Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRupa-rupanya unit siasatan rasuah Taiwan membezakan kesalahan pemerolehan keuntungan daripada rasuah dalam siasatan tunasusila atau tidak berintegiriti pentadbir seperti kes mantan Datuk Bandar Taipei di Taiwan. Pemerolehan keuntungan tersebut merujuk pada wang yang dikreditkan ke dalam akaun bank sanak saudara ahli politik seperti isteri dan anak oleh wakil mereka. Rasuah yang berlaku itumerujuk pada permintaan kewangan dengan ahli peniaga secara langsung oleh ahli politik terbabit. Dalam siasatan kes tunasusila politik Pengerusi Parti Rakyat Taiwan (parti putih), pemerolehan keuntungan Dr. Ko Wen-je dikatakan membabitkan pembelian hartanah ahli politik oleh pihak swasta.
Mahkamah Daerah Taipei telah memutuskan agar Dr. Ko Wen-je ditahan pada September lalu ekoran disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah sepanjang tempoh memegang jawatan Datuk Bandar Taipei. Kini, siasatan diteruskan ke atas kebenaran pihaknya yang memberikan nisbah keluasan lantai sehingga 840 peratus apabila diberikan kepada pusat membeli-belah Core Pacific Plaza semasa Dr. Ko menjadi Datuk Bandar Taipei dari 2014 hingga 2022. Selain Dr. Ko, jutawan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Core Pacific Plaza, Sheen Ching-jing; seorang wakil rakyat Taipei, Ying Hsiao-wei dan Pong Cheng-Sheng, iaitu mantan Timbalan Datuk Bandar Taipei juga direman di Pusat Tahanan Taipei untuk siasatan yang selanjutnya oleh pihak berkuasa.
Isu ini timbul dalam siasatan nisbah keluasan lantai berbanding dengan tapak binaan bagi pusat membeli-belah di Taipei yang hanya dibenarkan pada kadar 392 peratus sebelum disemak semula ke nilai 560 peratus. Dalam pentadbiran Dr. Ko, sebagai Datuk Bandar, nilai nisbah keluasan binaan ini bertukar menjadi 840 peratus. Nilai ini membolehkan pusat membeli-belah yang dibina dengan keluasan begitu besar mampu mengaut keuntungan yang dianggarkan bernilai 10 bilion dolar Taiwan. Persetujuan dalam perluasan nisbah lantai dikaitkan juga dengan Ying Hsiao-wei yang telah mengendalikan lebih daripada 30 mesyuarat dipercayai untuk tujuan lobi-melobi dengan pihak berkuasa Taipei agar keluasan pusat membeli-belah seperti yang “dihajatkan oleh” CEO itu diberikan keizinan oleh Majlis Perbandaran Taipei.
Kesemua tembelang ini hanya terbongkar apabila wakil rakyat Taipei, iaitu Lin Yen-feng dari parti hijau (Parti Progresif Taiwan) mendedahkan bahawa Dr. Ko Wen-je telah membeli sebuah hartanah di Sentral Taipei bernilai $43 juta dolar Taiwan (sekitar RM5.8 juta ringgit). Pada 10 Mei 2024, Lin mendapati bahawa unit perniagaan di dalam bangunan Jinan itu dibeli secara tergesa-gesa kerana harga yang dibayar itu lebih tinggi daripada harga pasaran. Kenyataan Dr. Peggy Chen, isteri Dr. Ko sebelum ini juga pernah mengisytiharkan wang tunai dalam bank simpanan Dr. Ko semasa beliau bertanding sebagai Presiden. Jumlah tersebut dikatakan hanyalah sebanyak $24 juta dolar Taiwan. Apabila diserbu dan diasak oelh media, Dr. Ko mengaku bahawa beliau melunaskan bayaran tersebut dengan wang tunai bagi hartanah tersebut. Wang terbabit disifatkan sebagai “duit undi” memandangkan parti putih berjaya memungut lebih daripada tujuh juta keping kertas undi semasa Pilihan Raya Presiden Taiwan pada 13 Januari 2024.
Dalam budaya politik Taiwan, pesuruhjaya undi Taiwan akan membayar sebanyak $30 dolar Taiwan bagi setiap undi yang diperoleh oleh setiap parti dalam pilihan raya. Namun begitu, kesemua parti politik Taiwan selama ini mendermakan dana undi ke dalam tabung politik demi kemajuan parti dan program latihan kepada calon-calon parti sebagai persediaan mereka dalam pertandingan politik pada masa depan. Hanya Dr. Ko yang berani membuat kenyataan bahawa “duit undi” digunakan untuk membeli hartanah di bawah namanya walaupun hal ini tidak bersalahan di sisi undang-undang.
Walau bagaimanpun, juruacara dan komentator media hijau dan media biru terus memperdebatkan kegiatan Dr. Ko dan menuntut agar salinan akaun bank beliau ditunjukkan. Selama seminggu harga sebanyak 43 juta yang dibayar oleh Dr. Ko secara tunai terus menjadi pokok perdebatan dalam siri rancangan politik di pelbagai saluran televisyen Taiwan. Ada yang mengesyaki hartanah yang dibeli sebenarnya dialihkan hak milik kepada Dr. Ko oleh pihak swasta memandangkan beliau gagal menunjukkan peralihan wang dalam akaun bank kepada pihak penjual sebagai bukti pembayaran.
Dalam perkembangan terbaharu, rancangan perdebatan siaran syarikat media San-Li mendedahkan bahawa sebatang peranti penyambung (USB) pada Dr. Ko telah ditemui. Satu fail excel tersimpan dalam USB merakamkan rekod penerimaan sebanyak 15 juta dolar Taiwan. Biarpun simpanan rekod penerimaan wang haram sebanyak RM2 juta itu tidak masuk akal, perkembangan kes tunasusila politik Dr. Ko membabitkan simpan kira fail excel, sama seperti yang sering disaksikan oleh masyarakat dalam drama bersiri Korea yang memperlihatkan rekod simpan kira haram.
Sejarah politik Pengerusi Parti Rakyat Taiwan yang berakhir dengan tuduhan rasuah ini dikatakan memberikan kenangan pahit kepada para penyokong beliau. Dr. Ko pernah menjadi harapan ratusan ribu orang anak muda yang percaya bahawa beliau akan menjelmakan revolusi politik di negara tersebut. Rentetan daripada kes ini, kelemahan pucuk pimpinan parti putih itu turut melemahkan perkembangan politik di Taiwan. Seorang komentator mengingatkan bahawa golongan yang terus termakan dengan tipu muslihat Dr. Ko agar jangan terus menutup mata ke atas maksiat politik yang sedang berleluasa. Berikutan pudarnya sirna parti putih di Taiwan, landskap politik Taiwan pada masa depan diramalkan akan kembali ke corak pertandingan antara dua buah parti utama yakni antara Parti Progresif Taiwan dengan Parti Kuomintang.