Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada tahun 2024, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan Pasukan Petugas Khas (task force) bagi memastikan reformasi dalam pendidikan dilaksanakan dengan baik. Pasukan Petugas Khas ini juga melibatkan usaha untuk menjayakan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Berdasarkan keputusan yang dibuat dalam Pasukan Petugas Khas MBMMBI, Program Sahabat Bahasa diperkenalkan sebagai inisiatif baharu.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek telah menyempurnakan majlis peluncuran MBMMBI: Sahabat Bahasa pada 20 Jun 2024. Program tersebut memperlihatkan satu pendekatan baharu yang diambil untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris. YB Fadhlina Sidek berharap agar inisiatif baharu MBMMBI dijalankan secara bersama-sama dan bukannya bergerak secara bersendirian, umpama seiring dan sejalan membawa matlamat yang sama, iaitu penguasaan dwibahasa dalam kalangan murid.
Program MBMMBI: Sahabat Bahasa merupakan program yang memberikan ruang kepada murid yang mempunyai keterampilan berbahasa Melayu dan berbahasa Inggeris untuk membimbing rakan mereka secara santai agar dapat berkomunikasi dalam kedua-dua bahasa dengan baiknya. Malah menerusi penggunaan bahasa secara santai dalam kumpulan dengan aktiviti yang dipilih sendiri oleh murid akan memperkukuh tingkah laku untuk berkomunikasi. Hal ini demikian kerana aktiviti dalam kumpulan tersebut membolehkan mereka saling memerhati, membuat “peniruan”, celik akal dan pemikiran. Elemen ini disebut dalam Teori Pembelajaran Kognitif Sosial (Noor Aina Dani, 2017). Oleh itu, elemen tersebut dapat membina budaya berkomunikasi dengan yakin dalam bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Program MBMMBI: Sahabat Bahasa akan melibatkan semua murid di sesebuah sekolah. Seorang murid yang mempunyai kecekapan berbahasa dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris akan berperanan sebagai “Sahabat Bahasa” dan bertindak sebagai ketua kumpulan. Setiap kumpulan akan dianggotai oleh sembilan orang murid lagi yang disusun oleh guru atau atas pilihan Sahabat Bahasa tersebut. Ahli kumpulan dikenali sebagai “Rakan Bahasa”.
Aktiviti yang dilaksanakan dalam kumpulan pula akan ditentukan secara bersama-sama oleh Sahabat Bahasa dan Rakan Bahasa masing-masing. Aktiviti yang dilaksanakan dalam kumpulan secara santai akan membina amalan komunikasi dalam kalangan murid. Pendekatan ini diyakini mampu mengembangkan tingkah laku berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sehingga menjadi budaya dalam kalangan murid di sekolah. Hal ini telah dibuktikan oleh Wong Chiew Yien dan Magdeline Anak Nor, 2021 berkaitan dengan tabiat dan pengamalan dapat membantu meningkatkan keupayaan membaca.
MBMMBI: Sahabat Bahasa tidak melibatkan penilaian, pentaksiran, peperiksaan dan pertandingan. Hal ini bagi mengelakkan aktiviti dalam meningkatkan kemahiran berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris bersifat eksklusif yang hanya melibatkan murid tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, guru sekolah yang merentas mata pelajaran atau bidang boleh memantau aktiviti berbahasa dan memberikan motivasi kepada setiap kumpulan MBMMBI: Sahabat Bahasa. Setiap kumpulan juga boleh menyediakan buku catatan bagi mencatat aktiviti yang dilaksanakan dalam kumpulan masing-masing.
MBMMBI: Sahabat Bahasa dilaksanakan di semua sekolah rendah dan sekolah menengah dan tidak terhad kepada kumpulan murid tertentu atau sekolah tertentu. Aktiviti yang boleh dilaksanakan merupakan aktiviti dalam inisiatif sedia ada seperti deklamasi sajak, bercerita, membaca buku dan bernyanyi. Selain itu, aktiviti permainan juga boleh dilaksanakan dalam kumpulan dengan medium bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Misalnya, bermain congkak, tingting, batu seremban, Sahiba dan sebagainya dengan medium bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
Belajar sambil bermain ini memberikan peluang kepada murid untuk belajar dalam suasana bebas (Shuhaiza Mohd Sharif, Abdul Halim Masnan, 2023). Bagaimanapun, aktiviti berbahasa yang berupa aktiviti pertandingan dan melibatkan kumpulan murid tertentu akan terus berjalan seperti biasa. Begitu juga aspek penilaian dan pentaksiran pencapaian bahasa masih kekal dalam waktu sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) formal yang sedia ada dan bukannya dalam aktiviti MBMMBI: Sahabat Bahasa.
Untuk memudahkan pelaksanaan MBMMBI: Sahabat Bahasa, pihak sekolah boleh menetapkan kaedah seperti pada minggu ganjil untuk aktiviti berbahasa Inggeris dan minggu genap untuk aktiviti berbahasa Melayu. Setiap kumpulan pula boleh melaksanakan aktiviti secara bebas, tidak terhad pada hari dan waktu tertentu sahaja. Aktiviti MBMMBI: Sahabat Bahasa pula perlu mengikut kesesuaian Sahabat Bahasa dan Rakan Bahasa tersebut. Untuk memeriahkan MBMMBI: Sahabat Bahasa, pihak sekolah boleh menetapkan papan kenyataan di dinding dan di sesuatu lokasi untuk setiap kumpulan mengabadikan aktiviti masing-masing. Selain itu, ruang secara digital juga boleh disediakan oleh pihak sekolah bagi mengumpulkan aktiviti dan kejayaan kumpulan Sahabat Bahasa. Semua pelaksanaan MBMMBI: Sahabat Bahasa terletak pada perancangan kumpulan dan hanya sebagai pemudah cara dan pemberi motivasi.
Selain itu, MBMMBI: Sahabat Bahasa merupakan aktiviti yang akan mendapat sokongan profesional daripada pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus. Mereka akan ke Sekolah Pengajar masing-masing untuk membimbing guru bahasa dan Sahabat Bahasa dengan inisiatif sokongan bahasa yang ada. Walau bagaimanapun, pensyarah IPGM Kampus mempunyai kekangan untuk hadir ke semua sekolah di seluruh Malaysia. Oleh itu, perkongsian tentang Program MBMMBI: Sahabat Bahasa, aktiviti yang boleh dilaksanakan serta pendekatan pelaksanaan akan dikongsi dengan guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sektor Pembelajaran dan SISC+ di negeri masing-masing.
IPGM Kampus Bahasa Melayu selaku Peneraju Kecemerlangan Pendidikan Bahasa Melayu mempunyai beberapa aktiviti bahasa yang dilaksanakan dalam MBMMBI: Sahabat Bahasa. Aktiviti ini digerakkan di sekolah dan dikongsi bersama-sama dengan pegawai bahasa JPN dan SISC+. Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Saya Suka Baca (SaSuBa), strategi bacaan kritis, cakna bahasa, pantun, drama sebabak dan permainan bahasa. Aktiviti MBMMBI: Sahabat Bahasa ini diperluas pelaksanaannya di sekolah pengajar IPGM sekitar Kuala Lumpur. Konsep yang sama juga dilaksanakan oleh semua IPGM Kampus seluruh Malaysia.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut memperkasakan Majalah Dalam Kelas (MDK) sebagai satu pengisian aktiviti Sahabat Bahasa. Murid didedahkan penggunaan majalah terbitan DBP bagi memperkasakan aktiviti kebahasaan dalam PdP bahasa Melayu dan aktiviti di luar bilik darjah. Berteraskan konsep murid bimbing murid, aktiviti MDK dapat membudayakan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan murid ketika berkomunikasi sesama mereka. Minat membaca dalam kalangan murid juga dapat dibudayakan apabila bahan bacaan dalam MDK yang ringkas namun bermaklumat dikongsi bersama-sama rakan dalam situasi yang santai.
English Language Training Centre (ELTC) juga mempunyai pelbagai aktiviti bahasa Inggeris yang boleh dilaksanakan dalam MBMMBI: Sahabat Bahasa di sekolah atau dikongsi dengan pegawai bahasa JPN, dan SISC+. Antaranya termasuklah Critical Reading Strategy, English Language Support Partner (ELSP), English at The Workplace dan HIP Remedial Instruction. Aktiviti ini dilaksanakan di semua negeri secara berperingkat. Matlamat murid berupaya berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan yakin lebih mudah dicapai melalui pendekatan aktiviti MBMMBI: Sahabat Bahasa.
Selain itu, Program Interaktif Kemahiran Bahasa Melayu (PIKeBM) dalam kurikulum yang sedia ada turut menjadi satu daripada pengisian MBMMBI: Sahabat Bahasa. PIKeBM berupaya menyemarakkan aktiviti MBMMBI melalui Sahabat Bahasa. Pembudayaan murid berbahasa dengan betul juga dapat diperkasa melalui pendekatan Sahabat Bahasa dalam PIKeBM yang telah sedia difahami konsep pelaksanaannya oleh murid di sekolah.
MBMMBI: Sahabat Bahasa merupakan program yang dapat merangsang kemeriahan aktiviti memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris, khususnya di sekolah-sekolah. Menerusi pendekatan pelaksanaan yang santai dalam kalangan murid sendiri, program ini mampu menyokong menyemarakkan dan membudayakan komunikasi berbahasa dalam kedua-dua bahasa tersebut, khususnya dalam kalangan murid.
Program MBMMBI: Sahabat Bahasa bersifat menyeluruh dalam kalangan murid. Malah, guru tanpa terhad pada sesuatu subjek di sekolah boleh turut bersama-sama dengan kumpulan Sahabat Bahasa ini. Program MBMMBI: Sahabat Bahasa tidak mempunyai jadual, hari dan waktu yang tetap. Sebaliknya, pelaksanaannya adalah bersifat luwes jadual, hari dan waktu mahupun aktiviti.
Semoga Program MBMMBI: Sahabat Bahasa yang berkonsepkan seiring dan sejalan dalam menguasai dwibahasa akan memberikan impak yang tinggi sama ada kemeriahan dan pengukuhan tingkah laku berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Program MBMMBI: Sahabat Bahasa juga mampu menyokong proses pembelajaran bahasa murid-murid. Hal ini penting kerana pembelajaran bahasa diyakini amat bermanfaat bukan sahaja untuk pengetahuan tetapi menyokong kemampuan bagi kehidupan dalam masyarakat (Noor Aina Dani, 2017).
Kredit foto: Kasturi Roy | Unsplash