Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 12 Julai 2025, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebanyak 10,049 orang calon berdaftar bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) Tahun 2025 pada 15 hingga 17 Julai di 186 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam suatu kenyataannya pada hari ini memaklumkan bahawa peperiksaan tersebut melibatkan tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

Menurut KPM, sebanyak 1,454 orang petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian ujian bertulis dan ujian mendengar Bahasa Melayu, manakala ujian bertutur Bahasa Melayu pula membabitkan 1,202 orang petugas.

Selain itu, pihaknya turut mengingatkan semua calon peperiksaan agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi.

“Jadual waktu peperiksaan SPMU Tahun 2025 boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan melalui pautan lp.moe.gov.my.,” ujarnya dalam kenyataan itu.

“Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” tambahnya lagi.

Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian melalui pautan sppat.moe.gov.my.

“Calon hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPMU Tahun 2025,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi