21 Ogos 2024, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Palestin merupakan sebuah wilayah yang terletak di Mediterranean Timur. Palestin bersempadan dengan Israel, Jordan, dan Lebonan. Selepas Perang Dunia Pertama, Liga Bangsa-bangsa telah memberikan mandat kepada Britain untuk mentadbir Palestin. Mandat British bertujuan untuk menubuhkan sebuah negara untuk orang Yahudi dan melindungi hak majoriti Arab. Walau bagaimanapun, ketegangan antara masyarakat Arab dengan Yahudi mula meningkat, menyebabkan pergolakan dan keganasan yang meluas berlaku di Palestin. Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencadangkan pembahagian Palestin kepada negara Yahudi dan Arab, yang berasingan dengan Baitulmaqdis sebagai bandar yang ditadbir pada peringkat antarabangsa.

Semasa pemerintahan British, idea mengenai negara Yahudi dan Arab yang berasingan telah dicadangkan beberapa kali. Walau bagaimanapun, cadangan ini mendapat tentangan daripada kedua-dua komuniti sehingga menyukarkan pihak berkuasa British untuk mencari penyelesaian kepada pergolakan yang semakin meningkat.

Pada 14 Mei 1948, negara Israel telah ditubuhkan, menandakan berakhirnya pemerintahan British di Palestin. Peristiwa ini mencetuskan Perang Arab-Israel pertama, yang melibatkan negara-negara Arab jiran, yang akhirnya membawa kepada perpindahan ratusan ribu orang Arab Palestin. Israel telah menakluki Tebing Barat Palestin dan menuntut seluruh Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya, manakala Palestin mendakwa Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Dalam jangka masa 50 tahun lalu, Israel telah membina penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, iaitu lokasi yang menempatkan lebih 700,000 orang Yahudi kini menetap. Penempatan dan penaklukan ini dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa, namun Israel menolak kenyataan ini. Dalam perang pada tahun 1967, Israel menduduki Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat, serta sebahagian besar Dataran Tinggi Golan Syria, Gaza dan semenanjung Sinai Mesir.

Kota Jerusalem yang terletak di kawasan barat Asia merupakan satu daripada bandar tertua di dunia dan telah lama memegang kepentingan simbolik yang sangat besar sebagai kota suci agama Islam. Baitulmaqdis dianggap sebagai ibu kota oleh kedua-dua Israel dan Palestin. Hal ini demikian kerana Israel mengekalkan institusi kerajaan utamanya di Baitulmaqdis, dan Palestin berhasrat untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.

Bayram Sinkaya (2016) dalam bukunya Introduction to the Middle East Politics: Leading Factors, Actors and Dynamics,  menyatakan bahawa politik Timur Tengah boleh dianalisis dari tiga perspektif. Pertama, isu Arab-Israel. Legitimasi dan kedaulatan Israel tidak diiktiraf oleh negara-negara Arab, kerana tanah yang diduduki oleh Israel adalah milik mereka. Kedua, konflik Palestin-Israel. Gangguan proses damai antara Palestin dan Israel bermula apabila Israel menawan dan menduduki Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan Gaza, yang sebelum ini diduduki oleh rakyat Palestin. Ketiga, konflik agama. Jerusalem diiktiraf sebagai satu daripada kota suci Islam tetapi telah ditakluki oleh Israel selepas perang 1967, yang mengisytiharkan seluruh Baitulmaqdis sebagai ibu kota mereka pada tahun 1980.

Satu daripada serangan terbesar yang dilancarkan oleh Israel berlaku pada bulan Oktober 2023. Serangan berterusan Israel ke atas Palestin terutamanya di Gaza telah membunuh kira-kira 34,904 orang (kira-kira 14,500 daripadanya ialah kanak-kanak) dan kira-kira 78,514 orang cedera. Dalam usaha memahami perspektif rakyat Palestin terhadap pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai ini, penulis telah menemu bual sebanyak 10 orang rakyat Palestin yang kini berada di Malaysia.

Antara individu yang ditemu bual termasuklah mereka yang sedang menjalankan perniagaan di Malaysia, melanjutkan pelajaran di universiti awam dan swasta di Malaysia. Semua responden yang ditemu bual telah melalui keperitan hidup di Palestin akibat pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel. Temu-bual ini memberikan peluang kepada penyelidik untuk memahami perspektif dan pengalaman hidup rakyat Palestin dalam menempuhi keganasan Israel di Palestin.

Penulis telah mengenal pasti bahawa rata-rata responden kajian yang ditemu bual menyatakan bahawa mereka telah menyaksikan sekurang-kurangnya lima hingga enam pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Palestin sejak kecil lagi. Berdasarkan hasil temu bual, penulis telah merumuskan beberapa pengalaman dan pandangan mereka terhadap penindasan berterusan yang berlaku di Palestin.

Rata-rata responden penyelidikan menyatakan bahawa tindakan Israel merupakan satu pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah dan bukanlah satu pencerobohan atau perang semata-mata. Mereka mengecam tindakan Israel yang membunuh wanita dan kanak-kanak Palestin yang tidak bersalah. Tindakan ini secara jelas menyalahi undang-undang antarabangsa yang tidak diendahkan oleh Israel. Responden penyelidikan menyifatkan bahawa tindakan ini merupakan satu kaedah pembersihan etnik, iaitu rakyat Palestin di bumi mereka sendiri. Responden kajian yang kini berada di Malaysia menyatakan bahawa walaupun mereka berada di Malaysia, namun mereka turut mengalami tekanan minda kerana pada setiap masa ada sahaja ahli keluarga dan saudara-mara mereka dibunuh di Palestin terutamanya di Gaza. Mereka menyatakan bahawa rakyat Palestin seolah-olah sedang menunggu giliran untuk dibunuh oleh tentera Israel.

Responden penyelidikan juga berkongsi pengalaman bahawa mereka tidak pernah melalui zaman kanak-kanak yang normal seperti kanak-kanak di negara lain yang aman dan damai. Mereka menyatakan bahawa mereka membesar dalam persekitaran yang dibelenggu keganasan dan penindasan. Sebagai contoh, kanak-kanak Palestin tidak bebas bermain di luar rumah dan pergi ke sekolah kerana askar-askar Israel sentiasa membuat rondaan dan serangan atau pembunuhan akan berlaku pada bila-bila masa sahaja. Maka, mereka tidak mengenali dunia yang aman, Keadaan ini jelas memberikan impak yang besar terhadap pembentukan keperibadian dan kesihatan mental mereka. Contohnya, responden kajian menyatakan bahawa mereka teringat pengeboman setiap kali mereka terdengar dentuman guruh yang kuat di Malaysia.

Selain itu, responden penyelidikan juga turut berkongsi tentang keadaan di Gaza. Kemusnahan yang berlaku di Gaza baru-baru ini, iaitu sejak Oktober 2023 merupakan serangan yang paling teruk dan membawa kepada kemusnahan yang tidak boleh dibayangkan oleh masyarakat luar, terutamanya di Gaza. Responden menyatakan bahawa hampir keseluruhan Gaza musnah, termasuklah sekolah, universiti, hospital, rumah dan sebagainya dalam serangan Israel tersebut. Majoriti mereka tinggal merempat di tengah-tengah jalan dan kawasan-kawasan yang telah musnah akibat serangan Israel yang berterusan.

Antara perkara yang paling teruk termasuklah mereka tidak mempunyai makanan yang secukupnya dan air bersih untuk diminum. Ada antara mereka terutamanya kanak-kanak yang mati kebuluran dan kehausan. Responden menyatakan bahawa sebagai rakyat Palestin, mereka tidak dapat menghalang penindasan ini terutamanya yang melibatkan kanak-kanak dan wanita. Mereka hanya mampu melihat keadaan ini berlaku sehingga ada responden yang menyoal kewujudan undang-undang antarabangsa dan pertubuhan- antarabangsa yang tidak berupaya menghentikan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan ini.

Dari segi ekonomi, mereka menyatakan bahawa mereka tiada sebarang sumber pendapatan atau pekerjaan kerana hampir semua tempat di Gaza telah musnah akibat serangan terbaharu Israel di Palestin. Contohnya, ada responden yang sebelum ini bekerja sebagai seorang pensyarah di universiti di Palestin, tetapi kini tiada pekerjaan kerana universiti tersebut telah musnah dalam serangan pada bulan Oktober lalu dan para pelajar tidak dapat menyambung pengajian.

Responden juga menzahirkan rasa risau akan masa depan para pelajar yang tidak dapat menyambung pelajaran. Ada responden yang menyatakan bahawa mereka terpaksa keluar dari Palestin kerana mereka khuatir mereka juga akan terbunuh dalam serangan Israel. Responden juga berkongsi informasi bahawa bukan senang untuk keluar dari Palestin kerana jalan udara dan darat disekat oleh Israel. Jika mereka hendak keluar dari Palestin, mereka memerlukan kos yang tinggi untuk setiap orang dan mereka hanya mampu menyelamatkan beberapa orang ahli keluarga sahaja kerana kekangan kewangan. Ada responden yang mengatakan bahawa kos untuk keluar dari Palestin akan mencecah hampir RM20,000 untuk seorang individu.

Berdasarkan dapatan kajian, responden menyeru masyarakat dunia berganding bahu dalam membanteras sebarang bentuk keganasan dan penindasan terhadap mana-mana masyarakat termasuklah rakyat Palestin. Responden kajian menzahirkan rasa terima kasih kepada masyarakat dunia termasuklah rakyat Malaysia yang membantah kekejaman Israel terhadap Palestin dengan memboikot perniagaan yang mempunyai kaitan dengan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin secara berterusan. Walau bagaimanapun, responden kajian menyeru agar tindakan yang berterusan perlu dilaksanakan sebagai tanda bantahan terhadap keganasan dan penindasan yang dilakukan oleh Israel, sekali gus memastikan bahawa suara rakyat Palestin dapat didengar oleh seluruh masyarakat dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.