27 Mei 2024, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengumumkan bahawa calon peperiksaan SPM Tahun 2023 di Selangor yang layak menerima sijil SPM telah menunjukkan peningkatan, iaitu daripada 89.25 peratus (tahun 2022) kepada 91.14 peratus pada tahun 2023.

Shah Alam – “Pencapaian calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 di Selangor telah mencatatkan peningkatan indeks Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.67 mata berbanding dengan 4.80 mata pada tahun 2022.”

Demikian kenyataan yang diberikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, YBrs. Dr. Jafri bin Abu ketika sidang media pengumuman keputusan SPM 2023 bagi negeri tersebut yang diadakan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Shah Alam, pada pagi ini.

Tambah beliau,

Berdasarkan GPN, pencapaian calon bandar meningkat sebanyak 0.12 mata, iaitu 4.68 mata pada tahun 2023, berbanding dengan 4.80 mata pada tahun 2022.

Manakala, pencapaian calon luar bandar juga turut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.23 mata, iaitu 4.20 mata pada tahun 2023, berbanding dengan 4.43 mata pada tahun 2022.

“Meskipun terdapat jurang pencapaian antara calon bandar dengan calon luar bandar, namun Kementerian Pendidikan Malaysia (SPM), khususnya JPN sentiasa komited untuk melaksanakan intervensi bagi merapatkan jurang pencapaian tersebut,” ulas beliau dalam sidang media sebentar tadi.

Daripada 62,452 calon sekolah KPM yang menduduki peperiksaan SPM, sebanyak 2,005 calon (3.15 peratus) memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran, berbanding dengan 1,860 calon (2.94 peratus) pada tahun 2022.

Secara keseluruhannya, sebanyak 58,082 calon (91.14 peratus) layak menerima sijil SPM pada tahun 2023 iaitu meningkat sebanyak 1,680 calon berbanding dengan 56,402 calon yang layak menerima sijil SPM bagi tahun 2022.

Calon yang layak menerima sijil SPM dilihat berdasarkan keputusan lulus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang mula diperkenalkan syarat tersebut pada tahun 2013.

YBrs. Dr. Jafri bin Abu ketika mengumumkan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023.

Pada sidang media yang sama, YBrs. Dr. Jafri turut mengulas tentang ketidakhadiran calon peperiksan SPM Tahun 2023 yang menunjukkan sebanyak 1,724 orang calon.

Kata beliau,

Terdapat pelbagai faktor ketidakhadiran calon ketika peperiksaan SPM diadakan, iaitu seperti masalah kesihatan dan calon telah menamatkan sesi persekolahan sebelum peperiksaan diadakan.

Pelbagai intervensi sentiasa dilaksanakan seperti mengadakan taklimat motivasi sehinggalah semakan kehadiran dibuat 30 minit sebelum peperiksaan dijalankan.

Terdahulu, Selangor mengumumkan indeks GPN 2022 bagi negeri tersebut ialah 4.80 mata, iaitu daripada 65,583 calon yang menduduki peperiksaan SPM Tahun 2022, sebanyak 1,860 calon memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran.

Semakan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 boleh dibuat berdasarkan tiga kaedah yang berikut.

  1. Penyerahan slip keputusan oleh sekolah/JPN
    Calon boleh hadir ke sekolah/JPN mulai pukul 10.00 pagi pada 27 Mei 2024 (Isnin).
  2. Semakan keputusan peperiksaan secara dalam talian
    Calon boleh membuat semakan melalui pautan Portal MyResults, mulai pukul 10.00 pagi, pada 27 Mei 2024 hingga pukul 6.00 petang, pada 2 Jun 2024.
  3. Semakan keputusan secara sistem pesanan ringkas (SMS)
    Calon boleh mendapatkan keputusan dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan menghantar maklumat tersebut ke 15888, mulai pukul 10.00 pagi, pada 27 Mei 2024 hingga pukul 6.00 petang, pada 2 Jun 2024.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.