

Negara kehilangan seorang tokoh dan permata negara yang mempunyai bakat dalam penulisan buku, puisi dan juga artikel kepada media, termasuklah karya yang disiarkan dalam produk terbitan DBP.

“Malah beliau telah memberikan sumbangan yang amat berharga kepada bidang sastera, akademik dan bukan akademik, serta kepada pembangunan bahasa.

Buku Antara yang Dikendong dengan yang Dikejar, karya terbaharu YBhg. Datuk Dr. Firdaus.

Kongsi beliau,

Antara yang Dikendong dengan yang Dikejar, merupakan buku baharu himpunan artikel yang ditulis berdasarkan pengalaman dan pengamatan allahyarham sendiri tentang nilai politik Melayu.

Beliau pernah diundang dalam Sesi Bersama-sama Penulis di Reruai DBP sempena PBAKL 2023, tahun lalu.

Dalam Sesi Bersama-sama Penulis di Reruai DBP bersempena dengan Program Bersama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 yang lalu, YBhg. Datuk Dr. Firdaus pernah menitipkan nasihat kepada anak muda agar terus memahami, menghayati susur galur kaum, seterusnya mengkaji nilai seni dan budaya agar dapat memberikan sumbangan terhadap bangsa dan negara.

Selain itu, antara karya beliau yang lain yang pernah diterbitkan termasuklah Cermin Belakang dan Warkah kepada Sang Sapurba.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.