Bersempena dengan upacara Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-42, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan titah kepada pegawai kadet dan tetamu undangan yang hadir.
Yang berikut diperturunkan titah baginda bersempena dengan upacara tersebut yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 21 September 2024.
Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,
Dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala, Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam, kali ke-42 dilangsungkan, ketika negara baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-67. Saudara saudari, yang gagah berdiri di hadapan Beta, mencipta sejarah peribadi dalam bidang ketenteraan. Dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sebanyak 1435 orang pegawai kadet akan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda, Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat, Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Penubuhan angkatan tentera merupakan satu keperluan bagi sesebuah negara, yakni satu kemestian yang tidak boleh ditiadakan. Angkatan tentera bukan sekadar keperluan yang tercetus daripada logika pemikiran insan, tetapi merupakan satu tuntutan fardu kifayah yang wajib dipenuhi berpandukan ayat 60 Surah Al-Anfal:
Bermaksud:
“Dan buatlah persediaan untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda yang lengkap supaya dapat menggentarkan musuh Allah, musuh kamu dan musuh selain mereka yang tidak kamu ketahui sedangkan Allah mengetahuinya…”
Ayat 60 Surah Al-Anfal menjadi dalil tentang wajibnya supaya kita mempersiapkan segala jenis kelengkapan alat senjata dan kekuatan perang untuk menghadapi Persediaan itu hendaklah sesuai dengan keadaan zaman dan setanding dengan peralatan senjata yang digunakan oleh pihak lawan. Memperkenalkan program pegawai kadet, pasukan latihan pegawai simpanan melalui jalinan kerjasama angkatan tentera dengan universiti awam merupakan program mempersiapkan sumber manusia terlatih dalam bidang ketenteraan, seiring dengan seruan Ilahi yang tersurat dan tersirat dalam ayat 60 Surah Al-Anfal.
Angkatan Tentera Malaysia telah melalui proses evolusi yang berterusan, iaitu bermula dari pasukan tambahan dalam tentera British kepada pasukan menentang insurgensi, seterusnya menjadi sebuah angkatan Raja-raja Melayu berperanan utama mencorakkan rupa bentuk angkatan tentera di bumi ini. Penyertaan anak watan dalam angkatan tentera di bumi ini, bermula dengan ketetapan Raja-raja Melayu dalam Persidangan Durbar, disusuli dengan pengambilan sebanyak 25 orang pemuda Melayu sebagai skuad percubaan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mei 1933. Rejimen ini kemudiannya berkembang, dan lima tahun kemudian menjadi batalion penuh pada 1 Januari 1938, dikenali sebagai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu. Terkandung dalam satu daripada tujuh wasiat Raja-raja Melayu menetapkan:
Petikan: “Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu Diraja selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara”
Memahami hakikat komposisi rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, adalah penting diusahakan tanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh dipikul secara bersama, bermakna komposisi angkatan tentera di negara ini tidak dibatasi kepada orang-orang Melayu sahaja. Pada tahun 1952, penyertaan bukan Melayu dalam angkatan tentera dirintis dengan penubuhan batalion pertama Rejimen Persekutuan dan Skuadron A, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan; diikuti dengan penubuhan unit-unit signal, jurutera, pengangkutan dan polis tentera; serta penubuhan Maktab Tentera Persekutuan di Port Dickson yang membuka pengambilan pelajar untuk semua kaum. Tentera Laut Diraja Malaysia bermula dari Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat pada 27 April 1934 di Singapura, dibesarkan pada tahun 1938 dengan pembukaan cawangan di Pulau Pinang, bertukar nama kepada Pasukan Sukarela Tentera Laut Malaya, dianugerahkan gelaran Diraja oleh Ratu Elizabeth II pada tahun 1952. Tentera Udara Diraja Malaysia bertitik mula dengan penubuhan Pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-negeri Selat pada tahun 1936, bertukar nama kepada Pasukan Simpanan Tentera Udara Malaya pada tahun 1940, ditubuhkan dengan rasminya pada 2 Jun 1958 setelah pesawat Twin Pioneer buat pertama kalinya mendarat di Kuala Lumpur.
Saudara saudari kini telah melayakkan diri diterima menjadi warga Angkatan Tentera Malaysia setelah berjaya dilatih fiziknya, dicanai mindanya, dibina ketahanannya, serta didedahkan kepada pelbagai latihan, dicabar dengan pelbagai ujian. Saudara saudari telah melalui proses transformasi fizikal, minda dan spiritual, lalu terbina kekuatan – terbina ketahanan, terbina ketabahan – terbina kecekalan. Saudara saudari telah didedahkan dengan dimensi budaya ketenteraan yang mengutamakan disiplin – menjunjung semangat setia – mengamalkan ketaatan ketika melaksana misi. Saudara saudari sedia berpanas – sedia berhujan, sedia bertempur – sedia ke medan perang; cekal untuk dititiskan darah – dicederakan tubuh – dileraikan daging – dikorbankan nyawa. Setiap keberanian itu dan segala kerelaan itu dilakukan bukan untuk kepentingan diri tetapi dilaksanakan untuk kepentingan mempertahankan negara bangsa.
Peranan angkatan tentera di negara ini digariskan secara jelas dalam Perlembagaan Perkara (41) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Yang di-Pertuan Agong ialah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Perkara (137) Perlembagaan Persekutuan menggariskan penubuhan dan fungsi Majlis Angkatan Tentera yang hendaklah bertanggungjawab di bawah kuasa am Yang di-Pertuan Agong bagi pemerintahan, tatatertib dan pentadbiran angkatan tentera, dan segala perkara lain yang berhubungan dengannya selain perkara yang berhubungan dengan penggunaan angkatan tentera bagi maksud operasi.
Mohd Nor bin Haji Tamrin (Allahyarham) memulakan perkhidmatan tentera sebagai seorang prebet dalam Rejimen Askar Melayu pada tahun 1937; ketika bersara menyandang jawatan Brigedier Jeneral. Jadikan pedoman inti pati ucapan persaraan beliau pada tahun 1966, yang menegaskan tiga komponen yang harus dipatuhi oleh angkatan tentera:
Pertama: Semangat muhibah dan harmoni terhadap semua kaum.
Kedua: Disiplin yang ketat.
Ketiga: Kesetiaan seratus peratus kepada raja, negara dan kerajaan.
Juga jadikan pedoman peringatan Jeneral Ibrahim Ismail (Allahyarham), sebelum bersara daripada jawatan Ketua Turus Angkatan Tentera, ketika berlangsungnya Konferensi Pegawai Kanan Tentera pada tahun 1977, yang menyuarakan nasihat-nasihat berikut:
Pertama: untuk demokrasi dapat subur di Malaysia, supremasi awam perlu dipertahankan.
Kedua: hakikat masyarakat pelbagai kaum perlu diterima.
Ketiga: kedaulatan undang-undang wajib dilaksanakan.
Keempat: pertukaran kerajaan dipastikan berlangsung secara teratur.
Kelima: hak asasi manusia hendaklah dihormati.
Semasa menyempurnakan amanah dan memenuhi tanggungjawab seorang tentera, hendaklah dijadikan pegangan, prinsip Kepercayaan kepada Tuhan agar perjuangan kita tidak tersasar haluan. Semangat kesetiaan kepada Raja dan Negara hendaklah dijunjung pada setiap masa berteraskan perlembagaan – berpaksikan undang- undang. Disiplin yang telah menjadi budaya saudara saudari hendaklah dipamerkan melalui tindak tanduk bersopan dan bersusila.
Beta menzahirkan ucap tahniah kepada setiap seorang saudara saudari yang telah berjaya melalui latihan secara sabar – secara tabah, dengan tekun – dengan kesungguhan, hingga tersemai dalam diri saudara saudari jati diri insan bersemangat wira – berjiwa kesateria. Semangat wira dan jiwa kesateria yang telah tersemai dalam diri, hendaklah berupaya membina kekuatan dan keberanian dalaman untuk memperjuangkan yang hak dan menegak kebenaran. Sekiranya ditakdirkan terkorban di medan tempur, semoga saudara saudari gugur dalam memperjuangkan sesuatu yang suci, perjuangan yang Insya-Allah akan mendapat keredaan Ilahi. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan menyemaikan semangat setia kawan dan semangat kesetiaan kepada perjuangan dalam jiwa saudara saudari.
Dengan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, mewakili Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Beta isytiharkan pada tarikh 17 Rabiulawal 1446 Hijrah bersamaan dengan 21 September 2024, saudara saudari ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia.
Demikianlah titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kepada pegawai kadet pada majlis Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-42 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 21 September 2024.