Diterbitkan pada 30 September 2024, 18:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam era digital yang semakin maju, media sosial kini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita. Selain berperanan sebagai pelantar untuk berhubung dan berinteraksi dengan rakan-rakan serta keluarga, media sosial juga semakin penting sebagai medium baharu dalam bidang pendidikan. Namun begitu, di sebalik manfaat yang jelas dalam penyebaran maklumat dan ilmu pengetahuan, terdapat ancaman yang kian meruncing seperti jenayah penipuan cinta atau love scam.

Penipuan cinta merupakan satu bentuk jenayah yang semakin membimbangkan dalam era digital ini apabila individu terbabit memanfaatkan hubungan romantik palsu untuk memanipulasi individu (mangsa) yang kebiasaannya dapat dikesan menerusi aplikasi janji temu, pelantar media sosial atau e-mel dengan tujuan untuk menipu wang atau memperoleh maklumat peribadi mangsa.

Penjenayah sering menyasarkan golongan lelaki yang mudah terpengaruh atau sedang mengalami kesunyian dengan menjadikan mereka sebagai sasaran utama. Dengan menggunakan gambar profil yang menarik yang diperoleh dengan mudah daripada Internet, penjenayah memulakan taktik licik dengan mangsa sambil membina hubungan yang tampak tulen dan meyakinkan.

CMCF sentiasa peka dalam usaha menyedarkan orang ramai tentang penipuan yang berlaku secara dalam talian.

Dalam kebanyakan aduan yang diterima oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) mengenai penipuan cinta, kebiasaannya penjenayah dengan cepat menyatakan perasaan cinta atau kasih sayang,meskipun hubungan itu baru sahaja bermula. Tindakan ini merupakan satu daripada strategi psikologi yang bertujuan untuk membina kepercayaan serta mengukuhkan ikatan emosi dengan mangsa, sekali gus menjadikan mereka lebih mudah terpedaya.

Setelah kepercayaan terbina, penjenayah akan melangkah ke fasa seterusnya dengan mengundang mangsa untuk melakukan panggilan video. Tanpa disedari oleh mangsa, panggilan video tersebut telah direkodkan dan rakamannya digunakan untuk mengugut mangsa bagi mendapatkan sejumlah wang. Sekiranya mangsa enggan memenuhi tuntutan kewangan tersebut, penjenayah akan mengancam untuk menularkan video berkenaan kepada kenalan mangsa yang butirannya diperoleh daripada laman media sosial mangsa.

Oleh itu, mengenal pasti profil palsu merupakan langkah pertama yang amat penting dalam usaha untuk melindungi diri daripada penipuan cinta. Terdapat beberapa tanda amaran yang disarankan oleh CMCF untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dalam perangkap penipuan yang semakin canggih dan licik, iaitu:

1. Pengakuan Cinta yang Cepat

Penjenayah sering menyatakan cinta atau kasih sayang dalam tempoh yang sangat singkat. Hal ini merupakan satu strategi untuk mempercepat proses hubungan sehingga menjadikan mangsa lebih terdedah kepada permintaan kewangan atau maklumat peribadi.

2. Cerita yang Tidak Konsisten

Ketidakselarasan dalam maklumat yang diberikan oleh penjenayah menjadi tanda amaran utama. Penjenayah sering kali mengubah cerita mereka apabila ditekan untuk butiran. Sebagai contoh, mereka mungkin memberikan maklumat yang bercanggah tentang pekerjaan, lokasi atau latar belakang mereka.

3. Bilangan Rakan atau Pengikut yang Sedikit

Profil palsu kebiasaannya mempunyai jumlah rakan atau pengikut yang sedikit. Hal ini disebabkan oleh profil tersebut baru dicipta atau digunakan hanya untuk tujuan penipuan. Penjenayah tidak mempunyai jaringan sosial yang luas kerana profil tersebut tidak digunakan secara aktif untuk interaksi yang sah.

4. Lokasi yang Jauh

Penjenayah sering mendakwa mereka berada di lokasi yang jauh atau bekerja di luar negara untuk jangka masa yang panjang. Taktik ini digunakan sebagai alasan untuk mengelakkan pertemuan secara langsung dengan mangsa.

5. Enggan Berkongsi Maklumat Peribadi

Penjenayah cenderung untuk mengelakkan diri daripada berkongsi butiran peribadi tentang diri mereka sendiri. Mereka mungkin memberikan alasan atau cuba mengalihkan perhatian apabila ditanya tentang latar belakang atau kehidupan peribadi mereka.

Menyedari hakikat ini, untuk melindungi diri daripada penipuan cinta, pengguna media sosial perlu mempraktikkan kawalan kendiri ketika berada di dalam talian. Langkah-langkah ini boleh membantu mencegah diri daripada menjadi mangsa dan juga mengurangkan risiko kerugian kewangan atau implikasi yang lain. Antaranya termasuklah:

1. Jangan Berinteraksi dengan Individu yang Tidak Dikenali

Sebaik-baiknya, elakkan berinteraksi dengan individu yang tidak dikenali di pelantar media sosial. Jika seseorang yang anda tidak kenali menghampiri anda dengan cepat dan menunjukkan minat yang mendalam, Hal tersebut mungkin menunjukkan tanda bahawa mereka mempunyai niat yang tidak baik.

2. Hadkan Pendedahan Diri Anda dalam Media Sosial

Penjenayah mungkin mengumpul maklumat mengenai anda melalui profil dalam talian anda. Oleh itu, penting untuk mengehadkan pendedahan maklumat peribadi anda dalam media sosial. Pastikan tetapan privasi akaun anda perlu diselaraskan dengan baik untuk mengelakkan akses oleh pihak yang tidak dikenali.

3. Segera Hentikan Semua Komunikasi Jika Mengesyaki Penipuan

Jika anda mengesyaki bahawa seseorang itu adalah penipu, hentikan semua komunikasi dengan mereka serta-merta. Jangan membalas mesej, e-mel atau panggilan mereka. Lebih baik memutuskan hubungan lebih awal daripada terlibat dalam situasi yang boleh membawa kepada kerugian yang lebih besar.

4. Laporkan Penipuan kepada Pelantar yang Berkaitan

Kebanyakan pelantar media sosial dan aplikasi janji temu mempunyai mekanisme untuk melaporkan penipuan. Jika anda mengesyaki bahawa seseorang berpotensi sebagai penipu, laporkan profil mereka kepada pelantar tersebut. Hal ini bukan sahaja melindungi anda malah juga dapat membantu melindungi orang lain daripada menjadi mangsa yang seterusnya.

5. Buat Aduan kepada Pihak CMCF

Jika anda telah menjadi mangsa penipuan cinta dan mengalami kerugian kewangan atau merasa terancam, segera hubungi pihak CMCF untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan mengenai langkah kawalan kendiri seterusnya.

Dengan mengenal pasti tanda-tanda amaran dan mengambil langkah berjaga-jaga yang sesuai, kita boleh melindungi diri kita daripada menjadi mangsa penipuan ini. Jangan biarkan diri anda terperangkap dalam ilusi cinta yang dicipta oleh penipu. Sebaliknya, berhati-hatilah dalam setiap interaksi dalam talian dan pastikan anda sentiasa berwaspada terhadap individu yang tidak dikenali. Hanya dengan kesedaran dan tindakan proaktif, kita dapat melindungi diri kita daripada ancaman tersembunyi di sebalik hubungan maya dalam era digital ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi