Diterbitkan pada 26 Februari 2025, 14:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Susulan daripada operasi Taufan Al Aqsa pada 7 Oktober 2023 yang menyaksikan Hamas berjaya menembusi benteng pertahanan tentera Israel dan menculik sejumlah 251 orang warga Israel, pihak Israel telah melancarkan serangan balas yang sangat dahsyat. Lebih 47,000 orang warga Palestin telah dibunuh, bahkan hampir 80 peratus kediaman telah dimusnahkan. Di samping itu, universiti, sekolah, masjid, hospital dan berbagai-bagai lagi bangunan serta infrastruktur turut dimusnahkan. Israel mengumumkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa objektif utama operasi mereka adalah untuk menghancurkan dan menghapuskan Hamas buat selama-lamanya. Oleh sebab itu, Israel langsung tidak menghiraukan kecaman masyarakat antarabangsa, sama ada melalui saluran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Israel juga dengan angkuh menolak tawaran gencatan senjata berdasarkan beberapa terma yang diusulkan oleh Hamas pada bulan Mei 2024 seperti pertukaran tawanan Israel dan tahanan Palestin di dalam penjara Israel, serta pengunduran tentera Israel dari wilayah Gaza. Israel pada masa itu menyatakan bahawa mereka akan menyelamatkan semua tawanan tanpa perlu menerima tawaran daripada Hamas kerana objektif utama mereka, yakni untuk menghancurkan Hamas masih belum selesai.

Kebanyakan tentera Hamas serta beberapa orang pemimpin tertinggi mereka seperti Ismail  Haniyeh dan Yahya Sinwar telah terbunuh, namun pada pertengahan bulan Januari 2025, Israel akhirnya terpaksa mengaku bahawa mereka terpaksa menerima tawaran gencatan senjata oleh Hamas, sekali gus terpaksa mengaku bahawa objektif utama mereka untuk menghapuskan Hamas telahpun gagal.

Bahkan beberapa keping gambar serta video yang tular dari Gaza semasa pihak Hamas menyerahkan tiga orang tebusan Israel kepada wakil daripada Persatuan Palang Merah jelas menunjukkan ratusan dan mungkin ribuan para pejuang Hamas bukan sahaja masih dalam keadaan tegap dan sihat, bahkan  masih dalam keadaan bersemangat untuk terus berjuang melawan Israel.

Imej yang dipaparkan dalam kaca televisyen dan pelbagai saluran media di seluruh dunia menyaksikan kemenangan berpihak kepada Hamas dan disusuli dengan kegagalan yang memalukan di pihak Israel. Selama satu tahun tiga bulan, penduduk dunia menyaksikan pengeboman ke atas Gaza dengan jumlah bom yang digugurkan melebihi 100 ribu, yang dikatakan jauh melebihi kuasa bom atom yang digugurkan oleh Amerika ke atas Hiroshima semasa Perang Dunia Kedua.

Pada masa yang sama, lebih daripada 800 orang nyawa tentera Israel sendiri turut terkorban serta perbelanjaan sebanyak berbilion Dolar Amerika untuk membekalkan senjata ke Israel, menunjukkan bahawa “kejayaan utama” Israel yang ketara pastinya melibatkan pembunuhan puluhan ribu orang wanita dan kanak-kanak Palestin yang tidak berdosa, sekali gus meyakinkan seluruh masyarakat dunia bahawa rejim Zionis Israel merupakan rejim ganas dan tidak berperikemanusiaan kerana sanggup melakukan jenayah genosid ke atas warga Palestin.

Sokongan daripada orang awam Amerika Syarikat terhadap Israel telah menjunam jatuh dengan ketara, terutamanya dalam kalangan anak muda dan pelajar. Sudah tentu hal ini merupakan antara faktor yang menyebabkan Donald Trump memberikan tekanan yang kuat terhadap Benjamin Netanyahu untuk menghentikan misi perangnya di Gaza. Sebenarnya tekanan ini juga dirasai oleh Joe Biden. Namun begitu, beliau terlampau khuatir kepada pelobi Zionis di Amerika untuk memaksa Netanyahu memberhentikan serangan terhadap Gaza.

Dalam hal ini, perlu disedari dan diakui bahawa faktor utama yang menyebabkan Israel gagal dalam serangan tersebut ialah kerana keteguhan dan ketabahan penduduk Gaza dalam mengharungi penderitaan akibat kezaliman Zionis yang dahsyat terhadap mereka. Mereka tetap teguh, enggan menyerah kalah terhadap Israel serta tetap memberikan sokongan padu kepada Hamas kerana mereka sedar bahawa Hamas merupakan kumpulan yang sanggup menggadaikan nyawa dan harta demi menentang usaha Zionis Israel untuk menjajah dan merampas wilayah mereka. Inilah faktor utama yang menjadikan Hamas wujud dan kukuh setelah lebih dari satu tahun diserang dengan dahsyat oleh tentera Zionis. Pada akhirnya, pihak Zionis Israel terpaksa mengiktiraf secara tidak langsung akan hakikat ini apabila mereka bersetuju untuk menerima tawaran gencatan senjata dengan pihak Hamas.

Dari sudut lain, imej Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat juga musnah berkecai. Bukan sahaja PA telah gagal untuk melindungi rakyat Palestin daripada kezaliman Zionis Israel, bahkan dilihat sebagai sub-kontraktor kepada Israel yang membantu Israel menentang usaha warga Palestin untuk menentang usaha penjajahan dan perampasan wilayah mereka. Semasa pejuang Hamas di Gaza dengan berani mengorbankan tenaga dan nyawa demi membela rakyat Palestin, menyekat Israel daripada mengawal bumi Gaza serta berusaha untuk membebaskan sebahagian daripada ribuan tahanan Palestin di dalam penjara Israel, sebaliknya di Tebing Barat, anggota tentera PA sedang sibuk mengadakan operasi ketenteraan ke atas penduduk Palestin sendiri di Jenin dengan mengepung dan membunuh warga Palestin di sana.

Mereka langsung tidak menyekat puluhan peneroka haram Yahudi yang mengganas di Tebing Barat melalui pembakaran tanaman, kenderaan serta mencabut pokok-pokok zaitun mereka. Matlamat keganasan yang dilakukan oleh peneroka haram Yahudi adalah untuk menghalau seramai yang mungkin rakyat Palestin di Tebing Barat dari tanah air mereka, sekali gus melaksanakan Nakba Kedua.

Oleh sebab itu, maka tidak hairanlah apabila rakyat Palestin semakin benci kepada PA dan memandang tinggi terhadap gerakan Hamas yang semakin muncul sebagai gerakan yang benar-benar mengetuai perjuangan kebangsaan untuk pembebasan bumi Palestin daripada cengkaman Zionis Israel. Sebaliknya PA semakin hari semakin dilihat sebagai agen sekutu pihak berkuasa pendudukan Israel di Tebing Barat. Keteguhan Hamas dalam usaha mempertahankan rakyat Palestin menjadikan Hamas berjaya mendapat ribuan ahli baharu yang bakal menggantikan penuang yang telah terkorban di samping ribuan lain yang bersedia untuk menjadi ahli Hamas pada masa akan datang.

Kedudukan Hamas dalam kalangan masyarakat Palestin semakin kukuh dari hari ke hari. Malah imej Hamas sebagai pembela sebenar rakyat Palestin semakin terserlah dari kaca mata masyarakat dunia, termasuklah dalam kalangan rakyat biasa dan pelajar di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Hamas dilihat tetap teguh berjuang bagi pihak rakyat Palestin yang sedang dizalimi sedangkan kerajaan di negara barat dan sekutu mereka terus melabelkan Hamas sebagai gerakan pengganas walaupun jelas menunjukkan bahawa mereka adalah pejuang pembebasan.

Isu ketidakadilan sistem perundangan antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan PBB terhadap warga Palestin terus dikecam oleh masyarakat dunia kerana institusi tersebut terus gagal menyekat Israel daripada melakukan genosid terhadap warga Palestin di Gaza dan masih membenarkan Israel menjajah bumi Palestin dan melakukan pembersihan etnik di Tebing Barat. Negara berpengaruh seperti AS, United Kingdom dan Perancis turut memberikan sokongan politik, diplomatik dan persenjataan ke Israel untuk terus membunuh puluhan ribu orang rakyat Palestin hingga ke hari ini.

Sesungguhnya peristiwa yang telah berlaku di Gaza telah menyedarkan hampir seluruh masyarakat antrabangsa bahawa dunia sekarang dikawal oleh satu kumpulan minoriti dalam kalangan yang kaya dan berpengaruh di AS dan negara-negara Barat. Mereka telah berjaya mengawal sistem perundangan dan institusi antarabangsa untuk membenarkan kezaliman dilakukan terhadap pihak yang lemah, termasuklah melakukan genosid terhadap mereka. Situasi ini turut menyedarkan masyarakat di dunia bahawa jika pihak yang lemah itu bangkit dan menentang kezaliman dengan semangat yang jitu dan perjuangan yang ikhlas, akhirnya pihak yang lemah tetap akan berjaya mengalahkan pihak yang menzalimi.

Bagi masyarakat Islam pula, hal ini membuktikan bahawa janji Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Al Isra’ ayat 81 adalah benar, iaitu:
Dan katakanlah “Yang benar (haq) telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu merupakan sesuatu yang pasti lenyap”.

Prof. Emeritus Dr. Mohd Nazari Ismail, Pengarah Hashim Sani Centre for Palestine Studies, Universiti Malaya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi