Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSyria kini bebas daripada rejim Bashar Al Assad yang terkenal dengan sifat kejam dan zalimnya. Berjuta-juta orang rakyat Syria bergembira tanpa mengira agama kerana mereka kini tidak lagi bimbang akan mengalami penganiayaan oleh rejim yang selama beberapa dekad yang menganiayai sesiapa sahaja daripada kalangan rakyat Syria yang menentangnya.
Pada tahun 1982, Hafiz Al Assad, bapa Bashar Al Assad, membunuh penduduk di Kota Hama sebagai tindak balas terhadap pemberontakan di sana. Kira-kira 40 ribu orang telah terkorban dalam kejadian tersebut. Kekejaman yang dialami oleh rakyat Syria lebih teruk berikutan Arab Spring 2011 apabila rakyat Syria, sekali lagi bangun menentang rejim Assad, susulan kejayaan revolusi di negara Arab lain seperti Tunisia, Libya dan Mesir. Rejim Assad terus bertindak balas dengan tindakan yang lebih dahsyat dengan membunuh ratusan ribu dan memenjarakan ribuan orang rakyatnya. Akibatnya berjuta-juta rakyat Syria meninggalkan tanah air untuk menyelamatkan nyawa mereka. Menurut satu anggaran rekod, sepanjang dekad pemerintahannya rejim Assad telah membunuh lebih 800,000 orang rakyat Syria dan memindahkan sebanyak 13 juta orang ke tempat yang tidak diketahui.
Bashar Assad dan keluarganya kini telah meninggalkan Syria. Berjuta-juta orang rakyat Syria yang menjadi pelarian kini kembali ke Syria selepas bertahun-tahun mereka hidup dalam buangan. Mereka akan pulang ke kampung halaman dan tidak lagi takut ditangkap atau dibunuh oleh rejim Assad. Namun begitu, bagi kebanyakan orang, tugas segera mereka pastinya mencari saudara mara yang hilang atau mungkin telah dibunuh semasa dipenjarakan oleh Assad, terutamanya di penjara yang dikenali sebagai rumah penyembelihan manusia, apabila ribuan rakyat Syria telah dipenjarakan dan diseksa di sana. Menurut beberapa laporan, rejim Assad memenjarakan dan menyeksa sehingga mati sekitar 50,000 orang antara 2011 dan 2013 sahaja. Sejak itu, tiada sesiapa yang tahu tentang jumlah ribuan banduan lain yang turut mengalami nasib sama.
Pelarian Palestin di Syria turut ditahan dan diseksa oleh Assad, termasuklah anggota Hamas dan kumpulan penentang Palestin lain, seperti Abu Jafar Al Jaloudi, iaitu Ketua Briged Qassam di Syria. Rejim itu menyeksa sehingga mati kira-kira 4000 orang pelarian Palestin di kem pelarian Yarmouk dan Tadamon. Dengan kata lain, Assad sebenarnya bukan pembela tegar rakyat Palestin. Oleh sebab itu, pembebasan Syria juga dianggap sebagai pembebasan bagi rakyat Palestin yang tertindas. Maka itu, tidak hairanlah bahawa Hamas dan Jihad Islam baru-baru ini mengeluarkan kenyataan memuji dan menyokong revolusi di Syria. Sementara itu, rakyat Palestin di Gaza juga meraikannya.
Satu tinjauan menunjukkan bahawa sebanyak 83 peratus rakyat Palestin menyokong pemberontakan menentang Assad. Malah, antara perkara pertama yang dilakukan oleh pejuang selepas mengalahkan Assad adalah dengan membebaskan tahanan Palestin termasuk anggota Hamas yang meringkuk di penjara Syria.
Rakyat Syria mempunyai hubungan agama dan budaya yang rapat dengan rakyat Palestin. Syria dan Palestin adalah sebahagian daripada kawasan geografi yang pernah dipanggil Bilad AsShams atau Bumi Syams. Ramai rakyat Syria menganggap penjajahan Zionis di Palestin sebagai penjajahan sebahagian daripada tanah mereka dan ramai rakyat Palestin percaya bahawa pembebasan Syria juga merupakan pembebasan tanah mereka daripada kezaliman. Oleh itu, masyarakat Syria dan Palestin mendambakan masa depan yang terjamin dengan seluruh wilayah tersebut akan bebas daripada penjajahan asing.
Perlu disedari bahawa kejatuhan rejim Assad yang sangat cepat hanya kerana sebenarnya dia tidak mendapat sokongan dalam kalangan kebanyakan rakyat Syria yang kebanyakannya berfahaman Sunni dan yang membenci penguasaan tanah mereka oleh golongan minoriti Alawites yang dianggap oleh kebanyakan rakyatnya sebagai menyimpang dari segi agama. Sebelum ini, kebanyakan tentera Syria yang berkhidmat dengannya telah ditugaskan secara paksa. Mereka yang enggan mematuhi arahan untuk membunuh sesama rakyat Syria turut dipenjarakan.
Pada hakikatnya, Assad sepatutnya telah dikalahkan oleh rakyat Syria pada tahun 2015. Dia hanya boleh bertahan dengan bantuan daripada Rusia dan Iran. Rusia menggunakan jet pejuang mereka untuk mengebom kubu pemberontak, manakala Iran menghantar militia bersenjata untuk memerangi pemberontak. Iran bertindak demikian kerana bimbang Syria akan jatuh ke tangan puak Sunni, sekali gus menjejaskan kawalan Syiah di kawasan itu dan menyekat laluan bekalan mereka ke Hizbullah, kumpulan Syiah dan proksi Iran di Lubnan.
Namun begitu, pada kali ini kedua-duanya, iaitu Rusia dan Iran tidak lagi mampu memberikan sokongan yang sama kepada Assad kerana keupayaan ketenteraan mereka telah dilemahkan. Dalam kes Rusia, mereka sedang berperang dengan Ukrain sementara Hizbullah, proksi Iran di Lubnan dan Syria telah dilemahkan oleh Israel.
Lebih-lebih lagi, Syria di bawah Assad sedang mengalami krisis ekonomi yang teruk. Kebanyakan askar dalam tentera Syria tidak menerima gaji mereka dan tidak lagi mempunyai motivasi untuk memerangi pemberontak. Mereka hilang kepercayaan kepada Presiden Assad dan merasakan bahawa dia tidak akan memastikan kebajikan mereka terus dijaga. Kemungkinan besar mereka dimaklumkan bahawa Assad telah meninggalkan negara itu yang akan menjejaskan semangat mereka dengan teruk. Bahkan ada tentera Syria dilaporkan telah berpindah ke Iraq untuk mengelak daripada berhadapan dengan pejuang HTS. Itulah beberapa faktor yang menyebabkan kejatuhan rejim Assad sangat pantas kali ini dan dengan pertumpahan darah yang minimum. Peristiwa yang berlaku di Syria dalam aspek ini hampir sama dengan peristiwa yang berlaku di Afghanistan sebelum ini.
Kesilapan terburuk yang boleh dilakukan oleh pemerhati situasi di Syria adalah dengan menuduh rakyat Syria bersekongkol dengan Israel untuk menjayakan revolusi ini. Sebenarnya pihak Zionis tidak mempunyai sebarang peranan dalam kejatuhan Assad. Selama ini, kedua-dua Israel dan Amerika syarikat (AS) mahukan Assad untuk kekal berkuasa, tetapi dalam keadaan lemah yang tidak boleh menjadi ancaman serius kepada AS. hal ini demikian kerana Bashar Assad tidak pernah menyerang Israel, walaupun Israel mengebom negaranya berkali-kali dan tidak pernah membuat sebarang percubaan untuk menuntut kembali Bukit Golan. Assad sangat lemah sehingga pada satu ketika, dia menawarkan kepada AS untuk mengkhianati Hamas sebagai balasan untuk mendapatkan bantuan kewangan.
Oleh sebab itulah, Israel dan AS berbesar hati untuk membiarkan Assad kekal sebagai Presiden Syria. Lagipun, walaupun Israel mengebom kedudukan Hizbullah di Syria, tentera Syria tidak pernah melepaskan sebarang peluru berpandu atau roket ke arah Israel. Pemimpin tentera Israel mengakui bahawa mereka melihat Assad sebagai seseorang yang boleh berunding dan sekutu yang boleh membantu menghentikan kebangkitan kumpulan tentera di Syria dan berpotensi menjadi ancaman terhadap Israel. Assad juga tahu bahawa Israel tidak akan sekali-kali menyasarkannya dalam pengeboman mereka. Israel hanya menyasarkan kedudukan Iran dan Hizbullah di Syria.
Walau bagaimanapun, perancangan Amerika dan Israel untuk Syria telah tersasar apabila Assad memutuskan bahawa adalah lebih selamat untuknya meninggalkan Syria bersama-sama keluarganya sebelum rakyat Syria berjaya menangkapnya. Lebih-lebih lagi, dia tidak mahu mengalami nasib yang sama seperti mantan Presiden Libya, Muammar Gaddafi yang akhirnya dibunuh oleh rakyatnya.
Selepas kejatuhan rejim Assad, Israel telah melakukan hampir 500 serangan udara dalam masa kurang 48 jam ke atas sasaran tentera Syria, termasuklah di pangkalan udara tentera dan kem tentera laut. Israel mahu memastikan bahawa penguasa baharu Syria dilucutkan sebarang keupayaan ketenteraan yang berpotensi untuk menyerangnya.
Walaupun terdapat banyak puak di Syria, sesuatu yang tidak dapat dinafikan ialah revolusi di Syria popular dalam kalangan rakyat Syria. Faktor utama ialah kebencian rakyat Syria terhadap rejim Assad kerana layanan tidak berperikemanusiaan terhadap mereka. Kekejaman itu mengakibatkan penghijrahan berjuta-juta rakyat Syria keluar dari negara mereka untuk menjadi pelarian di negara jiran dan di seluruh dunia. Menjadi satu kesilapan dan penghinaan kepada rakyat Syria, terutamanya kepada ratusan ribu yang mengorbankan nyawa mereka untuk revolusi baru-baru ini, jika ada yang mengatakan bahawa Israel dan AS berada di belakang revolusi.
Yang pasti, Amerika, Israel dan negara Barat lain akan cuba mendapatkan pengaruh ke atas kerajaan Syria kini demi memastikan kepentingan mereka terus terpelihara. Persoalan yang berkaitan dengan kerajaan baharu Syria akan terlibat dalam usaha membebaskan Palestin daripada cengkaman Zionis sukar untuk diramalkan kerana pada masa ini kebanyakan rakyat Syria sudah bosan dengan konflik dalaman mereka. pada amsa ini, mereka mahu menumpukan perhatian mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi di negara yang telah rosak akibat kerakusan pemimpinnya.
Sebagai kesimpulan, revolusi Syria merupakan satu perkara yang sangat positif untuk rakyat Syria. Sama ada hal tersebut baik untuk umat Islam secara keseluruhan, hanya masa yang akan menentukan. Tidak dapat dinafikan bahawa kegembiraan dalam kalangan rakyat Palestin dan mesej sokongan daripada Hamas dan kumpulan Palestin lain kepada revolusi di Syria merupakan petunjuk bahawa kebanyakan rakyat Palestin sangat optimis bahawa revolusi di Syria adalah perkembangan positif yang akan membantu perjuangan mereka dalam jangka masa yang panjang. Maka itu, hal ini merupakan sesuatu yang positif juga untuk umat Islam secara keseluruhannya.
Profesor Emeritus Dr. Mohd. Nazari Ismail, Pengarah
Hashim Sani Centre for Palestine Studies, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi
Universiti Malaya.