Diterbitkan pada 21 Januari 2025, 19:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seseorang yang bergelar pekerja sudah tentu mempunyai perancangan perbelanjaan dalam menjalani kehidupan seharian. Kelangsungan hidup ini turut mempengaruhi ekosistem perlindungan sosial yang melibatkan peranan para majikan demi kesejahteraan kakitangannya. Antara yang menjadi sumber pekerja pada masa hadapan termasuklah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Inisiatif ini mengangkat martabat prinsip manusiawi demi kelestarian kewangan semua pekerja menerusi caruman KWSP berdasarkan kerangka Ekonomi Madani.

Prinsip manusiawi ini merangkumi semua pekerja dari pelbagai lapisan masyarakat bukan terhad kepada warganegara sahaja, malah turut melibatkan pekerja warga asing. Hal ini sesuatu pembaharuan yang begitu dinamik untuk memperluas perlindungan sosial seperti caruman KWSP kepada pekerja bukan warganegara yang diumumkan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 lalu.

Sejak dahulu, pasaran buruh Malaysia mengambil kira peranan pekerja asing sebagai komponen terpenting. Jumlah yang direkodkan setakat tahun 2023, terdapat lebih dua juta orang pekerja asing yang merangkumi sebanyak 13 peratus daripada jumlah penduduk bekerja. Lebih mengejutkan, jumlah tersebut belum mengambi kira dengan jumlah pekerja asing yang tidak berdaftar yang bekerja secara tidak sah. Hal ini demikian kerana pekerja asing tanpa dokumen mencecah hingga kira-kira 1.5 juta orang di Malaysia menurut laporan Bank Dunia yang bertajuk Who is Keeping Score? Estimating the Number of Foreign Workers in Malaysia.

Lebih dua juta orang pekerja asing dijangka memperoleh manfaat dengan lebih meluas apabila inisiatif ini dijalankan kelak berbanding dengan ketika ini yang dilihat hanya bersifat caruman secara sukarela. Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan cadangan peluasan caruman wajib KWSP kepada pekerja bukan warganegara.

Hal ini memberikan peluang kepada pekerja dengan bergaji rendah (contohnya RM1700 sebulan), seterusnya mencipta peluang kepada mereka untuk merancang masa depan kewangan dengan lebih baik. Sistem pekerjaan Malaysia jelas mengangkat keadilan sosial apabila  mewajibkan caruman kepada semua pekerja, termasuklah kepada bukan warganegara. Langkah ini menyerlahkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang menghormati hak pekerja tanpa sebarang diskriminasi. Dengan keyakinan terhadap dasar perlindungan sosial dari syarikat asing, maka kaedah ini berpotensi menarik pelaburan antarabangsa ke negara ini.

KWSP melaburkan dana ahli dalam portfolio pelaburan yang pelbagai dan selamat, termasuklah dalam sekuriti kerajaan Malaysia, bon korporat, ekuiti tempatan dan antarabangsa. hartanah dan instrumen pasaran kewangan lain. Pelaburan ini dijalankan mengikut garis panduan ketat untuk memastikan pulangan stabil sambil meminimumkan risiko. Simpanan ahli KWSP dilindungi oleh undang-undang di bawah Akta KWSP 1991 dengan jaminan minimum sebanyak 2.5 peratus kadar dividen tahunan, walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

KWSP dikawal selia oleh pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan pematuhan kepada peraturan kewangan. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi pelaburan yang melibatkan pasaran modal. Audit dalaman dan luaran secara berkala memastikan ketelusan dan integriti. KWSP menggunakan sistem teknologi maklumat yang moden dan selamat untuk melindungi data ahli daripada ancaman keselamatan seperti kecurian atau penggodaman.

KWSP menyediakan maklumat dan pendidikan kepada semua ahli, termasuklah kepada warga asing tentang cara untuk menguruskan simpanan mereka dengan lebih baik melalui seminar dan khidmat nasihat kewangan. Melalui langkah tersebut, KWSP memastikan simpanan pekerja warga asing dilindungi dengan baik dan boleh memberikan pulangan yang mampan. Pengalaman yang berlaku sememangnya sangat bermanfaat terutamanya dalam menarik minat pekerja asing yang berkemahiran untuk menyumbang pembangunan di Malaysia.

Peluasan caruman mandatori KWSP merupakan cadangan baik kepada pekerja bukan warganegara telah mendapat sambutan positif daripada kalangan ekspatriat di Malaysia. Langkah ini dilihat sebagai satu usaha progresif kerajaan kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan demi mengecap keadilan dan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh. Kesan positif ini membawa perubahan besar dalam dasar pekerjaan khususnya jangka panjang dan peluang pekerjaan susulan peluasan caruman di negara ini.

Kesan positif secara lebih meluas kepada pekerja asing bakal menyaksikan jaminan akses kepada pelan simpanan yang teratur dengan pulangan bagi memastikan keselamatan kewangan sepanjang bekerja di Malaysia. Mereka juga mempunyai pilihan dengan mengeluarkan wang untuk menggunakannya sebagai pelaburan atau persaraan di negara asal selepas meninggalkan Malaysia.

Namun begitu, polisi ini mengurangkan pendapatan bersih sebanyak 11 peratus (sumbangan pekerja) dan meningkatkan kos majikan (12 hingga 13 peratus) yang boleh menyebabkan pekerja mempunyai pendapatan boleh guna yang lebih rendah untuk keperluan harian. Hal ini mungkin menekan pengurusan kewangan bagi mereka dengan kontrak jangka pendek atau memiliki kos hidup yang tinggi. KWSP memberikan jaminan yang selamat dalam membina simpanan semasa di Malaysia bagi pekerja asing yang merancang kestabilan jangka panjang atau persaraan.

Selepas meninggalkan negara ini, mereka boleh mengeluarkan simpanan KWSP, sekali gus memberikan fleksibiliti kewangan. Walaupun caruman mandatori KWSP menawarkan manfaat yang jelas dari segi keselamatan kewangan jangka panjang, pengurangan pendapatan bersih dan potensi cabaran pekerjaan boleh mendatangkan kesukaran kepada sesetengah pekerja asing.

Keberkesanan inisiatif ini akhirnya akan bergantung pada tempoh pekerja ini menetap di Malaysia, tahap gaji dan industri pekerjaan masing-masing, malah dialog terbuka dan pelaksanaan secara berperingkat boleh membantu mengurangkan kelemahan yang berpotensi untuk kedua-dua majikan dan pekerja. Inisiatif berkenaan merupakan sesuatu yang sangat baik demi memastikan perlindungan sosial pekerja sepertinya lebih terjamin.

Tidak semua syarikat yang menawarkan caruman KWSP kepada pekerja asing pada ketika ini. Namun begitu, dengan inisiatif yang diambil kerajaan memperluas perlindungan sosial di Malaysia, hal ini diharapkan dapat membantu memastikan lebih ramai pekerja bukan warganegara mempunyai simpanan untuk persaraan kelak sebelum mereka pulang ke negara masing-masing. Dana simpanan di KWSP boleh digunakan untuk pelaburan dan menambah simpanan pencarum bagi tabungan masa depan mereka.

Caruman KWSP mandatori bagi pekerja asing di Malaysia merupakan langkah penting dalam memastikan kesejahteraan sosial lebih holistik. Dari perspektif pekerja asing, langkah ini memberikan perlindungan kewangan yang lebih baik di usia tua, apabila mereka tidak lagi bekerja. Apatah lagi caruman itu juga membantu apabila berlaku saat kecemasan yang berlaku di luar jangka akibat musibah yang melanda.

Perubahan ini mungkin memberikan lebih banyak cabaran dalam mencari peluang pekerjaan kerana majikan mungkin lebih berhati-hati dalam menggaji pekerja asing akibat kos tambahan yang perlu ditanggung. Secara tidak langsung menuntut produktiviti yang lebih tinggi daripada para majikan untuk kemapanan operasi syarikat bagi jangka masa panjang. Situasi ini penting agar elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dapat diterapkan secara lebih berkesan dalam sesebuah syarikat.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi