Oleh Syaza Wardina
4 Mei 2021, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini mengumumkan enam daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 6 hingga 17 Mei 2021.

Enam daerah tersebut ialah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang. Tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor kekal di bawah PKP Bersyarat (PKPB).

Berikutan arahan PKP tersebut, pergerakan rentas daerah tidak dibenarkan melainkan untuk kes kecemasan atau tujuan bekerja. Selain itu, aktiviti ekonomi di enam daerah berkenaan dibenarkan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat. Namun begitu, sebarang aktiviti sosial tidak dibenarkan.

Ismail Sabri turut memaklumkan SOP berkaitan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Menurut beliau, takbir raya di masjid atau surau dibenarkan di kawasan PKP, PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP) mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri, namun takbir dari rumah ke rumah tidak dibenarkan.

Solat Sunat Aidilfitri pula dibenarkan dilakukan di masjid atau surau di kawasan PKP, PKPB dan PKPP, mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri. Tambah beliau, jamuan hari raya di masjid atau surau selepas Solat Sunat Aidilfitri hanya dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP sahaja.

Dalam pada itu, aktiviti ziarah pada hari raya di kawasan PKP dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran tetamu tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa. Bagi kawasan PKPB dan PKPP pula, aktiviti ziarah dibenarkan dari 1 hingga 3 Syawal, terhad kepada kehadiran 20 orang (PKPB) dan 25 orang (PKPP) pada satu-satu masa. Tuan rumah digalakkan menyediakan pengimbas suhu badan, kod QR MySejahtera atau buku pendaftaran kehadiran tetamu.

Di samping itu, aktiviti ziarah kubur hanya dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP, terhad enam orang bagi setiap petak kubur serta tidak melebihi 30 minit.

Beliau juga menegaskan, penganjuran rumah terbuka sama ada di kawasan PKP, PKPD, PKPB atau PKPP adalah tidak dibenarkan pada Hari Raya Aidilfitri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.