Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohd. Farid Janudin
Kuala Lumpur – Stigma arkaik masih meracuni pemikiran segelintir masyarakat tentang hak dan darjat wanita untuk dihormati dan dijulangi dalam kerangka negara dan ketamadunan bangsa.
Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, peranan wanita perlu diperjuangkan secara adil dan saksama, selari dengan konsep Malaysia MADANI yang meletakkan usaha untuk memastikan golongan hawa tidak tersisih dalam arus pembangunan negara.
Ujar beliau,
Cabaran atau kendala dalam menguruskan negara tidak lari daripada menekankan kembali asas kemasyarakatan yang terkait dengan akhlak, budaya dan kesantunan bahasa.”
“Saya sangat bimbang sebenarnya tentang kesantunan bahasa ini khususnya dalam ruang sosial yang memberikan kesan kepada banyak wanita, seperti kes buli siber dan keganasan rumah tangga sehingga membawa kematian.
“Masyarakat kita hakikatnya memerlukan pendidikan dan pencerahan tentang bagaimana wanita seharusnya bangkit dan juga menggunakan sepenuhnya ruang itu untuk mendapatkan hak mereka.
Menyedari kepentingan bahasa dalam tanggungjawab sosial, beliau berkata,
Resolusi penganjuran Seminar ASWANI dilihat dapat menegakkan nilai-nilai murni dan kesedaran awam berkaitan dengan wanita, khususnya dalam usaha memberikan pedoman dan acuan budaya yang baik.
Demikian antara inti pati yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan dalam Majlis Perasmian Seminar Aspirasi Wanita Madani (ASWANI) yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka.
Seminar ini melibatkan 10 pembentang yang terdiri daripada pakar dalam skop bahasa, sastera, budaya, pendidikan, undang-undang, agama, perundangan, dan sains dan teknologi.
YB Fadhlina mengatakan hasrat bahawa:
DBP perlu menghasilkan lebih banyak buku biografi, yakni memberikan peluang kepada tokoh-tokoh wanita dalam apa-apa jua bidang untuk mengetengahkan sumbangan dan kejayaan mereka.
Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, seminar anjuran DBP itu telah menghimpunkan tokoh, ahli akademik, golongan profesional, aktivis, penulis dan pempengaruh daripada golongan wanita berpengaruh untuk berkongsi pandangan, pengalaman dan pemikiran yang menyentuh hal ehwal wanita.
Kongsi beliau dalam memetik peribahasa Melayu:
Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia, membawa maksud betapa pentingnya peranan wanita yang menjadi penggerak dalam kejayaan sebuah keluarga, organisasi dan negara.
“Harus diakui juga bahawa peranan wanita pada masa ini sudah setanding dengan kaum lelaki.
Beliau berpendapat bahawa keupayaan wanita dalam menyumbangkan idea, kepakaran dan tenaga sangat penting dalam pembinaan generasi kini, selain menjadi tulang belakang negara dalam merealisasikan hasrat dan gagasan kerajaan pada hari ini.