Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSejak beberapa bulan lalu, banyak pihak memperkatakan mengenai tragedi kemalangan maut yang membabitkan kenderaan tanpa mengira saiznya. Pada hari ini, kemalangan sudah berubah menjadi tragedi, bukan lagi sebagai kemalangan biasa yang kebiasaannya menjadi sebutan dalam perbualan seharian seperti pada masa lalu. Teknologi kini semakin canggih, tetapi kemalangan terus berlaku dan menghantui kehidupan kita apabila berada di jalan raya.
Sejak kebelakangan ini, saya secara peribadi semakin takut untuk memandu. Fobia dengan karenah pemandu lain – daripada sekecil-kecil penunggang motosikal, hinggalah kepada pemandu kenderaan berat. Kebanyakan orang sudah tidak lagi menghormati undang-undang. Sebelum lebuh raya diperkenalkan, ada yang berpendapat jalan raya tidak selamat untuk digunakan, namun kini lebuh raya pula seolah-olah lagi tidak selamat disebabkan oleh sikap buruk sesetengah pemandu yang menggunakannya.
Pemandu tempatan dan warga asing termasuklah yang mengendalikan kenderaan berat semakin tidak menghormati peraturan dan undang-undang negara di seluruh negara. Banyak yang hilang pertimbangan apabila mula memegang stereng kenderaan masing-masing.
Dua kemalangan ngeri dalam tempoh satu bulan baru-baru ini, iaitu kedua-duanya berlaku di Perak, memerlukan penyelesaian segera agar dapat mengelakkan nahas yang sama daripada berulang. Kita tidak terlibat secara langsung dalam kemalangan tempoh hari. Esok atau lusa kemungkinan kemalangan boleh mengheret kita walaupun kita bukan puncanya, sebagaimana yang telah berlaku ke atas saya kira-kira dua bulan lalu. Kedua-dua tragedi itu tidak menoktahi kemalangan lalu lintas (bukan hanya jalan raya, tetapi juga membabitkan lebuh raya), sebaliknya berlaku hingga ke hari ini, di seluruh negara.
Saya cukup membenci kemalangan kerana membawa kerugian dari pelbagai sudut – ekonomi dan emosi kepada saya disebabkan pelanggaran yang disebabkan oleh dua pemandu yang berbeza. Entah apalah sebabnya kita tidak mengambil pengajaran secara serius kemalangan yang menghantui kita. Kemungkinan itulah sebabnya kemalangan terus berlaku, dan saya pasti jika sesuatu yang konkrit tidak dilakukan, negara akan berhadapan masalah serius – kemalangan dan kematian pada setiap hari.
Setiap kemalangan membawa kerugian besar, sebagaimana rasuah yang sering diperkatakan, hampir setiap hari. Adakah kita boleh menoktahi kemalangan?
Satu laporan pada tahun lalu secara khusus menyebut secara puratanya setiap hari terdapat sebanyak 18 kes kematian disebabkan berlakunya kemalangan di pelbagai peringkat, kenderaan dan kawasan. Satu artikel dalam talian baru-baru ini menyebut “jika anda berpendapat bahawa rakyat Malaysia bukanlah pemandu yang berhati-hati, anda betul, kerana statistik menunjukkan (membuktikan) perkara itu.” Pada tahun 2023, sebanyak 598,635 kemalangan direkodkan di negara ini, iaitu meningkat hampir 10 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Kadar itu telah melepasi puncak lapan tahun sebelumnya, iaitu sebanyak 567,516 kes yang direkodkan pada tahun 2019.
Dalam statistik yang dikeluarkan di Dewan Rakyat beberapa bulan lepas, menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dari segi nilai ekonomi, sekurang-kurangnya sejumlah RM25 bilion telah hilang akibat kemalangan pada tahun 2023. “Jumlah kerugian yang dialami negara dikira berdasarkan jumlah kematian dan kecederaan serius yang disebabkan oleh kemalangan jalan raya,” kata beliau. Menurut beliau, anggaran nilai kewangan bagi setiap kematian atau kecederaan serius dikira kaedah yang digunakan oleh Program Jalan Raya Antarabangsa (iRAP). Hal ini turut mengambil kira semua kemungkinan sumbangan mangsa kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sekiranya kemalangan tidak berlaku. Malah, angka tersebut mengambil kira kehilangan individu yang cekap di tempat kerja mereka, merupakan ahli teras keluarga atau isi rumah, serta dari segi sumbangan kewangan mereka kepada masyarakat. Jumlah itu menunjukkan peningkatan lebih 35 peratus dalam kerugian ekonomi tahunan akibat kemalangan jalan raya berbanding dengan kerugian RM18 bilion pada tahun 2010. Dalam usaha menanganinya, Kementerian Pengangkutan sedang melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan.
Sementara jaminan demi jaminan terus diberikan oleh Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa lain, kemalangan kecil, besar dan maut terus berlaku seolah-olah merupakan kejadian rutin yang disebabkan oleh pelbagai sebab dan faktor – kecuaian manusia dan kekurangan sistem atau persekitaran bukan manusia.
Kemalangan lalu lintas merupakan antara 10 sebab utama kematian di seluruh dunia dan merupakan punca utama kematian dalam kalangan orang muda yang berumur antara 15 hingga 29 tahun. Kemalangan sedemikian juga membawa kepada 20 hingga 50 juta kecederaan tidak membawa maut, namun mengalami kecacatan kekal akibat kecederaan mereka.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 1.25 juta orang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2013 di seluruh dunia. Ringkasan Laporan Status Global mengenai Keselamatan Jalan Raya 2023 menunjukkan bahawa jumlah kematian tahunan akibat kemalangan jalan raya telah menurun sedikit kepada 1.19 juta. Laporan ini membuktikan bahawa usaha untuk meningkatkan keselamatan lalu lintas mula memberikan kesan dan pengurangan yang ketara dalam jumlah kematian dapat dicapai sekiranya langkah-langkah yang terbukti berkesan dapat dilaksanakan.
Dalam kajian yang memfokuskan pada aspek beban makroekonomi global kecederaan jalan raya melibatkan 166 buah negara, Simiao Chen dan rakan-rakannya menulis bahawa “pada peringkat global, kami menganggarkan kerugian makroekonomi akibat kemalangan ialah AS$1.797 trilion (sekitar RM8 trilion) sepanjang tahun 2015 hingga 2030. Mengikut data Bank Dunia, beban makroekonomi agregat kemalangan adalah tertinggi di rantau Asia Timur dan Pasifik dengan jumlah kerugian ekonomi sebanyak AS$560 bilion (sekitar RM2.5 bilion). Malah menurut mereka, beban makroekonomi di 166 negara menunjukkan bahawa antara tahun 2015 dan 2030, kecederaan akibat kemalangan akan menyebabkan ekonomi dunia kerugian hampir RM8 trilion melalui gabungan lencongan – perbelanjaan penjagaan kesihatan yang sebaliknya akan digunakan untuk simpanan atau pelaburan – dan kerugian dalam pekerjaan akibat kematian dan mobiliti. Angka itu juga menunjukkan senario yang sama atau hampir sama di Malaysia.
The Economist berpendapat bahawa sebanyak 90 hingga 94 peratus daripada semua kemalangan adalah disebabkan oleh kesilapan manusia dan oleh itu, boleh dicegah melalui penggunaan kereta pandu sendiri. Dua kemalangan maut di Perak dalam tempoh sebulan lalu merupakan satu daripada contoh yang menunjukkan bahawa keluarga mangsa tidak hanya kehilangan anggota keluarga tersayang mereka, malah turut kehilangan tempat bergantung buat selama-lamanya. Negara juga kehilangan aset penting yang mungkin dapat menyumbang sesuatu pada suatu hari kelak.
Semua pihak berhadapan dengan risiko kerugian buat selama-lamanya. Malah setiap kemalangan yang berlaku membawa kepada kehilangan masa dan sumber – mangsa, keluarga mangsa dan agensi yang terlibat dengan kerja-kerja menyelamat, siasatan dan perubatan.
Saya cuba mencari strategi dan inisiatif mengurangkan kemalangan dalam Laporan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), namun tiada input yang berkaitan. Walau bagaiman apun, Rancangan Malaysia Ke-11 (1996-2020) ada menggariskan usaha mahu “meningkatkan keselamatan jalan raya untuk mengurangkan kemalangan” dan “menambah baik perkhidmatan kecemasan untuk menyelamatkan nyawa”.
Maka itu, kita perlu mencari formula makro dan holistik untuk menyelesaikan isu kemalangan yang bertali arus dan menggerunkan masyarakat. Walaupun kebanyakan kemalangan disebabkan oleh faktor manusia yang melibatkan pelbagai sudut, hal ini perlu diambil dengan serius oleh pihak berkuasa dalam merangka dasar jangka panjang yang padu, tegas dan membina. Sementara kita berada di depan pintu gerbang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) (2026-2030) yang kini berada dalam fasa penggubalan, hal ini wajar digunakan untuk mencari formula baharu bagi mencapai matlamat sifar kemalangan.
Kita perlu realistik dan konstruktif dalam berhadapan dengan isu ini supaya pertumbuhan ekonomi negara yang turut menjadi teras rancangan lima tahun tidak tergugat disebabkan kemalangan yang tidak sepatutnya berlaku dan pastinya boleh dielakkan. RMK-13, yang akan dibentangkan di Parlimen semasa sidang Julai hingga Ogos kelak perlu menyelitkan satu bab khusus mengenai perkara ini disebabkan impak kemalangan yang mempunyai korelasi kuat dengan aspek pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
Dr. G Manimaran kini penganalisis pilihan raya dan perunding media.