Oleh Asrar Ab Latif
7 Mei 2024, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kundasang – Kita sedia maklum bahawa pantun telah diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 17 Disember 2020.

Seiring dengan pengiktirafan tersebut, Pengarah Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS), YBrs. Dr. Maklarin Lakim, melalui ucapannya, meluahkan rasa yakin bahawa bukan sahaja para pendaki, warga Taman-Taman Sabah dan malim gunung, bahkan warga Kundasang turut menerima tempias Program Pemerkasaan Pantun di Taman Kinabalu yang direncanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS).

Pengarah Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS), YBrs. Dr. Maklarin Lakim.

Secara tidak langsung, kesepakatan ini mampu menonjolkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau turut berbesar hati merasmikan program tersebut di Pusat Interpretasi Taman Kinabalu malam tadi sekali gus melancarkan 10 buah papan tanda yang bakal dipasang oleh petugas DBP Cawangan Sabah di sepanjang laluan Gunung Kinabalu bermula pada 7 Mei 2024.

Pelancaran 10 buah papan tanda yang bakal dipasang oleh petugas DBP Cawangan Sabah di sepanjang laluan Gunung Kinabalu.

Turut berucap malam tadi ialah Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah. Ujar beliau:

Dalam sekian banyak program yang kami laksanakan, program yang bakal dilaksanakan ini mencatatkan sejarah yang tersendiri kerana bertepatan dengan Pelan Strategik DBP (2021-2025), melalui adaptasi program DBP dengan kegiatan bersifat sohor kini, seperti ekopelancongan dan rekreasi.

Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar sewaktu menyampaikan ucapan.

Beliau turut mencadangkan agar program ini diiktiraf dalam Malaysia Book of Records, sebagai pantun pertama yang pernah diabadikan di puncak gunung.

Program seumpama ini wajar dicontohi dan diteruskan di tempat-tempat pelancongan yang lain agar kita dapat memberikan suntikan baharu kepada masyarakat dalam usaha memulihara alam sekitar, sekali gus memupuk kesedaran untuk melestarikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan di Malaysia.

Turut hadir memeriahkan Malam Santai Seni Kinabalu pada malam tadi ialah Encik Justinus Guntabid, Ketua Penolong Pengarah Taman Kinabalu.

DBP turut memberikan sumbangan wakaf buku kepada SK Poring.

Masyarakat Kundasang kelihatan gembira sewaktu menyaksikan pelbagai jenis persembahan seperti dendangan syair, nyanyian lagu puisi, berbalas pantun antara warga DBP dengan warga TTS dan mendeklamasi sajak. Malam Santai Seni Kinabalu menutup tirainya dengan persembahan  puisi khas oleh Pengarah TTS dan Pengarah DBPCS.

Bersama-sama peserta program Malam Santai Seni Kinabalu.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.