Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Tujuh orang pensyarah dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dilantik sebagai profesor dan pensyarah pelawat di Universitas Islam Riau (UIR), Indonesia.
Pelantikan pensyarah berkenaan yang terdiri daripada ahli akademik memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing dan ditempatkan di Fakultas Teknik UIR berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.
Pensyarah yang dilantik sebagai profesor pelawat ialah Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dalam bidang kejuruteraan perisian.
Sementara itu, mereka yang dilantik sebagai pensyarah pelawat pula ialah Encik Ray Adderley JM Gining (komuniti perisian), Ts. Noorfaizalfarid Mohd Noor (kualiti perisian), Encik Muhamad Arif Hashim (keselamatan siber), Encik Mohd Faris Mohd Fuzi (rangkaian komputer), Encik Mohammad Hafiz Ismail (pembelajaran mesin) dan Encik Abdul Hapes Mohammed (interaksi manusia komputer).
Pelbagai kerjasama dan perkongsian kepakaran bakal diatur menerusi seminar yang bertemakan bidang khusus, penerbitan berasaskan penyelidikan bersama-sama dengan UIR serta pengajaran secara kolaboratif susulan daripada pelantikan tersebut.
Pada masa yang sama, Ketua Pusat Pengajian KPPIM, YBrs. Dr. Nurfatihah Fauzi memaklumkan bahawa kegiatan pengantarabangsaan merupakan elemen penting dalam usaha meningkatkan ketampakan sesebuah fakulti pada mata dunia.
Pengantarabangsaan merupakan teras utama dalam usaha UiTM mencapai pelan strategik Globally Renowened University (GRU) 2025.
Pelantikan tujuh orang pensyarah dari KPPIM ini merupakan sebuah pengiktirafan yang perlu dipandang tinggi oleh UiTM kerana kejayaan tersebut membawa erti yang amat besar kepada ketampakan KPPIM pada mata dunia serta membuktikan kepakaran pensyarah KPPIM diiktiraf oleh institusi antarabangsa.
“Semoga pelantikan mereka pada peringkat antarabangsa dapat membuktikan kemampuan para pensyarah KPPIM pada peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.
Pengiktirafan daripada institusi antarabangsa telah memberikan peluang kepada ahli akademik UiTM bukan sahaja untuk mengembangkan kemahiran dan meningkatkan kredibiliti tetapi sebagai simbolik kehebatan sesebuah institusi pengajian tinggi dan bukan sekadar “jaguh kampung”.