15 September 2024, 01:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penjawat Awam adalah mata, telinga dan nadi pelaksana dasar dan perancangan kerajaan. Di bahu mereka terletak amanah berat yang perlu direalisasikan. Setiap undang-undang yang digubal, dirancang dan disarankan oleh kerajaan perlu diterjemahkan oleh penjawat awam dalam bentuk perkhidmatan kepada rakyat. Peranan dan tanggungjawab ini bukanlah sesuatu yang enteng dan mudah kerana memerlukan komitmen, kerjasama dan keikhlasan daripada penjawat awam. Bak kata pepatah Melayu, “berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya”. Betapa besar dan sukarnya peranan penjawat awam demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Tugas utama penjawat awam adalah sebagai orang tengah yang berurusan  antara kerajaan dengan rakyat serta orang ramai secara umumnya. Baik dan buruk perkhidmatan mereka akan memberikan gambaran terhadap kualiti sesebuah kerajaan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini aspek perkhidmatan awam menghadapi cabaran yang hebat dalam usaha menyampaikan perkhidmatan terbaik mereka kepada masyarakat awam.

Sering kali kita terdengar, persepsi segelintir orang awam yang sering mengaitkan urusan di kaunter-kaunter agensi kerajaan berada dalam keadaan kurang memuaskan. Rungutan orang awam seperti tidak menepati masa, keluar makan dan minum dalam tempoh yang lama, kaunter urusan yang sering tutup dan sebagainya seakan-akan sudah sebati dan dikaitkan dengan penjawat awam.

Namun begitu, mutakhir ini pihak kerajaan telah memandang serius isu persepsi masyarakat terhadap penjawat awam. Kerajaan yang kini yang dipimpin oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri telah memberikan keutamaan dalam usaha untuk meningkatkan kualiti dan tatakelola sektor awam. Hal ini memberikan suntikan baharu kepada penjawat awam untuk membuktikan kualiti perkhidmatan mereka kepada masyarakat, sekali gus memberikan khidmat terbaik kepada orang awam. Perkara yang sama juga telah ditegaskan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi majlis penyampaian amanat sulung beliau kepada penjawat awam baru-baru ini.

Menerusi amanat sulung beliau, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah mengemukakan 20 puluh strategi yang akan diberikan penekanan oleh beliau sebagai usaha untuk memberikan nilai tambah kepada institusi awam sebagai saluran utama komunikasi antara kerajaan dengan rakyat. Dua puluh strategi ini disenaraikan dalam Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) yang telah dibentangkan oleh beliau. Terdapat lima BKR yang menjadi keutamaan beliau, iaitu Penghayatan Nilai dan Tatakelola; Pembangunan Modal Insan; Pembangunan Organisasi; Penyampaian Perkhidmatan; serta Memperkasakan Sinergi Awam dan Swasta.

Meneliti secara umum kelima-lima bidang tumpuan dan keutamaan KSN ini, dapat ditafsirkan bahawa reformasi yang dirangka ini mampu untuk mengubah persepsi kurang baik masyarakat terhadap institusi awam, khususnya terhadap penjawat awam. Bidang Penyampaian Perkhidmatan contohnya ialah bidang yang sering memberikan kesan secara langsung kepada masyarakat terutamanya individu yang berurusan di kaunter agensi kerajaan. Pada kebiasaannya, mereka akan menghadapi isu komunikasi yang tidak lancar antara petugas kaunter dan terdapat kerenah birokrasi yang tidak sepatutnya berlaku sehingga melengahkan sesuatu urusan. Dengan penerapan nilai yang baik dalam kalangan penjawat awam seharusnya mereka lebih peka dan ikhlas dalam memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan mereka, iaitu rakyat.

Perkara yang amat menarik dalam amanat KSN ini termasuklah pengenalan konsep kecerdasan butaan (AI), iaitu konsep kerjasama yang menyeluruh untuk menghasilkan perkhidmatan terbaik. Menurut KSN, AI merujuk kepada “bersekutu” (associated) yang menekankan konsep “negara secara menyeluruh” (whole-of-nation) dengan membabitkan sektor swasta, manakala “bersepadu” (integrated) pula menekankan konsep “keseluruhan kerajaan” (whole-of-government) yang membabitkan integrasi antara jabatan kerajaan. Peningkatan kerjasama serta komunikasi yang tersusun antara semua agensi kerajaan ialah langkah tepat bagi meningkatkan sinergi serta daya kerja berkualiti dalam kalangan penjawat awam. Hal ini demikian kerana secara realitinya setiap perkhidmatan yang ditawarkan oleh kerajaan melalui agensi-agensinya adalah terkait antara satu sama lain. Hal ini juga merupakan satu rantaian maklumat yang boleh bergerak menjadi satu ekosistem yang berkesan dalam menangani isu-isu yang dikemukakan oleh rakyat.

Perkara ini menjadi lebih berkesan kerana AI yang dimaksudkan oleh KSN turut merujuk kerjasama dengan pihak swasta, selain bersekutu dan bersepadu antara satu sama lain termasuklah agensi swasta yang berkaitan yang akan memberikan nilai tambah berganda kepada perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi awam kepada masyarakat.

Menurut KSN, BKR yang dikemukakan oleh beliau adalah selari dengan konsep dan matlamat ekonomi MADANI yang menjadi tunjang kepada proses pembangunan negara yang telah diusulkan oleh Perdana Menteri. Seiring dengan aspirasi kerajaan pada masa ini, sektor awam seharusnya mampu menjadi barisan hadapan yang padu dalam menangani serta mendepani setiap isu rakyat dengan memberikan penyelesaian terbaik kepada masyarakat. Pada masa yang sama, mengaitkan ekonomi MADANI dengan peranan penjawat awam yang ditekankan oleh KSN ini menunjukkan bahawa keselarian yang tepat pada masanya. Ekonomi MADANI yang memfokuskan pada dua aspek utama, iaitu penstrukturan semula ekonomi Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan fokus kedua pula untuk meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.

Selaras dengan fokus ini, penyampaian yang berkesan daripada agensi kerajaan yang berkaitan amatlah diperlukan. Tuntutan reformasi berkesan dengan keberhasilan yang jitu perlu diwajibkan kepada seluruh penggerak sektor awam. Reformasi menyeluruh yang dicadangkan oleh KSN pada amanat sulung beliau perlu diamati dan dihayati oleh seluruh penjawat awam.

Inilah masanya. Mungkin rangkai kata ini sesuai untuk ditujukan kepada seluruh penjawat awam. Inilah masanya untuk menyahut cabaran KSN sebagai satu inspirasi dalam merealisasikan tanggungjawab sebagai petugas awam. Inilah masanya juga bagi seluruh penjawat awam untuk membuktikan segala persepsi negatif masyarakat berkaitan dengan perkhidmatan mereka kepada rakyat yang dilontarkan selama ini adalah tidak tepat.

Dalam konteks penjawat awam, amanat sulung KSN ini sebenarnya merupakan cabaran kepada seluruh anggota sektor awam. Sebelum ini, penjawat awam telah menerima khabar gembira pada bulan Ogos yang lepas ekoran pengumuman Perdana Menteri berkaitan dengan tawaran penyelarasan gaji yang memberikan kesan terhadap kenaikan gaji seluruh anggotan awam dalam pelbagai kategori perjawatan. Berita gembira tersebut merupakan satu daripada keprihatinan dan kepercayaan kerjaan terhadap keupayaan sebenar sektor awam di Malaysia. Maka itu, inilah masanya juga penjawat awam perlu mengambil kesempatan untuk memperkukuh keyakinan kerajaan terhadap kebolehan dan ketelusan sektor awam di negara ini.

Amanat sulung KSN itu boleh dianggap sebagai cabaran dan motivasi terbaik kepada penjawat awam untuk bergerak seiring dengan aspirasi kerajaan sebagai pasukan barisan hadapan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Harapan masyarakat yang tertangguh selama ini untuk mendapat perkhidmatan berkualiti daripada sektor awam seharusnya direalisasikan oleh penjawat awam kini dan pada masa akan datang.

Seperti penegasan oleh KSN dalam amanat sulung beliau, yakni daripada BKR yang dikemukakan itu terdapat perkara yang mudah dan boleh direalisasikan segera dan ada juga yang memerlukan tempoh masa yang sederhana dan panjang untuk dilaksanakan. Tegas beliau, kini tanggungjawab besar yang diamanahkan untuk melaksanakannya kini terletak di bahu penjawat awam sepenuhnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.