Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSambutan Hari Raya Aidilfitri yang bermakna diibaratkan seperti sehelai kain samping yang melengkapkan busana baju Melayu bagi setiap lelaki di pagi lebaran. Tenunan benangnya yang memberikan makna, coraknya yang mencerminkan tradisi dan cara samping dipakai menggambarkan adab serta keperibadian si pemakai. Setiap helai benang yang dijalin membentuk kain yang indah, sama seperti nilai yang membentuk sambutan Hari Raya Aidilfitri. Namun begitu, dalam kegembiraan menyambut lebaran, kita sering terleka. Ada benang yang tertetas, ada jahitan yang terurai atau ada compang-camping si pemakai samping. Sedangkan menjadi tanggungjawab kita memastikan Hari Raya Aidilfitri ditenun dengan penuh kasih sayang dan harmoni, bukan hanya sekadar adat yang kosong.
Dalam kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri, ada juga tenunan kehidupan yang menyulam ketidakharmonian, daripada soalan sensitif hingga pembaziran makanan, daripada obsesi duit raya hingga tekanan media sosial. Jika tidak dijaga, tenunan Syawal yang sepatutnya indah boleh menjadi kusut. Sedangkan, Hari Raya Aidilfitri ini ibarat seperti sehelai kain samping yang ditenun dengan penuh seni dan makna. Setiap helai benang yang disulam melambangkan nilai kekeluargaan, adat dan tradisi yang kita warisi sejak turun-temurun.
Pembuatan samping yang berkualiti tinggi ditenun dengan benang yang halus, sama seperti santun kata dalam perbualan kita ketika berkunjung ke rumah sanak saudara. Setiap tahun, kita masih berdepan dengan soalan yang kurang sensitif seperti “Bilakah hendak berkahwin?”, “Sudah ada anak ke belum?”, atau “Berapakah gaji sekarang?”. Pada dasarnya, soalan tersebut mungkin sekadar perbualan biasa tetapi hakikatnya, soalan sebegini boleh menggores perasaan seseorang. Tidak kurang pula ada yang ingin membandingkan kehidupannya dengan orang lain. sedangkan kita tahu tenunan samping raya itu berbeza-beza, cantiknya bukan kepalang dan ada nilai estetikanya yang tersendiri.
Daripada soalan yang memerangkap hingga perbualan yang menjengkelkan, lebih baiklah kita berbual tentang perkara yang menggembirakan, seperti kenangan lucu di kampung atau pencapaian positif dalam hidup dan sebagainya. Hari Raya Aidilfitri sepatutnya dijadikan ruang untuk mengeratkan hubungan, bukan membangkitkan perkara yang boleh menjejaskan emosi orang lain. Ingatlah bahawa seni bersamping di pagi lebaran merupakan adat kita, namun budaya “melondeh” perasaan orang lain merupakan perkara yang perlu kita elakkan.
Corak pada samping melambangkan tradisi dan identiti budaya tetapi adakah tradisi kita masih kukuh? Zaman dahulu, kanak-kanak berlari dari rumah ke rumah, keluarga berkumpul dari pagi hingga malam dan ucapan “Selamat Hari Raya” diucapkan secara berdepan. Kini, segalanya semakin berubah sama seperti samping raya yang boleh dipakai segera. Generasi muda kini lebih memilih untuk mengirim ucapan melalui WhatsApp, aktiviti ziarah semakin berkurangan dan rumah terbuka digantikan dengan memuat naik gambar makanan dalam media sosial. Busana lengkap bersamping hanya tatapan secara maya bukannya dikagumi secara bersua muka.
Kita seharusnya berpegang pada kecantikan tenunan yang harmoni dalam adunan seni samping. Si pemakai yang berbusana baju Melayu tampak manis bersamping dengan corak dan warna yang pelbagai. Samalah dengan kita, berusaha untuk menghidupkan semula budaya bermaaf-maafan dan ziarah raya, generasi akan datang mungkin hanya mengenali Hari Raya Aidilfitri sebagai cuti panjang tetapi pada kali ini kita ajar mereka masa untuk menyuburkan kasih sayang sesama keluarga dan sahabat. Ajarkan anak-anak kita supaya meninggalkan gajet dan media sosial untuk berjumpa dengan sanak saudara dan meluangkan masa bersama-sama.
Duit raya sering dianggap sebagai benang emas dalam kain samping, menyerlah dan berharga. Namun begitu, budaya duit raya kini semakin menjadi perlumbaan, nilai pemberian menjadi soal utama, berbanding dengan erti sebenar pemberian tersebut. Ada ibu bapa yang tertekan kerana perlu memberikan jumlah yang lebih besar agar tidak dibandingkan. Kanak-kanak pula lebih tertumpu kepada siapakah yang memberikan duit yang lebih banyak? Bukan menghargai silaturahim yang terjalin. Ada pula yang membuka sampul dan mengira duit raya di hadapan si pemberi. Kalau sedikit yang diberi, habis kecoh dicanangkannya. Perkara ini boleh diubah dengan mendidik anak-anak dengan menyedarkan mereka bahawa Hari Raya bukan tentang mengumpul wang tetapi tentang memberi dan berkongsi rezeki dengan penuh keikhlasan.
Paling baik, kita ajarkan mereka erti mensyukuri nikmat duit raya yang mungkin bukan tradisi bagi perayaan lain di luar negara. Adat di Malaysia untuk menggambarkan keharmonian, namun janganlah kita menjadikan duit raya sebagai punca sengketa, umpama kita tidak nampak cantiknya benang emas yang ditenun kemas dalam tenunan samping. Bagi si pemberi duit raya, usahlah menjadikan perkara ini sebagai beban. Perkara tersebut merupakan adat dan cara kita menzahirkan syukur dengan berkongsi rezeki, bukan sebagai beban. Berilah seikhlas hati, yang penting ikut kadar kemampuan.
Samping yang berkualiti tinggi dijahit dengan teliti supaya tahan lama dan tidak mudah koyak. Begitu juga dengan persiapan Raya, biarlah berpada-pada dan tidak berlebihan. Namun begitu, setiap tahun kita menyaksikan lambakan makanan yang berakhir di dalam tong sampah. Kuih-muih yang tidak habis, lauk-pauk yang berlebihan dan juadah yang hanya disentuh sedikit menjadi antara punca utama pembaziran. Konsep “lebih baik lebih daripada kurang” tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk terus membazir. Mungkin sudah tiba masanya kita lebih berhemah dalam penyediaan makanan dan lebih peka terhadap keberkatan dalam setiap hidangan. Budaya rumah terbuka juga menampakkan tenunan kasih sayang antara kita, maka janganlah membazir dalam menyediakan juadah, bersederhana sebaiknya.
Seperti samping yang datang dalam pelbagai corak dan warna, fesyen Hari Raya Aidilfitri juga mengalami evolusi yang drastik. Jika dahulu, baju kurung dan baju Melayu menjadi pilihan utama, tetapi kini baju tersebut semakin moden dengan potongan yang lebih berani dan eksklusif. Ada yang lebih mementingkan kecantikan ketika bergambar daripada keselesaan dan kesopanan. Ada yang sanggup berbelanja besar hanya untuk mendapatkan busana daripada jenama terkenal, tidak salah berbelanja lebih tetapi ikutlah kemampuan. Ingatlah konsep Hari Raya Aidilfitri itu sendiri menekankan kesederhanaan. Fesyen tidak salah tetapi biarlah berpada dan sesuai dengan adat serta nilai kita. Seperti samping yang pelbagai warna dan coraknya, pakailah apa-apa sahaja asalkan sopan dan cantik mata yang memandang serta tidak melanggar agama dan budaya.
Dalam proses menyiapkan samping, ada tangan yang bersusah payah menenunnya dengan penuh kesabaran. Begitu juga di dapur ketika Hari Raya Aidilfitri, sering kali ibu dan golongan wanita menjadi tulang belakang yang memastikan semuanya berjalan lancar. Daripada memasak hingga mengemas rumah, mereka bekerja tanpa henti sementara yang lain sibuk berbual dan menjamu selera. Sudah tiba masanya budaya ini berubah. Hari Raya Aidilfitri seharusnya diraikan bersama-sama, bukan hanya dalam kegembiraan tetapi juga dalam usaha persiapannya.
Semua ahli keluarga perlu memainkan peranan agar lebaran lebih bermakna dan tidak membebankan sebelah pihak sahaja. Jangan hanya tahu makan tetapi tidak tahu untuk membasuh pinggan dan sebagainya, bersedialah memberikan tenaga. Ingatlah bahawa ada orang yang bersusah payah menyediakan juadah. Ringankan tulang bersama-sama, berkemas selepas rumah diziarahi, tugas ini adalah tanggungjawab bersama-sama. Ipar duai saling bekerjasama dalam menghidupkan rumah orang tua, jangan pula ada yang duduk di dalam bilik atau menonton televisyen semata-mata. Lihatlah kembali cantiknya susunan benang dalam membentuk samping raya, begitulah muafakat kita berhari raya bersama-sama dengan keluarga.
Perjalanan pulang ke kampung ibarat melipat kain samping dengan kemas, kita perlu merancang dengan baik agar tidak berakhir dalam keadaan yang kelam-kabut. Setiap tahun, kita melihat kesesakan luar biasa di lebuh raya, dengan ada yang memandu selama berjam-jam tanpa rehat kerana ingin cepat sampai dan mahu beraya bersama-sama dengan keluarga.
Dalam keadaan tergesa-gesa, banyak yang mengabaikan faktor keselamatan. Pemanduan berbahaya, keletihan melampau dan sikap tidak bertimbang rasa boleh mengundang tragedi yang tidak diingini. Raya bukan perlumbaan untuk sampai ke kampung dahulu, biarlah kita sampai dengan selamat agar dapat meraikan Syawal bersama-sama dengan insan tersayang.
Sama seperti kain samping yang tenunannya menjadi simbol kemegahan budaya, Hari Raya Aidilfitri juga perlu ditenun dengan nilai yang betul. Adab dalam perbualan, penghormatan terhadap tradisi, sikap sederhana dalam berbelanja dan kepentingan keselamatan harus menjadi keutamaan. Samping yang cantik bukan sekadar corak dan warna tetapi bagaimana ditenun dengan teliti dan penuh makna. Begitu juga dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, keindahannya bukan pada kemewahan tetapi pada hubungan yang kita eratkan, adab yang kita jaga dan kenangan yang kita cipta.
Jangan biarkan Hari Raya Aidilfitri menjadi sekadar rutin tahunan yang kosong. Jangan biarkan lebaran tahun ini hanya menjadi sehelai kain tanpa roh. Pastikan setiap detik Hari Raya Aidilfitri ditenun dengan nilai kasih sayang, kesederhanaan, silaturahim, hormat-menghormati dan penuh keikhlasan. Dengan itu, Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja menjadi lebih bermakna tetapi juga akan dikenang sebagai sebuah perayaan yang benar-benar membawa kegembiraan kepada semua.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin!