Diterbitkan pada 19 Februari 2025, 17:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

India merupakan sebuah negara yang terletak di kawasan Asia Selatan dan dikenali sebagai sebuah negara yang kaya dengan budaya. Perkembangan budaya yang terdapat di India dilihat berpotensi untuk bersaing dengan China terutamanya dalam bidang kesenian, kesusasteraan dan pembinaan. Menurut Sensus (1987), sebanyak 30 peratus penduduk di India masih berada pada tahap bawah garis kemiskinan ekoran daripada pengurusan sistem ekonomi yang kurang cekap.

Berdasarkan dokumetari Delhi, India’s Megacity: Capital of a Billion People, India mula ditubuhkan berasaskan prinsip agama yang menyebabkan perpecahan antara kawasan India dengan Pakistan barat dan timur serta Bangladesh. Perkara ini menyebabkan penganut agama Hindu di Pakistan dan penganut agama Islam di India yang merangkumi sebanyak 10 juta orang telah kehilangan tempat tinggal kerana diancam dan diserang oleh perompak dan militan bersenjata yang mendorong kepada kematian sebanyak satu juta orang. Ketegangan yang berlaku kepada penduduk dari India ke Pakistan bagi yang beragama Islam dan dari Pakistan ke India bagi yang beragama Hindu telah menyebabkan mereka kehilangan harta benda, malah meninggalkan kesan trauma yang berpanjangan.

Penetapan prinsip ini menekankan pelibatan golongan lelaki sebagai penggerak utama dalam semua sektor dan menjadikan mereka sebagai penguat kuasa kepada penduduk yang miskin pada masa itu. Perkara ini menyebabkan ekonomi negara tersebut terjejas akibat daripada faktor tekanan. Menurut Yashwant Sinha, kerajaan India telah melaksanakan aktiviti perdagangan dan mengawal sektor swasta dengan tegas. Hal ini demikian kerana, sektor swasta dilihat berpotensi untuk membangunkan ekonomi melalui keupayaannya dalam menghasilkan pelbagai sumber dan teknologi. Sistem Soviet juga diwujudkan susulan daripada lawatan Perdana Menteri India, Jawaharlal Nehru ke England. Beliau percaya bahawa sektor ekonomi yang bergantung pada sistem pemerintahan yang teratur merupakan panduan yang terbaik untuk India.

Di samping itu, India dianggap sebagai “Permata Mahkota” dalam empayar British dengan pemerintahan langsung British di India disebut sebagai “British Raj”. Kawasan kubu merah Delhi kemudiannya menjadi saksi India memperoleh kemerdekaan pada tahun 1945. Kemerdekaan ini memberikan sinar harapan kepada penduduk kerana negara mereka akhirnya mampu memerintah sendiri walaupun terpaksa menggunakan sistem negara luar. Namun begitu, pendapatan per kapita India dilihat menurun dan tidak meningkat semenjak tahun 1957. Hal ini telah menyebabkan Nehru dan ahli nasionalis, Mahatma Gandhi menyedari bahawa rakyat India memerlukan sistem yang berbeza daripada British. Seterusnya, Nehru melaksanakan sistem ekonomi Total Society yang menghapus segala ketidakadilan dan ketidaksamaan dalam sistem terdahulu.

Melalui sistem baharu ini, penekanan diberikan terhadap isu kepadatan penduduk di bandar Delhi yang mencecah hingga lebih daripada 31 juta orang. Kepadatan ini menimbulkan pelbagai kesan dari segi sosial, ekonomi dan politik India, memandangkan Delhi menjadi titik tumpuan utama sejak abad ke-21 disebabkan oleh kawasannya yang terletak di sepanjang rabung perlindungan yang menghantar cairan salji berhampiran dengan kawasan Himalaya ke barat Sungai Indus atau ke timur Sungai Gangga.

Berdasarkan pemerhatian penduduk setempat, rakyat India bergantung sepenuhnya pada sistem pemerintahan yang diperkenalkan oleh Nehru dan Gandhi. Sistem yang dibangunkan untuk mempercepat pembangunan ekonomi melalui penguasaan semua kuasa dan sumber asli oleh sekumpulan kecil pemerintah lelaki membuatkan rakyat yang miskin dan mempunyai tahap kualiti hidup yang rendah terus tertekan dengan impak yang negatif daripada pelaksanaan sistem ini.

Jumlah penduduk yang semakin meningkat dan bergelut dengan kesusahan dari semasa ke semasa menyebabkan mereka tidak mampu untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik. Misalnya, apabila tapak yang menjadi tempat penduduk bercucuk tanam melalui aktiviti pertanian diwartakan sebagai kawasan pembangunan atas arahan pemerintah, rakyat sudah tidak lagi mempunyai hasil dan sumber pendapatan untuk menampung hidup mereka, sekali gus memberikan implikasi yang mendalam terhadap keluarga yang mempunyai jumlah tanggungan yang ramai.

Meskipun Delhi menjadi mundur ekoran daripada isu kepadatan penduduk, terdapat sebuah bandar moden di situ yang bernama Gurgaon. Kawasan ini mempunyai tahap infrastruktur teknologi yang agak maju dan kebanyakan aktiviti dijalankan berasaskan sistem pembangunan baharu. Delhi Development Authority (DDA) yang bertindak sebagai pihak berkuasa telah mengawal aktiviti antara sektor awam dengan sektor swasta bagi mengelakkan penswastaan perkhidmatan berlaku melebihi daripada batas yang sepatutnya. Menurut Parth Shah, Gurgaon asalnya merupakan tanah ladang di pinggir Delhi yang tidak berkembang sektor awamnya dan kemudiannya menjadi maju disebabkan oleh pembangunan yang dijalankan oleh industri swasta.

Bandar Delhi berjaya dibangunkan susulan daripada pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan seperti projek sistem pengangkutan yang menjadi laluan pertama dibuka pada tahun 2002. Sistem ini telah berkembang sehingga kini serta menghasilkan 10 laluan dan 254 stesen yang meliputi lebih 200 batu untuk membawa penumpang sebanyak lebih kurang empat juta orang. Hal ini mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 630,000 tan setiap tahun.

Dari aspek keselamatan pula, Delhi telah memperkukuh benteng keselamatan melalui latihan berterusan yang diberikan kepada anggota polis. Pembinaan sistem metro yang menekankan tahap kesihatan kualiti udara yang melarang pembakaran terbuka di sekitar kawasan negara jiran menyebabkan para petani masih boleh bergiat dalam aktiviti pertanian. Meskipun begitu, perkara ini dilihat mencabar kerana masih terdapat banyak infrastruktur yang tidak dapat dibangunkan sedangkan kemudahan itu berpotensi untuk memberikan sumbangan dan tekanan dalam tempoh masa lima hingga 10 tahun akan datang. Kesannya, wujud banyak masalah pengangguran di samping isu pekerja bergaji rendah seperti pemandu beca dan pembantu rumah yang masih belum selesai.

Kepadatan penduduk di Delhi, India, membawa kepada pelbagai cabaran termasuklah kesesakan lalu lintas, tekanan infrastruktur awam, pencemaran udara dan kekurangan pekerjaan. Walaupun bandar ini menawarkan peluang ekonomi yang besar, pertumbuhan penduduk yang pesat memerlukan perancangan bandar yang lebih mampan, peningkatan kemudahan asas serta dasar yang berkesan untuk mengawal pembangunan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi