22 Jun 2024, 18:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof dan Khairul Azhar Baharudin

Nibong Tebal – Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-68 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diteruskan dengan pelaksanaan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas (MDK) Kembali ke Sekolah yang turut dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek pada hari ini sebagai usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.

Program ini dilaksanakan menggunakan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran serta menerapkan elemen didik hibur menggunakan kandungan majalah terbitan DBP bagi menarik minat pelajar membaca, seterusnya memanfaatkan majalah tersebut untuk membantu mereka meningkatkan mutu pembelajaran.

Program Gerak Gempur MDK Kembali ke Sekolah Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, Nibong Tebal, Pulau Pinang, merupakan program anjuran DBP menerusi DBP Wilayah Utara, Bahagian Majalah DBP, Akademi DBP, Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, JPN Kedah, JPN Perlis dan JPN Perak. Program ini melibatkan penyertaan daripada pelajar sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan guru dari empat buah negeri di wilayah utara.

Penganjuran Program MDK pada kali ini berjaya mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada para pelajar. Sebanyak 175 orang pelajar dari Pulau Pinang dan Kedah telah menyertai Program MDK Dewan Siswa, manakala Program MDK Dewan Pelajar pula berjaya menghimpunkan 173 orang pelajar dari Perlis dan Perak, manakala bagi Bengkel MDK untuk Guru pula melibatkan 51 orang guru dari Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menghadiri Program MDK Dewan Siswa pada pagi ini, majalah Dewan Siswa merupakan majalah yang harus dilanggan dan dimiliki oleh setiap pelajar sekolah menengah sebagai usaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan.

“Saya menyarankan kepada semua pelajar agar memperuntukkan sedikit wang untuk melanggan majalah Dewan Siswa agar dapat dijadikan sebagai bahan rujukan yang berkualiti dalam meningkatkan pengguasaan bahasa Melayu anda,” ujar beliau.

Puan Fauzilahyatun, Pengarah Jabatan Penerbitan semasa menyampaikan ucapan dalam Bengkel MDK untuk Guru yang diadakan pada pagi tadi.

Selain itu, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa berkata bahawa budaya membaca dalam kalangan pelajar, terutamanya penggunaan bahasa Melayu harus digiatkan.

Tambah beliau,

DBP menerbitkan 11 majalah dan empat jurnal sebagai tanggungjawab sosial bagi meneruskan galakan minat membaca dalam kalangan pelajar. Guru juga boleh menjadikan Dewan Siswa sebagai bahan rujukan untuk digunakan di dalam kelas.

Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Armin Azhari Saleh bergambar bersama-sama pelopor MDK, Encik Azizul Abdul Rahman; Perancang Bahasa dari Akademi DBP, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil; Perancang Bahasa dari DBP Wilayah Utara, Puan Roshasliza Sulaiman  dan para guru yang menghadiri Bengkel MDK untuk Guru.

Ketika menyampaikan taklimat kepada guru, Encik Azizul Abdul Rahman yang merupakan pelopor MDK turut berkongsikan pengalaman beliau semasa menjadikan majalah terbitan DBP sebagai bahan rujukan di dalam kelas.

Kata beliau,

Peningkatan peratusan pencapaian peperiksaan murid turut meningkat sebanyak 90 peratus kerana kesanggupan pembelian majalah bagi kegunaan pembelajaran di dalam kelas.

“Majalah DBP telah memberikan daya tarikan kepada pelajar saya pada ketika itu dan saya telah membuat kaedah pembelajaran yang menarik dengan menjadikan majalah tersebut sebagai rujukan,” ulas beliau ketika menyampaikan taklimat dalam Bengkel MDK untuk Guru.

Pada masa yang sama, Puan Nor Aziah Hussain yang merupakan guru Sejarah, SMK Seri Nibong berkata, “Aktiviti yang dijalankan sepanjang Program MDK ini amat menarik dan bersesuaian dengan tahap pelajar sekolah menengah, selain dapat menggarap potensi pelajar ke arah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.”

Program Gerak Gempur MDK Kembali ke Sekolah yang dilaksanakan pada hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar. Rata-rata pelajar yang hadir juga memberikan maklum balas yang positif terhadap penganjuran program ini.

YBrs Dr. Hazami Jahari (berdiri dua dari kiri) ketika Program MDK Dewan Pelajar sedang berlangsung.

Aktiviti sepanjang Program MDK Dewan Pelajar berlangsung.
Aktiviti sepanjang Program MDK Dewan Siswa berlangsung.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.