Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius isu yang dibangkitkan oleh ibu bapa dan masyarakat, khususnya berkaitan dengan penyusunan semula kurikulum dan program intervensi.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Azman Haji Adnan memaklumkan bahawa KPM akan mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah keciciran pembelajaran yang melibatkan isu berkenaan pada awal sesi persekolahan.
Dalam sidang media KPM pada pagi ini, beliau berkata,
KPM telah mengambil langkah proaktif seawal 18 Mac tahun ini berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat dengan melaksanakan intervensi kurikulum bagi menangani isu berkaitan dengan keciciran pembelajaran.
“Kurikulum bagi empat mata pelajaran utama pada peringkat Tahap Satu sekolah rendah – Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris – telah disusun semula.
Menurut beliau, penjajaran semula ini juga memperlihatkan pengurangan kepadatan kurikulum hingga 50 peratus bagi mata pelajaran Matematik dan Sains.
Dokumen penjajaran kurikulum ini boleh digunakan bersama-sama Modul Bimbingan (MOBIM) yang turut disediakan sebagai sokongan kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
Dokumen penjajaran kurikulum melibatkan pengemaskinian dan penyusunan semula kandungan dengan menggabungkan beberapa standard pembelajaran dan standard kandungan, serta menggunakan istilah yang lebih mudah difahami.
Standard pembelajaran dan standard kandungan ini juga akan dibawa ke Tahun Dua apabila anak-anak semakin kompeten dalam menguasai kurikulum Tahun Satu.
Untuk menangani keciciran pembelajaran, beliau menyatakan bahawa pengesanan awal literasi dan numerasi bagi murid Tahun Satu dilaksanakan selepas tiga bulan mereka mengikuti pengajaran dan pembelajaran di Tahun Satu, pada bulan Mac setiap tahun.
Tujuan pengesanan ini adalah untuk mengenal pasti murid yang belum menguasai kemahiran literasi dan numerasi agar intervensi awal yang sesuai dapat dilaksanakan.
“Jika murid masih belum menguasai literasi dan numerasi setelah tiga bulan, mereka akan kekal dalam Program Intervensi Tahun Satu untuk tempoh tiga bulan lagi.
Proses pengesanan ini dijalankan oleh guru mata pelajaran Tahun Satu melalui PBD, menggunakan kriteria yang ditetapkan untuk menentukan murid yang belum menguasai membaca, menulis dan mengira (3M).
Intervensi dilaksanakan dengan memberikan bimbingan secara berfokus di bilik yang berasingan. Program ini dikendalikan oleh guru mata pelajaran Tahun Satu atau guru sekolah rendah yang ditentukan oleh guru besar dan berlangsung selama tiga bulan selepas pengesanan awal pada bulan Julai, tiga bulan setelah sesi persekolahan bermula.
Guru yang terlibat dalam Program Intervensi Tahun Satu perlu menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) mengikut arahan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 1999.
Selain itu, penambahbaikan telah dilakukan pada sistem pelaporan PBD, di mana pelaporan tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) kini dipaparkan dalam bentuk peratus dan gred. Ibu bapa juga dapat mengakses keputusan ini secara dalam talian, memudahkan mereka untuk memantau prestasi akademik anak-anak dengan lebih mudah dan berkesan.
Untuk memastikan langkah pembaharuan ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, guru akan diberikan latihan yang menyeluruh untuk memastikan pelaksanaan penjajaran kurikulum dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya melalui pelbagai medium, termasuklah webinar, taklimat dan bengkel.
Beliau juga memaklumkan bahawa KPM telah menubuhkan pasukan petugas khas intervensi kurikulum yang berperanan penting dalam memastikan kejayaan pelaksanaan program intervensi.
“Pasukan petugas khas ini diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Dasar dan Kurikulum, Dr. Ahmad Rafee Che Kassim, yang dianggotai oleh semua bahagian yang terlibat di KPM dan juga oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan,” kata beliau.
Pasukan ini bertanggungjawab merangka strategi pelaksanaan intervensi kurikulum, menetapkan aktiviti utama dan sokongan, serta memantau pelaksanaan program tersebut bagi memastikan setiap intervensi dijalankan secara efektif dan mencapai matlamat yang ditetapkan.