27 Ogos 2024, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan oleh seorang pempengaruh yang agak terkenal dalam kalangan pengamal aplikasi Tiktok tentang isu penjualan sijil akademik. Pembongkaran yang dilakukan oleh beliau itu melibatkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang agak dikenali dalam kalangan masyarakat. Pendedahan yang dilakukan ini dilalui oleh beliau kerana ingin meluahkan rasa tidak puas hati terhadap IPTA berkenaan.

Namun begitu, IPTA berkenaan telah mengeluarkan suatu kenyataan rasmi yang menjelaskan bahawa pihak mereka tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan yang dilakukan oleh pempengaruh tersebut serta meminta orang ramai yakni warga siber di luar sana untuk sentiasa memastikan kesahihan maklumat yang diterima menerusi media sosial. Persoalannya, adakah aktiviti pembelian sijil akademik ini wujud dan sekiranya benar, apakah bukti untuk mengukuhkan kewujudan aktiviti tersebut?

Terlebih dahulu, kita perlu memahami secara ringkas perkara yang dimaksudkan dengan sijil akademik dan kepentingan sijil tersebut kepada seseorang individu. Sijil akademik merupakan suatu dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh institusi pendidikan bagi mengesahkan bahawa seseorang itu telah berjaya menyelesaikan kursus, program atau pengajian tertentu. Sijil ini kebiasaannya merangkumi maklumat penting tentang kelayakan akademik seseorang, seperti tahap pengajian yang telah diselesaikan, subjek yang dipelajari dan gred atau keputusan yang dicapai. Sijil ini dapat dikategorikan kepada beberapa jenis, iaitu sijil pendidikan rendah, menengah, tinggi, profesional dan kemahiran. Dalam penulisan ini, tumpuan terhadap sijil akademik pada peringkat tinggi, profesional dan kemahiran diberikan penekanan.

Antara kepentingan sijil akademik kepada seseorang individu adalah sebagai kelayakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Seterusnya, sijil tersebut menjadi bukti untuk meyakinkan majikan mengenai tahap kemahiran dan pengetahuan seseorang serta kerelevanan semasa memohon sesuatu pekerjaan. Dalam erti kata lain, sijil akademik diperlukan oleh seseorang untuk melayakkan individu tersebut memohon pekerjaan mengikut tahap pekerjaan tersebut. Oleh itu, masyarakat kini amat menitikberatkan perkara terbabit sehingga telah menjadi suatu kewajipan bagi generasi kini untuk sekurang-kurangnya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading demi mendapatkan sehelai sijil akademik. Perkara ini dapat dibuktikan dengan statistik yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi tahun 2023, iaitu sebanyak 79 668 calon daripada 144 911 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditawarkan untuk menyambung pengajian.

Sijil akademik turut mendapat tempat dalam kalangan individu yang sedang bekerja atas faktor gesaan majikan atau secara sukarela. Kelazimanny, tujuan perkara tersebut berlaku disebabkan oleh faktor untuk kenaikan pangkat serta untuk meningkatkan gred gaji yang sedia ada. Dengan permintaan yang semakin meningkat, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) baik daripada kerajaan atau swasta menawarkan kursus bekerja sambil belajar yang melibatkan mod pembelajaran yang fleksibel serta tugasan yang tidak membebankan pelajar. Penawaran tersebut sedikit sebanyak menimbulkan keraguan kerana terdapat anggapan bahawa institusi-institusi ini cuba mencari “duit lebih” dalam kesempatan tersebut.

Walau bagaimanapun, perkara ini dilihat bukan lagi mitos, namun seakan-akan realiti yang sedang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini. Menurut Mark Leow (2024), Pengarah Urusan Verity Intelligence, iaitu sebuah syarikat yang menawarkan servis penyemakan latar belakang dan pengesahan syarikat di Malaysia dan Singapura, pihak mereka telah mengesan trend peningkatan berkenaan kes pemalsuan sijil akademik pada setiap tahun.

Pemalsuan terbabit boleh berlaku apabila pelaku memalsukan dokumen terbabit secara sendiri atau membeli dokumen terbabit melalui sindiket yang bernaung di sebalik nama institusi pengajian. Kenyataan Pengarah Urusan Verity Intelligence ini telah diperkukuh dengan kenyataan rasmi dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan menyatakan bahawa pihak mereka akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana IPTS atau IPTA serta individu yang terlibat dalam urus niaga serta pemalsuan sijil akademik. Pada peringkat kementerian sendiri, pemantauan dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui pemeriksaan ke atas IPTS dan IPTA selaras dengan Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 (Akta 555) berkaitan dengan pengeluaran sijil palsu. Perkara ini memberikan isyarat bahawa pihak KPT sendiri mengakui kewujudan isu pembelian sijil akademik ini yang menggunakan nama institusi pengajian. Sehubungan dengan itu, sudah terang lagi bersuluh, isu yang dibangkitkan dalam penulisan ini bukan  suatu mitos yang direka-reka, namun merupakan realiti yang sedang ditempuh oleh masyarakat pada masa ini.

Berbalik pada isu yang ditimbulkan oleh pempengaruh terbabit, sememangnya benar wujudnya kes pembelian sijil akademik dan terdapat segelintir institusi pengajian yang menjualnya untuk mengaut keuntungan. Walaupun begitu, perbuatan mengeluarkan kenyataan yang jelik dengan menuduh sebuah institusi secara terang-terangan tanpa bukti yang kukuh merupakan suatu perkara yang dangkal. Isu ini tidak boleh sekadar diperjuangkan dalam media sosial tanpa bukti yang jelas.

Tindakan yang dilakukan oleh pempengaruh tersebut dianggap sebagai tindakan keanak-anakan dan bukannya sebagai tindakan bijak seperti yang sering dibandingkan oleh pempengaruh tersebut dengan orang lain melalui kandungan (content) yang dikeluarkan. Sekiranya benar isu tersebut berlaku dalam institusi terbabit, beliau sewajarnya mengutarakan isu tersebut melalui saluran yang tepat dan tidak melakukan perbuatan seperti “mengorek lubang ulat”, iaitu sengaja mencari isu untuk bertelagah demi menaikkan jumlah tontonan dalam media sosial.

Kesimpulannya, isu pembelian sijil ini wujud dan sudah lama berakar umbi dalam sistem pendidikan di negara kita. Namun begitu, pihak berwajib akan sentiasa melakukan siasatan untuk menjejak sindiket berkenaan serta membawa perkara tersebut ke muka pengadilan. Selain itu, masyarakat juga sepatutnya tidak membuat tuduhan melulu serta perlu menyiasat terlebih dahulu untuk mendapatkan bukti kukuh bagi tuduhan yang dilemparkan itu. Semua lapisan masyarakat perlu berganding bahu untuk sedaya upaya mengelakkan urus niaga yang mencemarkan prestij institusi pendidikan serta nilai sijil akademik tersebut, baik pada peringkat rendah hinggalah ke peringkat tertinggi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.