Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRANAU – Usaha kerajaan dalam memperluas akses pendidikan berkualiti di kawasan pedalaman terus diperkukuh menerusi perasmian Bangunan Gantian Sekolah Komprehensif 9 (K9) Sekolah Kebangsaan (SK) Tibabar, Ranau yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek, pada hari ini.
Projek pembangunan semula ini melibatkan pembinaan blok bangunan baharu merangkumi pejabat pentadbiran, bilik darjah, perpustakaan, rumah guru, tandas serta pelbagai kemudahan asas lain, dengan kos keseluruhan melebihi RM20 juta.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Fadhlina Sidek menegaskan bahawa komitmen kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berpaksikan prinsip inklusiviti dalam pendidikan, terutamanya bagi negeri Sabah dan Sarawak yang memiliki cabaran geografi tersendiri.
Kerajaan MADANI melalui KPM memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan pendidikan di kawasan pedalaman. Langkah ini adalah bagi memastikan murid di seluruh negara, tanpa mengira lokasi, dapat menikmati pendidikan berkualiti dan berkesan demi manfaat jangka panjang masyarakat.
Menurut beliau lagi, pelaksanaan Program Sekolah K9 di SK Tibabar merupakan satu inisiatif yang memberikan impak langsung kepada peningkatan tahap literasi dan kehadiran murid di kawasan berkenaan.
Sebagai sekolah K9, SK Tibabar menyediakan kemudahan persekolahan secara berterusan dari Tahun 1 hingga Tingkatan 3. Hal ini amat penting dalam menangani isu keciciran murid, khasnya dalam komuniti luar bandar yang berhadapan dengan kesukaran dari segi jarak dan kemudahan pengangkutan.
Program Sekolah K9 merupakan usaha strategik KPM bagi menyediakan pendidikan bersepadu selama sembilan tahun dalam satu premis, iaitu bermula daripada pendidikan rendah hingga ke menengah rendah. Inisiatif ini dirangka khusus untuk mendepani cabaran keciciran murid di kawasan berpenduduk terpencil dan yang berhadapan dengan kekangan geografi.
Sehingga kini, sebanyak 33 buah sekolah telah dikenal pasti sebagai Sekolah K9 yang sedang beroperasi di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15 buah sekolah terletak di negeri Sabah dengan menjadikannya antara negeri yang menerima tumpuan utama dalam pelaksanaan program berimpak tinggi ini.
Dengan terbinanya bangunan baharu tersebut, SK Tibabar bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pembelajaran, malah turut menjadi pemangkin pembangunan modal insan di kawasan pedalaman yang kaya dengan pelbagai potensi.