17 Oktober 2024, 10:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masyarakat sekian lama telah menggunakan pelbagai jenis medium untuk menyampaikan maklumat dan berkomunikasi. Bermula daripada bantuan haiwan hinggalah kepada penemuan alat telekomunikasi pertama, masyarakat tidak akan lari daripada sesuatu medium untuk menyampaikan maklumat. Setiap perkembangan ini berubah mengikut zaman dan permintaan masyarakat itu sendiri.

Pada saat ini, kecenderungan masyarakat khususnya generasi muda atau muka baharu lebih gemar memilih medium audio siar atau lebih dikenali orang ramai kini sebagai podcast untuk menyampaikan apa-apa sahaja maklumat, pengalaman, coretan malah kritikan dalam gaya yang tidak formal atau santai. Tidak dapat dinafikan bahawa trend audio siar tumbuh seperti cendawan selepas hujan tatkala negara beransur pulih daripada pandemik COVID-19.

Namun begitu, apakah audio siar dan bagaimanakah trend ini bermula di seluruh dunia termasuk Malaysia? Audio siar ialah siri audio digital yang kebiasaannya disediakan dalam format episod atau bersiri yang lazimnya merangkumi pelbagai topik seperti pendidikan, hiburan, berita, teknologi, sukan sehingga kepada perbincangan agama dan boleh dihasilkan oleh sesiapa sahaja, termasuklah individu, syarikat media atau sesebuah organisasi. Menurut pakar industri, audio siar telah menjadi medium yang semakin popular kerana sifatnya yang mudah diakses dan fleksibel. Podcaster profesional seperti Joe Rogan, satu daripada nama besar dalam bidang ini telah menyatakan bahawa format ini membolehkan perbualan yang mendalam dan berpanjangan, iaitu berbeza daripada media tradisional yang terhad oleh masa dan struktur formal.

Dalam perspektif pemasaran, seorang pakar pemasaran, Seth Godin menekankan bahawa audio siar merupakan medium yang memberikan peluang kepada pencipta kandungan untuk membina hubungan lebih peribadi dengan audiens mereka kerana suara manusia dapat menyampaikan emosi dengan lebih baik berbanding dengan teks atau imej.

Fenomena Audio Siar di Malaysia

Trend audio siar di Malaysia semakin berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana didorong oleh peningkatan penggunaan Internet dan platform digital. Penulis dapat menggambarkan bahawa fenomena ini sebagai  “demam” yang kian merebak. Pada mulanya, audio siar ini hanya sekadar suatu bentuk hiburan sampingan yang kurang dipertontonkan kepada orang ramai.

Audio siar semakin mendapat perhatian orang ramai berikutan kemunculan program bual bicara ini.

Audio siar mula mendapat tempat di hati masyarakat semasa awal kewujudannya melalui platform YouTube dan dipromosikan melalui TikTok yang bertajuk Keluar Sekejap (KS). Audio siar tersebut dikendalikan oleh dua orang mantan ahli politik yang tidak asing lagi, iaitu Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan. Kandungan yang disampaikan dalam audio siar tersebut lebih bersifat analisis politik berkenaan dengan situasi yang berlaku dan sememangnya kandungan tersebut digemari dan menepati selera pengguna media sosial.

Selepas cetusan tersebut, maka lahirlah pelbagai jenis audio siar yang merangkumi perkongsian pengalaman individu, analisis berkenaan sesuatu isu, polemik dalam  politik atau keagamaan dan lain-lain lagi. Hingga kini, dunia audio siar kian subur dan begitu rancak perkembangannya sehinggakan menjadi ikutkan pada peringkat institusi pendidikan. Sejujurnya, penulis turut terjebak dalam penghasilan audio siar ini kerana turut dijadikan sebagai satu daripada tugasan dalam sesetengah subjek, iaitu menghasilkan audio siar terhadap sesuatu topik yang diberikan. Perkara ini tidak ditentang oleh para pelajar malah diterima oleh mereka atas asbab trend yang sedang melanda pada masa ini. Tidak disangkal lagi bahawa medium audio siar ini sangat diminati oleh orang ramai melibatkan semua lapisan umur. Hal ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor tertentu.

Kebebasan Penghasilan Kandungan

Individu yang ingin berjinak-jinak memulakan siri audio siar tidak akan dibatasi oleh syarat-syarat penghasilan kandungan kerana mereka diberikan kebebasan untuk menghasilkan apa-apa sahaja kandungan yang bersesuaian asalkan tidak menyentuh isu sensitif seperti agama atau perkauman.

Kandungan dalam bahasa tempatan seperti bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris memberikan ruang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk terlibat. Audio siar dalam bahasa ibunda menarik lebih banyak pendengar yang ingin mendengar kandungan yang  relevan dengan latar belakang budaya mereka.

Terdapat pelbagai genre dan topik yang ditawarkan dalam dunia audio siar di Malaysia, iaitu bermula daripada hiburan, isu sosial, hinggalah kepada isu kesihatan mental dan keagamaan. Kepelbagaian ini menarik pelbagai jenis pendengar dan membuka ruang kepada pembahasan isu-isu yang lebih mendalam dan mungkin tidak mendapat liputan di media arus perdana.

Gaya Hidup Pendengar

Audio siar kini sudah menjadi satu daripada gaya hidup pendengar yang terdiri daripada anggota masyarakat. Gaya hidup ini telah berjaya meresap bukan sahaja generasi muda malahan turut menarik perhatian generasi yang lebih berumur.

Tambahan pula, generasi muda yang lebih terbiasa dengan teknologi dan media digital memainkan peranan besar dalam perkembangan audio siar. Mereka cenderung memilih media yang dapat diakses secara langsung dan audio siar pastinya memenuhi keperluan ini dengan menyediakan episod yang boleh dimuat turun dan didengar pada bila-bila masa.

Sokongan Platform Digital

Platform seperti Spotify, Apple Podcasts, dan Google Podcasts memudahkan pencipta audio siar untuk memuat naik dan mengedarkan kandungan mereka. Di Malaysia, terdapat juga sokongan daripada komuniti tempatan seperti Kelab Podcast Malaysia yang membantu mempromosikan audio siar tempatan dan menyediakan panduan kepada pencipta kandungan audio siar baharu. Sebagai contoh, pendengar boleh sahaja membuat carian dalam Spotify untuk mendapatkan senarai audio siar yang diminati oleh mereka. Mereka boleh mendengar sesuatu episod tersebut secara berulang kali tanpa batasan.

Audio siar atau podcast kini merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Penulis berani mengatakan bahawa podcast ini tidak sekadar menjadi medium untuk membentuk pemikiran masyarakat ke arah tahap yang lebih tinggi malah hingga ke satu tahap mampu berfungsi sebagai bahan rujukan penting berkenaan sesuatu isu atau topik.

Tidak dinafikan, medium ini turut mempunyai keburukannya yang tersendiri, namun penulis berpandangan bahawa adalah lebih baik kita memandangnya dari sudut positif, iaitu cuba meminggirkan kekurangannya dan menyerlahkan kelebihannya kepada masyarakat di negara ini.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.