Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada Julai lalu, berlangsung pilihan raya umum di United Kingdom. Seperti lazim, pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan antara dua buah parti utama, iaitu Konservatif dengan Buruh. Akan tetapi, tidak bermakna bahawa parti lain tidak penting dalam mencorakkan percaturan politik di negara itu, terutamanya jika berlakunya “Parlimen tergantung”, seperti yang terjadi pada tahun 2010. Dalam pilihan raya itu menyaksikan Parti Buruh pimpinan Gordon Brown hilang kuasa berikutan Demokrat Liberal pimpinan Nick Clegg membentuk kerajaan campuran dengan Parti Konservatif pimpinan David Cameron. Alasan Clegg bahawa Konservatif memenangi lebih banyak kerusi berbanding dengan Buruh.
Meskipun Parti Konservatif kerap bergolak apabila menyaksikan pucuk pimpinan sering berganti sejak tahun 2016, Parti Buruh gagal mencabar kerajaan penjawat kini. Parti Konservatif yang menang selesa pada tahun 2015, tetapi Cameron meletakkan jawatan Perdana Menteri, berikutan isu Brexit. Beliau digantikan oleh Theresa May, yang kemudian meletakkan jawatan pada tahun 2019 dan digantikan oleh Boris Johnson. Selepas Johnson meletakkan jawatan pada tahun 2022, dua orang Perdana Menteri British muncul menggantikan beliau, iaitu Liz Truss untuk tempoh paling singkat kerana pada tahun itu juga beliau digantikan oleh Rishi Sunak. Dalam tempoh lapan tahun, dengan diterajui oleh lima orang Perdana Menteri seolah-olah melambangkan Britain sebagai sebuah “negara gagal”.
Pada Mei tahun ini, Sunak mengumumkan pilihan raya akan didakan pada 4 Julai. Pengumuman itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemerhati kerana parti pimpinan beliau dijangkakan tewas. Selama berbulan-bulan tinjauan pendapat menunjukkan bahawa Parti Konservatif ketinggalan di belakang Parti Buruh. Pemimpinnya, Sir Keir Starmer bukan sahaja bersiap sedia untuk raih kemenangan, malah dijangkakan menang kerusi Parlimen dengan majoriti besar. Jawapannya mudah, iaitu amat mustahil akan ada masa yang lebih baik. Hampir setiap perkara yang Sunak cuba seakan-akan tidak menjadi kerana hanya memakan diri sendiri. Hal ini demikian kerana penerimaan untuk beliau dalam kalangan orang awam menjadi lebih teruk sebelum akhir tahun ini.
Bagi Parti Buruh, pilihan raya kali ini merupakan peluang terbaik untuk mereka berkuasa semula setelah 14 tahun menjadi pembangkang. Di bawah pimpinan Starmer, parti ini memasuki kempen dengan jauh mendahului Parti Konservatif yang diibaratkan kapal yang sedang karam. Sekiranya Parti Buruh mampu mengekalkan rentak ini, ramalan menunjukkan bahawa mereka akan menang besar. Hampir separuh pengundi Parti Konservatif yang juga dikenali sebagai Tory pada tahun 2019, kini memihak kepada parti lain, terutamanya Buruh atau Reform UK. Sebaliknya, sokongan terhadap Buruh masih kukuh apabila penyingkiran puak kiri tegar oleh Starmer tidak menimbulkan rasa meluat banyak pengundi dan membantu kemenangan parti lain.
Akhbar The Guardian dalam ruangan editorialnya pada 28 Jun, “Sir Keir Starmer Must Win”, kerana hanya kerajaan beliau dapat membentuk masa depan yang dimahukan oleh rakyat di negara tersebut. Berbanding dengan tahun 2019, kali ini tinjauan pendapat menunjukkan bahawa puak Konservatif akan “dicampakkan” oleh pengundi. Penyingkiran mereka akan berlaku tidak berapa lama lagi. Puak Tory tidak wajar menang. Selepas 14 tahun berkuasa, mereka longlai. Dosa asal ialah jimat cermat. Kemudian “Brexit”, apabila para pengundi diberitahu tindakan meninggalkan Kesatuan Eropah adalah baik untuk mereka.
Puak Konservatif memasuki hari pilihan raya dengan kehilangan lebih separuh sokongan mereka. Maka, tidak hairanlah bahawa tinjauan pendapat mengunjurkan jumlah pengundi yang beralih kepada Buruh begitu besar setakat ini, iaitu lebih besar jika dibandingkan dengan mana-mana pilihan raya pascaperang sebelum ini. Sesetengah unjuran menunjukkan bahawa puak Tory jatuh di bawah 100 kerusi.
Walau bagaimanapun, tinjauan pendapat yang dikemaskinikan pada Julai lalu, BBC menunjukkan bahawa berlaku perubahan kecil, tetapi dapat diperhatikan dengan Konservatif memperoleh peningkatan sedikit sokongan, manakala Buruh merosot sedikit. Bahkan, jika dibandingkan tinjauan pendapat kini dengan tinjauan pendapat permulaan kempen, kedua-dua buah parti menyaksikan penarafan purata mereka jatuh, tetapi Buruh jatuh sedikit daripada Konservatif. Walau bagaimanapun, keadaan ini tidak sepatutnya dibesar-besarkan. Buruh masih mendahului kira-kira 18 titik secara purata. Reform UK menduduki tempat ketiga dengan peningkatan sokongan ketika pertengahan kempen pada dua minggu terakhir. Demokrat Liberal berada di kedudukan atas ketika mereka mula berkempen.
Tinjauan itu menyatakan bahawa keyakinan mutlak terhadap pemenang. Buruh siap sedia untuk menang dan bersiap sedia untuk menang besar. Pilihan raya ini akan berlaku seperti yang pernah dilihat sebelum apabila Buruh bersiap sedia untuk menterbalikkan keputusan teruk mereka sejak tahun 1935 kepada kemungkinan memecah rekod dalam hanya satu kitaran pilihan raya.
Berjuta-juta orang pengundi di seluruh negara ini menuju ke tempat mengundi untuk buang undi dalam pilihan raya umum yang dapat mencetuskan kejutan besar dalam politik British. Tinjauan pendapat utama bagi akhbar The Independent, menunjukkan bahawa Rishi Sunak yang menerajui Konservatif mengalami kekalahan teruk dalam sejarah dengan hanya menang sebanyak 82 kerusi.
Sekiranya ramalan ini tepat, Canselor Jeremy Hunt dan setiausaha pertahanan Grant Shapps adalah antara calon Konservatif yang akan tersingkir. Sunak dilaporkan takut kalah di kerusinya sendiri di Richmond, tetapi beliau menegaskan bahawa beliau masih berjuang selepas sekutu paling rapatnya, Mel Stride, kelihatan mengakui bahawa Tory akan menanggung kekalahan teruk. Sebaliknya, menurut tinjauan pendapat, Sir Keir Starmer boleh memasuki pintu Nombor 10 dengan kemenangan sebanyak 272 kerusi majoriti di belakang beliau yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Dalam politik satu minggu merupakan masa yang panjang,” kata Perdana Menteri British, Harold Wilson. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Banyak perkara berlaku dalam masa singkat.
Apabila satu demi satu keputusan pilihan raya diumumkan, pastinya hal itu menjadikan malam yang panjang bagi Rishi Sunak. Beliau yang sejak kira-kira dua tahun lalu mengemudi kapal yang sedang karam gagal menyelamatkan keadaan, bahkan menjadi lebih teruk. Rasa sangat gembira sesetengah orang apabila Sunak dilantik sebagai Perdana Menteri, yakni orang keturunan Asia pertama menerajui bekas negara kolonial kini kian pudar dalam sekelip mata. Lazimnya, pemimpin parti yang kalah akan meletakkan jawatan dalam parti. Seterusnya, berundur daripada politik!
Penulis, mantan Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka.