8 Oktober 2024, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Ucapan kata-kata aluan daripada penyelaras program, Cikgu Sujari dalam Program Simbiosis yang berlangsung di SK Sungai Taka.

Serdang – Universiti Sains Malaysia (USM) buat julung-julung kalinya dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Taka mengadakan Program Simbiosis bagi memupuk minat murid terhadap sains dan teknologi melalui pendekatan interaktif, selain membina jaringan erat antara universiti dengan sekolah.

Program yang berlangsung pada pukul 9.00 pagi itu merupakan hasil kerjasama antara lima orang pensyarah dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM bersama-sama sekolah berkenaan.

Menurut penganjur, program simbiosis itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan sebanyak 67 orang murid terlibat, iaitu terdiri daripada murid Tahun 4 hingga Tahun 6.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang dilakukan, termasuklah Teroka Cita-cita, Tangram Puzzle, melawat tapak ternakan ikan, eksplorasi sains dan pertandingan kuiz.

Murid SK Sungai Taka sedang melakukan aktiviti Tangram puzzle.
Aktiviti “dakwat rahsia”.

Tambah penganjur, program dimulakan dengan aktiviti pertama yang dikelola oleh dua orang pensyarah, Dr. Faridah Jaafar dan Puan Soijah Likin. Setiap program akan dibantu oleh seorang guru sekolah dan penyelaras program.

Terdahulu, majlis perasmian telah disempurnakan oleh dengan ucapan kata aluan daripada penyelaras program, Cikgu Sujari Mohamed Ehsan, diikuti dengan ucapan daripada Guru Besar SK Sungai Taka sekolah, Cikgu Azura Abu Bakar, kemudian diteruskan dengan bacaan doa oleh ustaz Fazlee.

Menerusi aktiviti Teroka Cita-cita, aktiviti tersebut mampu mendorong murid-murid untuk berfikir secara kritis tentang masa depan mereka, selain membentuk sikap bertanggungjawab.

Seterusnya, aktiviti kedua dinamakan Tangram Puzzle dikelolakan oleh Dr. Nurul Sabihah Zakaria.

Menurut Dr. Nurul Sabihah Zakaria, Tangram Puzzle memerlukan murid menggunakan kemahiran pemikiran logik dan kreativiti untuk menyusun bentuk-bentuk menjadi rajah yang tepat.

“Manfaatnya, murid berpeluang untuk mengasah kemahiran menyelesaikan masalah secara kreatif dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Kaedah memotong dan menyusun bentuk tangram dapat membantu meningkatkan kemahiran motor halus murid, terutamanya dalam mengendalikan peralatan kecil seperti gunting dan kertas.”

Pensyarah program bersama-sama guru besar dan guru SK Sungai Taka.

Dalam perkembangan lain, murid sekolah dan pensyarah USM juga membuat melawat ke tapak ternakan ikan, sekali gus menghadiri acara perasmian ternakan ikan di sekolah tersebut.

Projek ini memberikan murid pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah, memperluas pemahaman mereka tentang bidang pertanian dan penternakan. Murid dapat mempelajari tentang aspek praktikal dalam penternakan ikan, yang boleh menjadi inspirasi untuk kemahiran kehidupan dan potensi kerjaya pada masa depan. Murid diberi pemahaman tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan sumber semula jadi, seperti pengurusan ikan yang baik untuk kelestarian sumber. Murid dapat melihat bagaimana aktiviti penternakan ikan boleh menjana pendapatan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan.

Program diteruskan dengan aktiviti ketiga, iaitu Eksplorasi Sains yang dikelola oleh Puan Anis Tasnim.

Puan Anis Tasnim  memaklumkan aktiviti ini terbahagi kepada dua bahagian, pertama “dakwat rahsia” dan meniup belon pertama mengikut ukuran tertentu.

Ujar beliau,

“Murid dapat melihat sendiri secara praktikal teori sains dapat diaplikasikan dalam eksperimen sederhana, selain menanamkan minat untuk mempelajari lebih lanjut tentang sains.”

Selain itu, aktiviti keempat ialah pertandingan kuiz pengetahuan yang dikelolakan oleh Dr. Wan Afezah Wan Abdul Rahman. Sebanyak 10 soalan berbentuk pengetahuan am, yakni memberikan peluang kepada murid untuk menguji dan menambah pengetahuan mereka dalam pelbagai topik, menggalakkan pembelajaran kendiri.

Kuiz tersebut dapat membantu murid mengingati fakta penting serta menguji daya ingatan mereka dalam situasi yang menyeronokkan, malah membina keyakinan diri dengan kemampuan intelektual mereka.

Pada akhir program, majlis penyampaian hadiah turut dilakukan oleh pensyarah USM kepada murid yang terlibat. Pihak sekolah juga menyampaikan beg berisi cenderahati kepada pensyarah yang terlibat dalam program tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.