Diterbitkan pada 10 April 2025, 12:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bagi pendengar tegar Radio Klasik yang merupakan saluran radio milik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), nama juruhebah atau DJ, Puan Anisma Azwati Ahmad memang tidak asing lagi. Puan Anisma yang bersiaran pada setiap hari, iaitu dari pukul 6.00 pagi hingga pukul 10.00 pagi mempunyai keistimewaan yang tersendiri sebagai seorang juruhebah radio yang berwibawa dan berkaliber.

Pertuturannya lancar. Bicaranya berisi. Bahasanya puitis. Lontaran suaranya bersahaja, sedap didengar dan tidak membosankan. Sebutan tiap patah perkataan yang keluar daripada mulutnya juga jelas. Tutur katanya berhemah dan tidak meninggi diri. Khazanah perbendaharaan kata dan kosa katanya juga luas. Penampilan diri (bagi mereka yang mengikutinya secara dalam talian) juga sungguh menyerlah.

Pendek kata, beliau mempunyai ciri seorang juruhebah yang hebat, barang kali setanding dengan juruhebah wanita tersohor pada zaman silam, iaitu sejak zaman penulis mengenali radio pada tahun 1960-an. Antaranya seperti Puan Siti Hawa Zain, Puan Yong Rafidah, Puan Norhasimah Ismail, Puan Nurlida Saidi, Puan Hebat Fatimah, Puan Salasiah Zakaria dan beberapa juruhebah yang lain.

Bagi mereka yang mengikuti segmen Sajian Pagi Klasik kendalian Puan Aniesma, terdapat dua keunikan dalam cara beliau memulakan dan menutup siaran. Pertama, selepas memberi salam, beliau akan menyelitkan permulaan bicara dengan kata berfalsafah tentang kehidupan manusia yang penuh pancaroba. Mutiara kata Puan Anisma itu sarat dengan mesej positif yang ingin disampaikan oleh beliau untuk memandu pendengar mencari sinar dan arah yang betul tatkala tersesat dalam perjalanan.

Beliau mengakui bahawa kata-kata tersebut ada yang dicipta sendiri berdasarkan pembacaan dan pemerhatian. Ada juga yang dikutip daripada tokoh dunia tertentu yang kemudian dipermudahkan menggunakan bahasanya sendiri.

Keunikan kedua Sajian Pagi Klasik ialah segmen kendalian beliau yang akan disudahi dengan lagu Minah Gadis Dusun, dendangan Safia Putri Melati nyanyian asal Titiek Puspa. Mengapakah Minah Gadis Dusun?

Menurut Anisma:

Lagu itu mempunyai mesej yang sangat positif. Lagu itu mengisahkan tentang jati diri dan perasaan cinta akan tanah air. Ke mana pun kita pergi dan walau sehebat mana pun tempat orang, tempat dan tanah air sendiri jauh lebih baik. Menyemai rasa sayang akan negeri sendiri dan dalam masa yang sama tetap menghargai keindahan tempat orang. Liriknya yang menyentuh kalbu dengan melodi yang mendayu ditambah suara penyanyinya yang merdu melengkapkan pakej lagu tersebut yang tidak menjemukan walaupun diulang beberapa kali.

Penulis bergambar kenangan bersama-sama dengan Puan Anisma sewaktu menjadi tetamu program bual bicara di Radio Klasik.

Yang berikut merupakan sesi temu bual penulis bersama-sama dengan juruhebah Puan Anisma.

Bolehkah puan terangkan tentang latar belakang diri, keluarga dan pendidikan?

Nama saya ialah Anisma Azwati Ahmad, saya berasal dari Bagan Serai, Perak dan menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Medan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al-Baqir dan SMK Alang Iskandar Bagan Serai. Saya telah menyambung pengajian Sarjana Muda Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.

 Apakah faktor yang mendorong puan menyertai bidang penyiaran khususnya menjadi juruhebah – adakah kerana minat, mempunyai suara mikrofon yang baik atau mengikut jejak juruhebah yang menjadi idola puan?

Sejak kecil lagi saya memang gemar mendengar radio. Di rumah kampung saya dahulu, ada dua buah radio yang akan sentiasa terpasang. Satu di ruang rumah atas dan satu lagi di dapur. Selalunya, di ruang tamu akan kedengaran siaran Radio 1, manakala di dapur pula akan kedengaran siaran Radio 3 Pulau Pinang. Pada awalnya, saya tidak bercita-cita untuk menjadi juruhebah tetapi saya sangat minat mendengar celoteh mereka dan suara juruhebah yang unik. Sehinggakan saya tahu jika mereka telah bertukar ke stesen lain. Radio menjadi sumber hiburan dan maklumat saya sewaktu menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Bolehkah puan terangkan perjalanan puan dalam dunia penyiaran?

Kebetulan semasa saya menamatkan pengajian pada tahun 2001 dan menunggu peluang pekerjaan, saya ditawarkan untuk mengikuti Skim Sangkutan dan Latihan yang disediakan kepada graduan yang menganggur. Saya ditempatkan di Jabatan Penyiaran, RTM. Pada ketika itu, saya meminta untuk menjalani latihan di Radio Muzik. Pengurus Radio Muzik pada ketika itu ialah YBhg. Datuk Haji. Chuari Selamat, yang memang mengenali saya kerana semasa bersekolah, saya sering terlibat dalam pertandingan Pesta Pantun sehingga menjadi juara peringkat kebangsaan, iaitu pada tahun 1995 dan tahun 1996. Saya juga merupakan Pemantun Terbaik Peringkat Kebangsaan tahun 1995. YBhg. Datuk Hj Chuari juga merupakan pengerusi pertandingan akhir Pesta Pantun.

Semasa menjalani latihan di Radio Muzik, beliau memberikan peluang kepada saya untuk mengenali tugas juruhebah di dalam konti, penerbitan rancangan dan program radio di lokasi. Selepas tamat program latihan selama enam bulan, saya telah memohon untuk terus bertugas di RTM. Beberapa bulan kemudian saya dipanggil untuk uji bakat sebagai Artis Berjadual atau dalam bahasa mudahnya, sebagai juruhebah sambilan.

Ketika uji bakat suara, saya diberikan beberapa tugas untuk  dinilai, iaitu membaca berita, membuat laporan dari lapangan, pengacara majlis dan juruhebah di konti. Saya berjaya dalam uji bakat tersebut dan ditempatkan di Radio Satu. Di situlah kerjaya awal saya sebagai juruhebah bermula.

Pada waktu itu, saya berasa amat bertuah kerana banyak figura hebat penyiaran masih berkhidmat. Perkara itu telah memberikan kelebihan kepada saya untuk menimba ilmu secara terus daripada mereka. Antara juruhebah yang saya kagumi pada ketika itu termasuklah Tuan Haji Mustaza Maah, Tuan Haji Zazmie Zain, Encik Daud Abdullah, Puan Mariamah Tijo, Puan Noraini Ibnu, Puan Sharifah Haji Mohamad Yusof, Tuan Haji Khalim Rohani, Puan Noliah Ahmad, Encik Yom Ahmad, Tuan Haji Mahmud Amat, Encik Jahaya Mahmud, Encik Zamhuri Hamzah, Encik Abdullah Hassim, Puan Rohani Zahid, Encik Wan Alimi Wan Mahmud, Encik Zainal Abidin Abd Rahman, Encik Sukri Mohamad (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi.

Melalui merekalah saya banyak menimba ilmu dan mendalami bidang penyiaran ini. Saya bertugas di Radio Satu sehinggalah namanya ditukar kepada Nasionalfm dan penjenamaan semula apabila Nasionalfm bergabung dengan Klasikfm menjadi Klasik Nasional. Kemudian kedua-duanya berpisah dan saya telah ditugaskan untuk berkhidmat di Klasikfm yang selepas itu dikenali sebagai Radio Klasik. Saya juga pernah bertugas di KLfm pada tahun 2019, namun saya kembali ke Radio Klasik kerana jiwa dan cinta saya bersemi di sini.

Pada pendapat puan, apakah kualiti yang perlu ada pada seorang juruhebah yang baik?

Untuk menjadi juruhebah yang baik, pertama sekali, seseorang itu perlu menguasai bahasa. Tidak kiralah bersiaran dalam bahasa apa pun, penguasaan terhadap sesuatu bahasa itu perlu berada pada tingkat yang tertinggi. Mempunyai perbendaharaan kata yang banyak supaya pendengar tidak bosan kerana juruhebah hanya menyebut perkataan atau ayat yang sama sahaja setiap kali ke udara.

Juruhebah yang mempunyai bank kata yang banyak dapat menyajikan kelainan pada setiap kali ke udara. Selain itu, juruhebah juga perlu mempunyai suara yang baik atau bijak mengawal suaranya agar terdengar “mesra” ketika bersiaran dan “tersenyum” dengan kosa kata yang baik.

Menjadi juruhebah perlukan bakat dan minat yang mendalam. Bakat tanpa minat ibarat kopi tanpa gula, pahit! Tetapi minat tanpa bakat juga akan sedikit hambar, namun perkara tersebut masih boleh diasah dan memerlukan usaha yang berterusan. Bakat dan minat perlu berjalan seiring dan memerlukan kerajinan untuk menjadi seorang juruhebah yang berwibawa.

Selain itu, juruhebah yang baik juga perlu peka dengan persekitaran dan hal semasa, iaitu dengan banyak membaca. Perlu sensitif terhadap perkara yang berlaku, perkara yang dilihat, didengar dan dirasai untuk dijadikan sebagai “tajuk perbincangan” semasa mengendalikan tugasan. Mereka juga perlu banyak membaca bahan ilmiah dan mengetahui “sound of station” di stesen tersebut. Sebagai contoh, sebagai juruhebah Radio Klasik, saya perlu peka terhadap kehendak stesen, hala tuju, audiens dan tanggungjawab sosial.

Juruhebah ibarat ikon, menjadi contoh kepada pendengar, menyampaikan info, mendidik dan harus bijak melaksanakan tugas dengan dedikasi. Apa-apa sahaja yang disampaikan oleh mereka akan dipercayai oleh pendengar, jadi perlu lebih berhati-hati.

Apakah cabaran yang pernah dilalui sepanjang berkhidmat sebagai juruhebah radio yang berwibawa – dahulu dan sekarang. Bagaimana puan mengatasinya?

Perbezaan dan peredaran zaman tidak menjadikan peranan radio semakin berkurangan. Malah masih relevan sehingga kini. Namun begitu, pelbagai cabaran perlu dilalui, antaranya perubahan dari segi teknikal. Saya perlu menguasai sistem penyiaran digital yang baharu dengan cepat agar tidak ketinggalan. Menyedari gelombang persaingan dengan media baharu yang semakin pantas, saya perlu melengkapkan diri dengan menguasai teknologi berkenaan.

Kehadiran bakat baharu yang semakin menyerlah dengan idea yang lebih segar menjadi inspirasi kepada saya untuk mengimbangi gaya penyampaian yang baharu dengan yang lama. Saya sentiasa mengambil inisiatif untuk memperbaiki penyampaian dan penampilan ketika bersiaran. Pada saya, cabaran sebenar untuk berubah ialah diri sendiri. Saya sentiasa mendidik diri untuk melakukan yang terbaik dan sentiasa berfikiran positif.

Siapakah idola puan dalam bidang penyiaran dan kehidupan?

Dalam bidang penyiaran, banyak nama besar yang menjadi idola dan guru saya, sama ada di stesen RTM atau swasta. Namun begitu, saya menjadikan Puan Noraini Ibnu, YBhg. Datuk Chuari Selamat dan Tuan Haji Zazmie Zain sebagai idola saya. Nama dan bakat semula jadi mereka sukar ditandingi dan hingga kini masih diingati oleh pendengar. Tidak dilupakan sanjungan yang tidak terhingga kepada emak dan ayah yang banyak berkorban demi menjadikan anaknya ini menjadi orang yang berguna.

Pengalaman pahit dan manis sebagai juruhebah radio.

Pengalaman pahit itu pastinya ada, namun hampir tidak membekas di dalam hati kerana akhirnya yang pahit itu akan tetap menjadi manis apabila ditelan masa. Manakala pengalaman manis pula adalah apabila saya pernah tercalon dalam Top 5 Penyampai Radio Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular 2014 dan pada tahun yang sama menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Manakala baru-baru ini saya turut tercalon dalam Top 5 Penyampai Radio Wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa, dan dalam tahun ini (2025) juga, insya-Allah, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dalam genggaman.

Bagaimanakah puan menguruskan bahan kandungan di Radio Klasik?

Pada kebiasaannya, saya akan menyiapkan senarai lagu yang akan disiarkan dalam senarai audio video (playlist), tiga hari sebelum ke udara. Lagu disusun mengikut “hotclock”, iaitu lagu dari tahun 1960-an hingga awal tahun 2000-an. Bahan siaran seperti maklumat penyanyi, lagu, komposer atau apa-apa saja yang berkaitan akan disediakan lebih awal. Hal ini demikian kerana semasa saya menyiapkan senarai audio video, saya sudah merangka perkara yang ingin saya sampaikan ketika bersiaran nanti.

Sebagai contoh, saya akan menyiarkan lagu Merisik Khabar nyanyian Datuk Sudirman, maka saya akan mencari maklumat berkaitan dengan lagu tersebut atau berkenaan dengan penyanyinya.

Selain itu, dalam segmen Sajian Klasik, ada segmen Pantun D’Klasik yang bersiaran pada setiap Isnin dan Khamis. Jika saya yang mengendalikan segmen ini, saya akan mencipta serangkap pantun untuk dimuat naik dalam laman Facebook Radio Klasik supaya pendengar boleh membalas pantun tersebut dan saya akan membacakan pantun ciptaan pendengar tersebut di dalam radio.

Selain itu, ucapan daripada pendengar juga turut mendapat perhatian. Ucapan dan kenangan pendengar akan dibacakan dari semasa ke semasa, sesuai dengan slogan iklan (tagline) Radio Klasik, iaitu Menggamit Kenangan. Berita terkini juga akan dihebahkan terutamanya berita berkaitan dengan kerajaan yang perlu disampaikan kepada rakyat.

Apakah tugas lain yang puan lakukan selain sebagai juruhebah?

Selain mengendalikan segmen Sajian Klasik pada pukul 6.00 pagi hingga pukul 10.00 pagi, saya juga menerbitkan program lain. Antaranya termasuklah sebagai penulis skrip, pelakon dan penerbit untuk sketsa Cubit-cubit Manja (CCM) yang mengetengahkan isu- semasa dan nilai murni pada setiap hari, juruhebah rancangan Aku Dia dan Lagu ADILA, pengacara majlis rasmi dan hiburan, serta penerbit program Radio di lokasi.

Bagaimanakah puan mendapat idea untuk menghasilkan skrip untuk segmen Cubit-cubit Manja?

Sketsa Cubit-cubit Manja sudah berusia 10 tahun sejak diterbitkan pada 15 Februari 2015. Penyelia Siaran ini, iaitu Allahyarham Zainal Rahman yang menjadi pengasasnya dan saya menjadi anak didiknya. Saya amat terhutang budi kepada beliau. Saya masih ingat lagi, ketika saya mahu belajar menulis skrip CCM ini, Allahyarham Zainal Rahman termenung dan mengatakan bahawa beliau tidak pandai mengajar. Oleh itu, saya telah melihat, membaca dan mengkaji bagaimanakah skrip tersebut dihasilkan dan saya membuat perkara yang disarankannya.

Setelah beliau tiada, saya mengambil alih sepenuhnya penerbitan CCM. Segmen ini berkisar tentang isu semasa dan nilai murni. Untuk menghasilkan skrip ini, saya perlu peka akan perkembangan semasa dan perkara yang berlaku di negara kita. Sebagai contoh, isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja), berita palsu, penipu (scammer) dan sebagainya yang boleh dijadikan sebagai topik sketsa. Yang menariknya, sketsa ini dilakonkan oleh juruhebah dan warga kerja Radio Klasik sendiri dan diselitkan dengan cerita dan gosip di Taman Menggamit Kenangan yang dinanti-nantikan oleh penggemar siri tersebut.

Saya tertarik dengan ayat permulaan puan pada setiap kali bersiaran – Selain salam, ucapan selamat pagi dunia, terdapat mesej didaktik dan berfalsafah yang ingin disampaikan oleh puan. Adakah ciptaan sendiri atau daripada pembacaan?

Oleh sebab saya amat tertarik dengan bahasa yang indah dan puitis, saya akan memulakan tugasan saya dengan kata yang positif dan menarik. Biasanya saya akan menulis sendiri atau daripada pembacaan dan kata-kata semangat daripada tokoh-toloh lain.

Puan menutup siaran dengan lagu Minah Gadis Dusun. Apakah mesej tersirat yang ingin puan sampaikan menerusi lagu tersebut?

Lagu Minah Gadis Dusun dijadikan sebagai lagu pengenalan atau “signature song” saya pada setiap kali menutup siaran. Lagu nyanyian asal Titek Puspa dan dirakam semula oleh Safia Putri Melati itu mempunyai mesej yang sangat positif. Lagu ini mengisahkan tentang jati diri dan perasaan cinta akan tanah air. Ke mana pun kita pergi dan walau sehebat mana pun tempat orang, tempat dan tanah air sendiri jauh lebih baik. Menyemai rasa sayang akan negeri sendiri dan dalam masa yang sama tetap menghargai keindahan tempat orang. Liriknya yang menyentuh kalbu dengan melodi yang mendayu ditambah suara penyanyinya yang merdu melengkapkan pakej lagu tersebut yang tidak menjemukan walaupun diulang beberapa kali.

Apakah perancangan kerjaya masa hadapan puan? Adakah puan akan menerima sebarang arahan daripada ketua jabatan?

Saya bersedia dengan sebarang arahan jabatan, sedia beradaptasi dengan apa-apa jua situasi. Walaupun pada suatu hari nanti saya tidak lagi menjadi juruhebah, namun saya berharap agar pengalaman dan pengetahuan yang saya ada dapat dikongsikan dengan generasi muda.

Bagaimanakah puan mengimbangi kehidupan sebagai juruhebah profesional dengan mengurus rumah tangga?

Keluarga, suami dan empat orang anak saya merupakan tulang belakang dan sumber kekuatan saya. Mereka sangat memahami kerjaya saya yang kadang-kadang tidak tentu masa dan kadangkala juga menuntut lebih masa dan tumpuan kepada tugas. Namun begitu, tuntutan tanggungjawab kepada keluarga tetap menjadi keutamaan saya. Saya sentiasa berusaha untuk menguruskan keluarga dan tugas dengan sebaik-baik mungkin. Saya akan cuba memenuhi keperluan keluarga dahulu, kemudian barulah menyelesaikan urusan kerja.

Juruhebah Radio Klasik RTM, Puan Anisma Azwati Ahmad.

Datuk Dr. Chamil Wariya, Pengarah VOA Media Network, Penyedia Kandungan Faktual dan Latihan Media.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi