Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya ─ Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah mengambil tindakan segera untuk menyaring semula data Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) bagi calon yang tercicir.
Menurut KPM, data yang telah disemak semula tersebut akan diserahkan kepada Unit Pusat Universiti (UPU) bagi tujuan padanan dan penawaran untuk melanjutkan pengajian yang tertakluk kepada kelayakan calon serta kekosongan dalam program yang ditawarkan.
Tambah KPM,
KPM juga sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap perkara yang berbangkit dan melaksanakan langkah intervensi yang diperlukan.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan bahawa isu yang berbangkit dapat diatasi dengan segera dan tidak berulang pada masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan media pada hari ini.
Tindakan ini juga menunjukkan komitmen KPM dalam memastikan keadilan serta kesaksamaan dalam proses penilaian calon untuk memasuki pengajian tinggi, serta untuk memastikan setiap calon mendapat peluang yang setimpal dengan kelayakan yang dimiliki.
Baru-baru ini, media melaporkan isu markah PAJSK pelajar lepasan SPM yang kosong sehingga mengakibatkan ada pelajar yang gagal dalam permohonan meneruskan pengajian ke institut pendidikan tinggi atau tawaran yang diperoleh bukan pilihan pertama.
Antaranya, tular satu hantaran di Facebook yang bertajuk “Rezeki Tertangguh Berjemaah” oleh seorang ibu pelajar dari sekolah tahfiz, iaitu Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang mendakwa bahawa anaknya gagal mendapat pilihan pertama di UPUOnline menerusi permohonan keputusan SPM 2023 yang diumumkan pada 27 Mei lepas.
Menurut beliau, anaknya mendapat keputusan cemerlang, iaitu semua A dengan merit 98.5 tetapi kegagalan anaknya mendapat pilihan pertama berpunca daripada markah PAJSK yang kosong.