Oleh Ding Choo Ming
29 Julai 2024, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ungkapan “tuntutlah ilmu sampai ke negeri China” kerap digunakan sebagai dorongan untuk menuntut ilmu di mana-mana sahaja. Antara dua perkara penting yang perlu diberikan perhatian dalam membincangkan ungkapan ini adalah tentang ilmu dan dunia.

Ilmu bermaksud pengetahuan dan kefahaman manusia tentang dunia, manusia, alam dan pelbagai lagi perkara yang telah diusahakan secara sistematik dan sedar. Terdapat dua cara perolehan ilmu yang menjadi pemahaman tentang sesuatu perkara- sama ada tentang diri, kerja, sains dan teknologi atau apa-APA sahaja, iaitu daripada pengalaman sendiri atau daripada sumber lain.

Perkara yang kedua pula adalah tentang dunia. Apakah itu dunia? Seperti yang sedia maklum, dunia ini besar dan sudah wujud jutaan tahun dahulu. Tidak kira sebesar mana dan selama mana dunia ini telah wujud, pemahaman tentang sesuatu perkara sering kali dibatasi oleh tembok yang tidak boleh dilihat. Tembok yang dimaksudkan adalah tentang tembok pemikiran, pemahaman atau ilmu. Hanya setelah tembok itu diterobos, lahirlah pemahaman tentang sesuatu perkara atau pemahaman tentang sesuatu perkara itu akan berbeza. Kehidupan seseorang boleh menjadi berbeza daripada sebelumnya hanya dengan adanya pemahaman, pengetahuan dan ilmu yang baharu. Perbezaan yang terbesar antara manusia adalah sama ada wujudnya tembok pemikiran, pemahaman dan ilmu antara manusia.

Satu-satunya penghalang yang menghambat kita untuk bergerak ialah minda. Seseorang boleh membentuk kehidupan baharu hanya dengan mengubah pemikiran dalam minda yang telah menguasai kehidupan mengikut ilmu, pemikiran dan pengetahuan baharu. Di sini, ilmu, pengetahuan dan pengalaman merupakan kuasa besar untuk menggerakkan bahtera hidup. Kehidupan manusia sudah jauh berbeza dari zaman dahulu oleh sebab dunia dalam abad ke-21 penuh dengan perubahan yang dibawa oleh inovasi sains dan teknologi yang tidak putus-putus berlaku.

Sehubungan dengan itu, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa minda merupakan “penjara yang terbesar” dalam diri seseorang. Hal ini demikian kerana sekiranya seseorang individu berpegang bermati-matian kepada ilmu, pemikiran atau pengalaman lama, individu itu bukan sahaja tidak boleh maju, malah turut ketinggalan daripada orang lain yang lebih maju kerana ilmu, pemikiran dan maklumat baharu. Hal ini jelas kelihatan pada individu, masyarakat dan negara yang berdegil dengan pemikiran dan ideologi lama yang sudah ketinggalan zaman. Walaupun pengalaman merupakan aspek penting untuk mengelakkan seseorang individu daripada melencong dan melakukan kesilapan berulang kali, tetapi kita juga harus mengelak daripada ilusi bahawa pengalaman ialah perkara yang tidak salah dan baik untuk digunakan selama-lamanya. Hal ini demikian kerana terdapat sesetengah pengalaman yang hanya boleh diguna pakai dalam masa dan kes yang tertentu sahaja, namun sekiranya digunakan dalam situasi yang lain, pengalaman tersebut akan berubah menjadi belenggu yang memerangkap pemikiran. Dengan kata lain, seseorang perlu meninggalkan pengalaman lama yang tidak lagi sesuai dan tidak membawa kebaikan.

Perubahan dan Kemajuan Diri

Untuk menjelaskan kedudukan hal yang sebenar dalam ruang lingkup tajuk artikel ini, perbincangan tentang pengalaman seharusnya diberikan perhatian. Masyarakat perlu mengetahui bahawa tidak ada benda di dunia ini boleh kekal, tanpa berubah-ubah, ibarat “lubuk jadi pantaipantai jadi lubuk”. Sekiranya kehidupan penuh dengan pemboleh ubah, maka semakin kita mengejar kestabilan (dalam kepompong yang nyaman atau zon selesa) maka semakin lama semakin sempitlah laluan hidup seseorang. Seseorang individu perlu berani membuat perubahan, tetapi perkara tersebut akan menuntut banyak pengorbanan. Walaupun perubahan pada lazimnya akan membawa ketidakstabilan, gangguan dan masalah pada peringkat awal, tetapi selepas ribut dan taufan, seseorang itu akan berada di sebuah dunia yang baharu, yang lebih baik daripada masa dahulu.

Oleh sebab setiap hari berlalu dengan cepat dan tidak mungkin diulang kembali, maka setiap individu mahu yang terbaik buat dirinya. Akan tetapi, untuk mendapatkan perkara tersebut bukanlah perkara yang mudah, tambahan lagi dalam dunia yang kejam dan tidak adil. Terdapat ramai orang susah dan menderita, namun menangis dan mengadu tidak boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi. Oleh itu, perkara yang perlu dilakukan adalah untuk memperoleh ilmu daripada orang lain dan mempelajari sesuatu yang baharu. Hal ini membawa kita kepada peranan buku sebagai pengantar dan penyebar ilmu, maklumat, pemahaman dan pemikiran manusia dari segenap pelosok dunia dari dahulu hingga sekarang.

Sejak kecil lagi, masyarakat sudah dimaklumkan tentang pelbagai kisah tentang orang yang berjaya, selain diajar tentang peribahasa “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan” dan “hati hendak semua jadi”. Kisah-kisah kejayaan tersebut selalunya sangat memberangsangkan, terutamanya yang dicapai oleh mereka dalam kalangan rakyat biasa, lebih-lebih lagi dari keluarga miskin. Walaupun tiada jalan pintas ke mercu kejayaan, tetapi seseorang itu boleh mendapatkan inspirasi dan panduan daripada kisah perjuangan individu tersebut. Walaupun kisah perjuangan setiap individu itu berbeza, tetapi petua kejayaan mereka adalah sama; kegagalan masa sekarang merupakan sumber kejayaan masa depan. Hal ini bermakna mereka berani dan yakin pada diri sendiri untuk membuat sesuatu yang baharu. Setelah gagal, mereka tidak merasa sedih, mengeluh atau mengadu, tetapi terus belajar tentang kesilapan yang perlu dielakkan.

Antara yang boleh dilakukan adalah dengan mengubah strategi dan membuat penyesuaian yang perlu dari semasa ke semasa. Ketabahan dan kecekalan mereka akan membuahkan hasil pada akhirnya setelah gagal. Sesetengah individu percaya bahawa segala-galanya akan menjadi baik, kerana kegagalan yang dialami itu cumalah sementara waktu asalkan mereka yang jatuh itu boleh bangun semula. Hanya orang yang boleh berfikiran jauh dan mempunyai wawasan serta rancangan jangka masa panjang dapat berjalan lebih jauh ke masa depan. Individu inilah yang dapat berfikir dengan lebih mendalam dan tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang timbul untuk menghadapi masa depan yang tidak diketahui dengan penuh keyakinan. Setiap langkah yang diambil sudah diperhitungkan untuk mencapai matlamat yang ingin dituju. Namun begitu, individu yang hanya menumpukan perhatian pada kepentingan segera di depan mata jarang-jarang dapat melaksanakan kerja yang hebat dalam hidup.

Sehubungan dengan itu, pengalaman individu yang berjaya setelah gagal pada awalnya merupakan contoh yang perlu dipelajari dan contohi. Mesej lain di sebalik kejayaan mereka ialah seseorang individu itu perlu bergantung pada diri sendiri sebagai “tukang feri” untuk membawa diri kepada kejayaan di pantai seberang sungai atau laut.  Seperti yang kita sedia maklum, dunia yang kejam dan penuh dengan persaingan ini tidak akan bersimpati kepada sesiapa juga. Hanya individu yang berani, tabah, cekal dan berusaha untuk bangun semula setelah jatuh akhirnya akan berjaya.

Selain daripada pengalaman sendiri, banyak ilmu dan pemikiran yang berguna boleh ditimba daripada buku yang berperanan besar sebagai sumber ilmu, maklumat dan pengalaman yang penting kepada kita.

 Memanfaatkan Ilmu, Maklumat, Pengalaman dan Pemikiran

Kesemua maklumat, ilmu, pengajaran dan pengalaman boleh didapati bukan sahaja daripada buku, majalah, laporan, dokumen dan lain-lain bahan bercetak, tetapi juga dalam bentuk digital selepas kewujudan Internet pada abad ke-21. Semakin lama semakin banyak maklumat yang sudah ditukar ke dalam bentuk digital dan boleh dicapai melalui hujung hari. Masyarakat kini sungguh bertuah kerana berpeluang mendapatkan ilmu dan maklumat yang tidak terkira banyaknya. Kesemua maklumat, pengajaran, pemikiran dan ilmu dalam gedung atau khazanah maklumat yang besar itu boleh dijadikan pedoman dan sekurang-kurangnya boleh digunakan sebagai lampu untuk menyuluh kegelapan. Yang penting adalah untuk tidak mensia-siakan ilmu, maklumat dan pengajaran yang ditinggalkan generasi sebelumnya, iaitu nenek moyang kita. Perkara tersebut merupakan mutiara kearifan yang mereka tinggalkan setelah berjaya membuat sesuatu perkara. Oleh itu, kita seharusnya belajar untuk memanfaatkan kearifan tersebut untuk memperkasakan diri. Kejayaan dalam sesuatu perkara bukan sahaja bergantung pada usaha kita sendiri, tetapi juga pertolongan orang lain.

Dengan kata lain, seseorang akan dapat menyiapkan kerja yang dilakukan dengan lebih baik dan lebih cepat setelah memanfaatkan ilmu daripada sumber lain. Walaupun usaha seseorang itu bergantung pada diri sendiri, tetapi pertolongan juga diperlukan kerana kadang kala kebolehan seseorang adalah terbatas. Oleh itu, seseorang individu perlu menggunakan ilmu, maklumat, pengalaman, pemikiran dan kearifan luar, iaitu kekuatan orang lain untuk menolong memperbaik kekurangan dan kelemahan, supaya kerja yang dibuat itu dapat disiapkan dengan lebih cepat dan mudah, berbanding kita meraba-raba dalam kegelapan seperti cerita lima orang buta meraba-raba gajah. Oleh sebab tidak nampak dan tidak tahu; maka telinga gajah dikatakan kipas, ekor gajah dikatakan tali, badan gajah dikatakan dinding, kaki gajah dikatakan tiang dan belalai gajah dikatakan ular. Sekiranya dalam situasi itu, seseorang akan diketawakan oleh orang lain kerana bukan sahaja sudah ketinggalan zaman tetapi juga bodoh kerana tidak tahu menggunakan ilmu, maklumat dan kearifan yang ditinggalkan oleh orang lain. Perkara itulah juga antara sebab utama ramai orang suka membaca memoir dan autobiografi tokoh yang berjaya kerana mahu mengetahui rahsia kejayaan mereka agar boleh dimanfaatkan untuk menolong mengatasi masalah dan kemusykilan yang dihadapi.  Hal ini dikatakan demikian kerana walaupun sehebat mana seseorang individu itu, terdapat juga kesilapan di sana sini kerana tidak ada orang yang sempurna, atau yang boleh mengetahui segala-galanya, bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Sehubungan dengan itu, manfaatkan pertolongan dan kekuatan orang lain untuk mencapai mutu kerja seperti yang diinginkan.

Tambahan pula, kearifan, ilmu, petua dan petunjuk yang telah ditinggalkan oleh nenek moyang kita boleh dimanfaatkan secara langsung sebagai pedoman dalam hidup. Misalnya seperti kata pepatah “jika beranak, ikut kata bidan”, “masuk geronggang bawa pelita”, dan “kalau tidak pandai menggelamai, bercirit kambinglah, kelak dikunyah patah gigi, ditelan sembelit”. Selain itu, untuk mengelakkan diri daripada meraba-raba dalam kegelapan, peribahasa Melayu juga mengajar “jika hendak belajar berenang dapatkan itik, hendak belajar memanjat dapatkan tupai”, selain “segan bergalah, hanyut serantau” atau “segan bertanya, sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut”.

Dalam kehidupan pada era persaingan intelek, kreativiti dan inovasi yang hebat antara individu, syarikat dan negara ini, hanya individu yang benar-benar kuat dan hebat akan mengatasi yang lain. Asas kepada kekuatan dan kehebatan mereka sebahagiannya datang daripada ilmu, pemikiran dan maklumat yang sedia ada, manakala sebahagian yang lain pula datang daripada inovasi dan intelek yang sebahagiannya juga bermula daripada ilmu, maklumat dan pemikiran yang sedia ada. Walaupun banyak ilmu, maklumat dan pemikiran boleh disaring daripada buku dan Internet, tetapi analisis ilmu itu juga perlu untuk membangunkan pendidikan rakyat, seterusnya menjana sumber kekayaan bagi membangunkan negara.

Menyedari hal tersebut, hampir semua negara telah memberikan perhatian yang serius dan peruntukan yang besar kepada pembangunan intelek rakyatnya dengan harapan dapat melahirkan lebih banyak pakar dalam pelbagai bidang di universiti dan institut penyelidikan. Di sini, wang yang dibelanjakan itu dipandang sebagai satu lagi bentuk pelaburan untuk masa depan negara. Sebagai rakyat di negara membangun seperti Malaysia, kita seharusnya terus belajar dan membuat penyelidikan untuk memperkasakan diri terlebih dahulu untuk menjamin diri berada dalam laluan ke arah kejayaan yang sudah dicapai di negara maju dan kaya seperti Amerika Syarikat, Jerman, China, Jepun dan Korea. Dengan memperkaya diri dengan ilmu, pengetahuan dan pemahaman yang baharu, rakyat Malaysia boleh bersaing dengan negara lain sekali gus merebut peluang untuk mencapai kejayaan buat diri sendiri nanti. Dengan kata lain, pembelajaran merupakan pelaburan yang terbaik bukan sahaja untuk masa depan kita, tetapi juga memberikan sumbangan kepada kemajuan dan kekayaan negara pada masa akan datang.

Dalam berhadapan dengan realiti persaingan antara sebuah negara dengan negara yang lain di Asia Tenggara seperti Singapura, Vietnam dan Indonesia, kita tidak seharusnya merasa kecewa dan sedih sekiranya ketinggalan. Perkara yang penting dan yang perlu dilakukan adalah dengan mempunyai semangat tinggi untuk terus belajar bagi memperkasakan diri dengan ilmu, maklumat dan pengetahuan baharu, selain menganggap kesusahan sebagai gejala sementara waktu. Hal ini bermakna walaupun terdapat banyak gelombang besar dan onak duri di hadapan, namun janganlah berasa takut atau gentar. Seseorang itu pasti akan bangun semula sebagai orang yang berjaya, kuat dan hebat, asalkan berani berdepan dan bertahan dalam menghadapi segala macam cabaran dan ujian.

Perkara inilah juga yang merupakan pengajaran dan ilmu yang dapat diperoleh daripada pembacaan memoir dan autobiografi tokoh yang berjaya. Kunci kejayaan mereka yang menjadi legenda adalah dengan belajar dan terus belajar untuk meningkatkan daya kognitif sehingga membolehkan seseorang membuat pilihan yang berpandangan jauh pada saat-saat yang genting dalam hidup kita. Sekiranya tidak berpuas hati dengan keadaan yang ada, kita mesti mencuba untuk mengubah dan memperbaikinya. Hal ini bermakna hanya individu yang bersemangat tinggi, berjiwa besar, sanggup berkorban dan bersusah-susah dahulu akan berjaya di kemudian hari. Semakin susah dan besar pengorbanan masa sekarang, semakin bernilai hasil yang dapat dikecap nanti. Kejayaan dan keajaiban yang tercapai dalam hidup tokoh-tokoh yang sudah berjaya ialah hasil daripada gabungan titik peluh, kesabaran, ketekunan yang sudah lama dilakukan, antaranya termasuklah pembacaan buku untuk terus melengkapkan diri dengan ilmu, maklumat dan pemikiran yang terbaharu. Kesimpulannya, ungkapan “menuntut ilmu hingga ke negeri China” masih relevan, iaitu seseorang perlu mencari ilmu di mana-mana jua, bukan hanya dalam lingkungan pelajar, malah setiap lapisan masyarakat di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.