Diterbitkan pada 25 Mac 2025, 15:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada pertengahan Mac 2025, Israel secara terang-terangan mencabuli perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini dengan gerakan Hamas. Dalam tempoh beberapa hari selepas itu, Israel telah mengebom dan membunuh lebih 500 orang di Gaza dengan menjadikan jumlah kematian warga Palestin semenjak 7 Oktober 2023 kini mencecah lebih 50 ribu orang. Kebanyakan daripada mangsa pengeboman terkini ialah wanita dan kanak-kanak.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa tujuan serangan Israel ini adalah untuk menghapuskan gerakan Hamas dan membebaskan tebusan yang telah diculik. Netanyahu juga berharap serangan ganas ini akan dapat memaksa rakyat Palestin untuk akhirnya tunduk kepada kehendak Israel, iaitu menentang Hamas dan berhenti menentang Israel.

Namun begitu, objektif ini tidak berbeza daripada objektif yang disebut oleh Netanyahu pada bulan Oktober tahun 2023 semasa melancarkan serangan ke atas Gaza susulan operasi Taufan Al Aqsa oleh Hamas. Selepas 15 bulan serangan dilakukan oleh Israel, seluruh dunia mengetahui bahawa mereka telah gagal mencapai objektif tersebut kerana Hamas masih wujud dan terus berpengaruh di Gaza.

Pemimpin Israel masih tidak mahu menerima hakikat bahawa rakyat Palestin tidak akan tunduk dan mengalah terhadap Israel. Mereka juga tidak akan menolak atau membenci Hamas. Hal ini demikian kerana bagi rakyat Palestin, Israel merupakan golongan penjajah yang ingin merampas tanah air mereka dan menghalau mereka keluar. Hamas hanyalah sebuah dari organisasi Palestin yang menentang penjajahan tersebut dengan menggunakan senjata. Tindakan Hamas adalah tindakan semula jadi dari pihak yang dijajah dan oleh itu adalah sukar untuk tidak disokong oleh kebanyakan warga Palestin.

Cuma yang membezakan pejuang Hamas daripada rakyat biasa Palestin ialah pejuang Hamas terlatih dalam aspek ketenteraan. Organisasi mereka terdiri daripada ahli-ahli yang berdisiplin, komited dan berani mati kerana asas perjuangan mereka ialah ajaran Islam, yakni ajaran yang menyatakan usaha penentangan penjajahan oleh orang asing bukan Islam ke atas negara mereka merupakan satu usaha jihad yang mulia. Segala usaha menentang penjajah amal soleh dan akan mendapat ganjaran dari Allah SWT. Jika mereka terkorban dalam jihad ini, mereka akan mati syahid dan akan dijanjikan syurga yang kekal abadi. Oleh itu, mereka tidak takut untuk mati dalam perjuangan tersebut

Sebenarnya rakyat Palestin tiada pilihan selain menentang penjajahan serta meneruskan perjuangan untuk membebaskan dan memerdekakan tanah air mereka daripada penjajah asing yang datang dari barat itu. Situasi ini berbeza daripada sentimen rakyat Israel yang sedar bahawa mereka dan nenek moyang mereka berasal dari negara lain, kebanyakan adalah dari Eropah Timur dan oleh itu mempunyai pilihan untuk pulang ke negara asal mereka.

Sebenarnya ramai daripada kalangan pemimpin Israel menyedari realiti yang berlaku. Namun begitu, ada beberapa faktor kenapa pemimpin Israel memilih untuk tidak mahu meneruskan proses gencatan senjata dan berdamai dengan pihak Hamas. Antara sebab utama ialah hal tersebut merupakan taktik Netanyahu untuk kekal berkuasa sebagai Perdana Menteri Israel kerana beberapa buah parti berhaluan ekstrem di Israel yang dipimpin oleh Bezalil Smotrich dan Ben-Gvir telah mengugut untuk meninggalkan kerajaan campuran Israel yang dipimpin oleh Netanyahu jika perang tidak diteruskan.

Sekiranya berlakunya penarikan tersebut, Netanyahu terpaksa melepaskan kuasa dan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana kerajaan gabungannya tidak akan wujud lagi. Sehubungan dengan itu, Netanyahu akan dibicarakan atas tuduhan korupsi dan besar kemungkinan akan dimasukkan ke penjara. Akibat daripada keputusan Netanyahu menyerang rakyat Gaza, parti-parti ekstrem tersebut telah bersetuju untuk terus kekal dalam kerajaan Netanyahu dan ini membolehkannya terus kekal berkuasa sebagai Perdana Menteri.

Walaupun Netanyahu menyebut bahawa Israel tidak akan berhenti menyerang Gaza sehingga Hamas dapat dihapuskan, namun semua orang tahu bahawa hasrat tersebut telah gagal dicapai setelah 15 bulan Israel menyerang Gaza dengan zalim dan tidak berperikemanusiaan. Bahkan akibat daripada serangan sebelum ini, Israel telah dilihat sebagai zalim pada mata masyarakat dunia. Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah menyatakan bahawa Israel kemungkinan besar sedang melakukan genosid di Gaza sementara ICC telah mengisytiharkan Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan beliau Yoav Gallant sebagai layak ditangkap untuk dibicarakan kerana melakukan jenayah terhadap kemanusiaan.

Dunia menyedari bahawa pada bulan Mei 2024, Hamas telah memberikan tawaran untuk mengadakan gencatan senjata dan pertempuran boleh dihentikan melalui perjanjian pertukaran tahanan. Perjanjian gencatan senjata akhirnya dicapai pada awal tahun ini dan fasa pertamanya dilaksanakan meskipun terdapat pencabulan oleh Israel terhadap syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama apabila Israel terus menembak mati puluhan rakyat Palestin semasa tempoh gencatan senjata berlaku.

Pada hakikatnya, gencatan senjata dengan Hamas sebenarnya merupakan satu kegagalan Israel kerana telah gagal mencapai objektif yang diumumkan sebelum ini, iaitu menghapuskan Hamas dari bumi Gaza.  Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila tiba masanya untuk memasuki fasa kedua kepada proses gencatan senjata, Netanyahu mula berlengah, kemudian menarik balik sepenuhnya perjanjian yang ditandatangani kerajaannya dengan Hamas. Anehnya, alasan yang diberikan oleh Israel terhadap tindakan menyerang Gaza, iaitu kerana Hamas mahu terus berpegang teguh dengan perjanjian bersama dengan Israel.
Besar kemungkinan antara sebab utama Israel mencabuli perjanjian gencatan senjata ialah kerana menyedari bahawa kepulangan warga dan askar Israel yang diculik oleh Hamas telah memberikan kemenangan propaganda yang sangat menguntungkan kepada Hamas. Imej-imej yang menunjukkan tahanan Israel tersenyum lebar dan berterima kasih kepada tentera Hamas hingga ada yang mencium kepala pejuang Hamas telah mengharumkan nama dan imej Hamas di seluruh dunia. Begitu juga dengan kejayaan Hamas memaksa Israel untuk membebaskan ratusan tahanan Palestin di dalam penjara Israel telah membuat rakyat Palestin menjadi lebih kagum kepada Hamas.

Kini, ramai rakyat Israel yakin bahawa motif utama Netenyahu meneruskan peperangan untuk menyelamatkan dirinya daripada dibicarakan dan dimasukkan ke penjara. Akibat daripada tindakannya, semakin ramai rakyat Israel membenci beliau. Ribuan rakyat Israel sekarang ini mengadakan protes terhadap Kerajaan Israel. Kini masyarakat Israel berpecah dan tidak lagi bersatu. Ramai yang berasa tidak selamat sebagai rakyat Israel di bawah pemerintahan kerajaan Netanyahu.

Tambahan pula, ramai rakyat Israel semakin yakin bahawa masa depan negara Israel adalah malap. Ekonominya telah hancur dan ramai yang sudah berhijrah ke nagara lain atau merancang untuk berhijrah. Di samping itu, sokongan rakyat Amerika terhadap Israel semakin merosot, terutamanya dalam kalangan orang muda dan pelajar. Mereka semakin faham punca utama permasalahan di Palestin dan semakin jelas bahawa pihak yang dizalimi adalah warga Palestin dan pihak yang menzalimi adalah Israel. Mereka juga sedar bahawa orang Palestin merupakan penduduk asal bumi Palestin sementara orang Israel disifatkan sebagai pendatang asing yang sedang menjajah bumi Palestin.

Apabila semakin ramai rakyat Amerika yang membenci kezaliman Israel, lambat laun kerajaan Amerika akan terpaksa menukar pendiriannya yang selama ini menyokong Israel secara membuta tuli kerana Amerika Syarikat sendiri sedang mengalami masalah ekonomi yang mengakibatkan hutang berjumlah USD36 trilion yang memaksa mereka memberhentikan berbagai-bagai program dan memecat ribuan pekerja. Semua rakyat Amerika sekarang mempersoalkan kerajaan mereka yang memberikan bantuan berjumlah puluhan bilion ke Israel sementara rakyat Amerika sendiri sedang sengsara. Trump yang menang atas janji ingin memberikan fokus utama kepada kebajikan rakyat Amerika sekarang berada dalam keadaan tersepit kerana dilihat memberikan perhatian kepada kebajikan Israel melebihi kebajikan rakyat Amerika sendiri.

Pencabulan gencatan senjata oleh Israel mencerminkan keadaan Israel yang sangat lemah dan tersepit. Hal tersebut merupakan tindakan yang tidak mempunyai apa-apa asas dan rancangan yang jelas. Hal ini menunjukkan tanda-tanda bahawa projek Zionis untuk menubuhkan sebuah negara hanya untuk orang Yahudi sedang dalam proses kehancuran dan kegagalan. Tidak syak lagi projek ini akan akhirnya gagal kerana merupakan projek yang diasaskan atas dasar semangat perkauman yang sempit dan polisi zalim aparteid serta amalan jenayah genosid terhadap warga Palestin.

Prof Emeritus Dr. Mohd Nazari Ismail ialah Pengarah Hashim Sani Centre for Palestine Studies, Universiti Malaya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi