Diterbitkan pada 24 Mac 2025, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Fenomena “merempit” dalam kalangan remaja bukanlah isu baharu dalam masyarakat. Kegiatan ini sering dikaitkan dengan kebebasan, adrenalina dan identiti kumpulan, namun hakikatnya fenomena ini membawa kesan negatif kepada individu serta komuniti. “Rempit” merupakan istilah slanga dalam kalangan generasi kini dan dikaitkan dengan istilah samseng jalanan yang diberikan kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram.

Faktor yang Menjadi Penyumbang kepada Fenomena Merempit

Terdapat beberapa faktor utama yang mendorong remaja untuk terlibat dalam aktiviti “merempit”. Antaranya termasuklah keinginan untuk mencari identiti. Remaja sering kali ingin dikenali dan dihormati dalam kalangan rakan sebaya. Aktiviti “merempit” menjadi simbol keberanian dan kehebatan mereka di mata rakan-rakan. Dalam fasa perkembangan remaja, mereka cenderung mencari sesuatu yang memberikan mereka berasa diterima dalam kumpulan sosial.

Disebabkan oleh tekanan daripada rakan sebaya dan keinginan untuk menunjukkan keberanian, ramai yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi memperoleh status dan penghormatan dalam kelompok mereka. Selain itu, keghairahan untuk menjadi “ikon” dalam dunia “rempit” sering kali mendorong mereka untuk melakukan aksi berbahaya demi menarik perhatian orang lain. Malangnya, keinginan ini sering kali membawa kesan buruk seperti kecederaan serius dan kehilangan nyawa.

Antara faktor lain yang menyumbang kepada fenomena “merempit” ini juga ialah pengaruh media dan rakan sebaya. Filem, video di media sosial serta dorongan rakan sebaya memainkan peranan dalam membentuk sikap remaja terhadap aktiviti ini. Pengaruh daripada kandungan media yang memaparkan aksi lumba haram dan gaya hidup bebas sering kali menarik perhatian golongan muda yang ingin menonjolkan keberanian mereka.

Selain itu, media sosial yang membolehkan penyebaran video aksi “rempit” yang mendapat tontonan tinggi turut menjadi pemangkin kepada budaya ini. Rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam menentukan kecenderungan seseorang remaja terhadap aktiviti “merempit”. Pengaruh kumpulan rakan yang terlibat dalam lumba haram dapat mempengaruhi individu lain untuk mencuba dan menyertai aktiviti tersebut demi mendapat pengiktirafan dan penghormatan daripada rakan-rakan. Dorongan dan desakan rakan sebaya sering menjadi faktor utama seseorang remaja berani mengambil risiko di jalan raya.

Selain itu, kurangnya pengawasan ibu bapa dalam memantau aktiviti anak masing-masing turut menjadi satu daripada faktor fenomena “merempit” semakin berleluasa. Kesibukan ibu bapa dalam mencari rezeki menyebabkan kurangnya kawalan terhadap aktiviti anak-anak. Ramai ibu bapa terpaksa bekerja hingga lewat malam atau menghabiskan masa di tempat kerja, menyebabkan mereka tidak dapat memantau pergerakan anak-anak secara menyeluruh. Keadaan ini memberikan ruang kepada remaja untuk keluar rumah tanpa pengawasan, sekali gus membuka peluang untuk mereka terlibat dalam kegiatan “merempit”. Tanpa bimbingan yang betul, mereka cenderung terpengaruh dengan rakan sebaya yang mungkin membawa pengaruh negatif.

Antara lain, generasi kini kurang mendalami pendidikan keselamatan jalan raya. Kurangnya kesedaran tentang bahaya kelajuan dan kecuaian ketika menunggang motosikal menyebabkan ramai remaja mengambil risiko yang tinggi. Ramai dalam kalangan mereka tidak memahami implikasi undang-undang dan akibat buruk daripada tindakan mereka.

Pendidikan keselamatan jalan raya yang kurang ditekankan di sekolah dan dalam komuniti menyebabkan mereka tidak menyedari bahaya sebenar yang menanti di jalan raya. Jika usaha pendidikan keselamatan jalan raya diperkukuh, remaja dapat memahami betapa pentingnya sikap berhemah dan bertanggungjawab semasa menunggang motosikal.

Implikasi Negatif

Aktiviti “merempit” tidak hanya mendatangkan risiko kepada diri sendiri, malah kepada masyarakat sekeliling. Antara kesan utama termasuklah membawa kepada kecederaan dan kematian. Kemalangan jalan raya yang melibatkan “mat rempit” atau samseng jalanan ini sering membawa kepada kecederaan parah dan kehilangan nyawa. Kebanyakan penunggang yang terlibat dalam aktiviti “merempit” tidak memakai perlindungan keselamatan seperti topi keledar yang berkualiti atau pakaian yang sesuai, menyebabkan kecederaan lebih serius jika berlaku kemalangan. Statistik menunjukkan bahawa kemalangan akibat lumba haram sering mengakibatkan kecacatan kekal atau kematian, bukan sahaja kepada penunggang tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang tidak bersalah.

Selain itu, individu yang terlibat dalam dunia “merempit” juga mungkin terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Bagi sesetengah penggiat “rempit”, dadah menjadi cara untuk meningkatkan prestasi atau bertahan lebih lama dalam perlumbaan yang berisiko. Penyalahgunaan dadah boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius, termasuk gangguan mental, ketagihan, serta kemalangan yang lebih berisiko di jalan raya.

Selain penyalahgunaan dadah, ramai “mat rempit” yang turut terlibat dalam penyeludupan dadah kerana terdapat permintaan tinggi dalam kalangan penggiat dunia “rempit” untuk mendapatkan dadah bagi meningkatkan prestasi semasa berlumba atau untuk keseronokan peribadi. Jenayah ini memanfaatkan kelajuan dan ketangkasan motosikal untuk menyeludup bahan terlarang, dengan pengedaran yang sering kali disertai dengan tindakan yang sangat berisiko tinggi.

Perlumbaan haram juga sering kali melibatkan pertaruhan wang secara tidak sah, yang memberikan motivasi kewangan kepada peserta. Dalam kebanyakan kes, “merempit” bukan sahaja tentang perlumbaan itu sendiri, tetapi juga tentang taruhan wang yang besar antara peserta atau penonton. Hal ini menyebabkan lebih banyak masalah seperti pemerasan, keganasan dan pembabitan dalam aktiviti haram yang lebih besar.

Kegiatan “merempit” juga kadang kala memberi peluang kepada pertemuan antara individu yang tidak mengenali antara satu sama lain, terutamanya dalam kalangan remaja yang terlibat, yang seterusnya mencetuskan masalah sosial dalam kalangan remaja ini. Dalam beberapa kes, keseronokan yang dicari melalui perlumbaan dan penggunaan dadah boleh mendorong kepada pergaulan bebas, seterusnya menyumbang kepada perbuatan zina. Pergaulan yang tidak terkawal dan ketidakmatangan dalam membuat keputusan menyebabkan individu lebih mudah terjebak dalam gejala ini.

Antara implikasi negatif lain yang timbul akibat “merempit” ini juga termasuklah menyumbang kepada kesulitan buat keluarga. Apabila seorang remaja terlibat dalam kemalangan semasa “merempit” dan mengalami kecederaan, rawatan perubatan menjadi satu beban kewangan yang besar kepada keluarga. Kos hospital, pembedahan, ubat-ubatan serta rawatan susulan boleh mencecah ribuan ringgit, yang mungkin sukar ditanggung oleh keluarga, terutamanya bagi keluarga yang berpendapatan rendah. Hal ini menambah tekanan kewangan kepada ibu bapa atau penjaga yang perlu mencari dana untuk membayar kos perubatan, selain bebanan harian yang sudah sedia ada.

Remaja yang tercedera akibat “merempit” mungkin terpaksa berhenti belajar atau menghadapi kesukaran untuk kembali ke sekolah, menyebabkan gangguan dalam pendidikan mereka. Perkara ini juga memberi kesan kepada masa depan remaja, yang mungkin menghadapi kesulitan untuk meneruskan pembelajaran atau mendapatkan pekerjaan yang baik. Keluarga terpaksa menanggung kos pendidikan yang terganggu, selain beban emosi dan sosial yang dibawa susulan daripada kejadian tersebut.

Hukuman bagi Pesalah “Rempit”

Bagi mengekang gejala “merempit”, pihak berkuasa telah menetapkan beberapa peruntukan undang-undang bagi menghukum pesalah. Antaranya termasuklah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Seksyen 42(1)), iaitu menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun.

Selain itu, Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 merujuk perlumbaan haram tanpa kebenaran boleh dihukum dengan denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan bagi kesalahan pertama. Hukuman lebih berat akan dikenakan bagi kesalahan berulang. Akta Kanun Keseksaan (Seksyen 304A) juga memperuntukkan bahawa jika “merempit” menyebabkan kematian, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kesan Pemenjaraan terhadap Pesalah “Rempit”

Pemenjaraan membawa impak besar kepada individu yang terlibat dalam aktiviti “merempit”. Antaranya termasuklah gangguan emosi dan psikologi. Hal ini kerana pesalah yang dipenjarakan sering mengalami tekanan perasaan akibat penyesalan dan persekitaran yang terkawal. Pesalah “rempit” juga akan mengalami kesukaran dalam mendapatkan pekerjaan berikutan rekod jenayah akibat “merempit” sehingga menyukarkan pesalah untuk mendapat pekerjaan setelah dibebaskan.

Tambahan pula, mereka akan kehilangan sokongan sosial kerana keluarga dan masyarakat mungkin memandang serong terhadap bekas pesalah “rempit”, menyebabkan mereka sukar untuk kembali ke pangkuan masyarakat. Walau bagaimanapun, program pemulihan dalam penjara seperti kaunseling dan bimbingan agama boleh membantu pesalah “rempit” untuk berubah dan menjalani kehidupan yang lebih baik selepas dibebaskan.

Langkah Pencegahan dan Penyelesaian

Bagi membendung masalah ini, antara langkah yang boleh diambil termasuklah dengan pendidikan bagi kesedaran awal. Pendidikan tentang keselamatan jalan raya perlu diterapkan sejak di bangku sekolah. Dalam program pendidikan untuk remaja tentang keselamatan jalan raya dan risiko “merempit”, penekanan harus diberikan tentang kepentingan penggunaan peralatan keselamatan seperti helmet dan pelindung lutut serta teknik mengendalikan motosikal dengan cara yang selamat. Kempen kesedaran tentang kesan buruk “merempit” di jalan raya, termasuk risiko kemalangan, kecederaan dan kesan jangka panjang terhadap kesihatan juga seharusnya dipergiat.

Selain itu, pelibatan keluarga dan masyarakat juga penting dalam mengekang fenomena ini daripada terus berleluasa. Ibu bapa dan masyarakat perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau aktiviti remaja. Program-program yang memfokuskan pembangunan peribadi, sukan dan kerja berpasukan melalui aktiviti motosikal yang positif perlu diwujudkan. Hal ini termasuklah kerja-kerja sukarelawan, acara berbasikal sosial atau perlumbaan amal. Program bimbingan untuk remaja yang terlibat dalam aktiviti “merempit” dengan tujuan memberi peluang kepada mereka untuk berkembang dalam bidang lain, seperti dalam kerjaya motosikal (misalnya menjadi mekanik berkelayakan atau pelumba profesional) juga dapat menjadi alternatif kepada langkah pencegahan dan penyelesaian bagi fenomena ini.

Antara lain, alternatif sukan bermotor yang sah dengan menyediakan platform perlumbaan sah seperti litar rasmi boleh mengurangkan kegiatan “merempit” secara haram. Alternatif ini secara tidak langsung dapat menyokong sukan motosikal yang diiktiraf seperti motorcross, motosikal berkuasa besar (superbike), dan road racing. Sukan ini bukan sahaja membolehkan peserta menunjukkan kemahiran mereka, tetapi juga memberikan elemen kompetitif yang sihat. Perlumbaan rasmi dan berlesen dengan pengawasan yang baik boleh menjadi alternatif yang lebih selamat, termasuklah penubuhan Kelab Motosikal yang berorientasikan aktiviti sihat seperti pengembaraan motosikal atau aktiviti sosial lain yang tidak melibatkan perlumbaan haram.

Penguatkuasaan undang-undang juga boleh diperketat dengan pelaksanaan hukuman yang lebih tegas terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti ini dapat mengurangkan kes “merempit”. Selain itu, pewujudan aplikasi yang boleh memantau kelajuan dan gaya pemanduan serta memberi amaran kepada pemandu apabila mereka melanggar had kelajuan atau berada dalam keadaan berbahaya boleh membantu mengurangkan risiko kemalangan.

Natijahnya, budaya “merempit” dalam kalangan remaja bukan sekadar isu hiburan atau kebebasan, tetapi satu masalah sosial yang perlu ditangani secara holistik. Melalui pendidikan, penglibatan keluarga serta penguatkuasaan undang-undang yang ketat, fenomena ini dapat dibendung demi kesejahteraan generasi akan datang. Remaja seharusnya dididik untuk memahami bahawa kebebasan sejati bukanlah diukur melalui kelajuan di jalan raya, tetapi melalui kecemerlangan dalam kehidupan dan sumbangan kepada masyarakat.

Kredit Foto: Pexels
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi