Diterbitkan pada 22 Julai 2025, 16:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Reformasi institusi di Malaysia pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sedang meniti fasa kritikal melibatkan peralihan daripada idealisme kepada pelaksanaan. Artikel ini meneliti potensi pendekatan akar umbi dalam memperkukuh keberkesanan dasar MADANI, serta mengusulkan keperluan anjakan budaya dan struktur tadbir urus bagi memastikan keterangkuman dan kelestarian. Pendekatan yang lebih reflektif terhadap pencapaian semasa dan ruang penambahbaikan dicadangkan sebagai asas pembinaan semula keyakinan rakyat terhadap projek reformasi nasional.

Reformasi dalam Fasa peralihan Positif

Agenda reformasi pasca-PRU-15 memperlihatkan satu perkembangan signifikan dalam landskap politik Malaysia, iaitu keberanian untuk mencabar status quo dan membina kerangka tadbir urus baharu yang lebih berteraskan keadilan sosial, ketelusan dan keterangkuman. Walaupun cabaran pelaksanaan tetap wujud, pendekatan kerajaan pada hari ini memperlihatkan kesungguhan politik yang konsisten untuk memulihkan institusi dan memartabatkan integriti pentadbiran.

Reformasi perlu difahami bukan sebagai satu tindakan drastik, tetapi sebagai proses berperingkat yang memerlukan pelibatan menyeluruh pelbagai pemegang taruh. Dalam konteks ini, Malaysia berada pada landasan yang wajar dengan memerlukan masa, kejelasan hala tuju dan pembinaan keupayaan institusi secara sistematik.

Akar Umbi sebagai Katalis Pembaharuan

Satu daripada ciri progresif reformasi semasa ialah penekanan terhadap pembangunan dari bawah. Program seperti Sekolah Angkat MADANI, Kampung Angkat, Komuniti@UniMADANI dan Sejati MADANI mencerminkan paradigma baharu yang tidak lagi melihat rakyat sebagai penerima dasar secara pasif, tetapi sebagai rakan strategik dalam proses pembangunan.

Sebagai contoh, Sekolah Angkat MADANI membuka ruang kolaborasi antara universiti, agensi dan komuniti untuk membentuk ekosistem pendidikan yang holistik. Komuniti@UniMADANI pula menunjukkan bagaimana data, penyelidikan dan pelibatan mahasiswa dapat dimobilisasi bagi menghasilkan intervensi dasar yang kontekstual dan berasaskan bukti (evidence-based policy).

Model-model ini mewakili pembaharuan mikro yang berpotensi menyemai transformasi makro apabila diperluas dan disokong secara konsisten. Yang paling penting, model tersebut memperlihatkan bahawa perubahan bukan hanya diandaikan sebagai mungkin berlaku, tetapi sedang berlaku dalam bentuk-bentuk yang tersusun dan bersifat kolaboratif.

Menyusun Tadbir Urus yang Adaptif dan Responsif

Transformasi sebenar tidak hanya memperlihatkan penetapan dasar pada peringkat pusat, tetapi juga keupayaan struktur pelaksanaan pada peringkat lapangan untuk menyesuaikan diri dengan keragaman sosial dan geografi. Inisiatif seperti Sejati MADANI memperlihatkan keperluan untuk memberi autonomi operasi kepada pegawai lapangan agar mereka mampu menyesuaikan pelaksanaan dasar mengikut konteks setempat.

Menuju ke arah matlamat tersebut, beberapa perkembangan positif telah mula kelihatan termasuklah budaya penilaian impak yang lebih menyeluruh, pelibatan komuniti dalam proses pemantauan, dan usaha membina indikator keberhasilan yang lebih kontekstual daripada sekadar angka KPI.

Transformasi sedemikian, jika diperkukuh melalui latihan, sistem insentif yang adil dan pelaporan yang telus, akan membina kepercayaan rakyat terhadap keupayaan institusi yang juga sejajar dengan seruan tokoh pengurusan moden seperti Peter Drucker, bahawa strategi hanya akan berfungsi jika didukung oleh budaya kerja yang sesuai.

Etika Kepimpinan dan Keyakinan Terhadap Rakyat

Sejarah pemikiran Islam turut memberikan asas nilai yang kukuh kepada proses reformasi. Ibn Khaldun, misalnya, menggariskan bahawa kekuatan negara tidak terletak pada ketenteraan atau kekayaan semata-mata, tetapi pada integriti pentadbiran dan hubungan simbiotik antara pemerintah dan rakyat.

Dalam konteks Malaysia MADANI, pendekatan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menekankan pembinaan budaya kerja baharu dan sistem nilai dalam pentadbiran negara merupakan langkah yang selari dengan falsafah reformasi tersebut. Seperti yang beliau nyatakan:

“Reformasi ini bukan hanya tentang menukar kerajaan, tetapi menukar budaya kerja, sistem nilai, dan keberanian untuk membetulkan kerosakan yang lama dibiarkan berakar.” 

Kenyataan ini bukan sekadar retorik, tetapi boleh dijadikan doktrin dasar dalam membentuk generasi baharu penjawat awam dan pemimpin masyarakat yang mempunyai etos kerja tinggi dan keinsafan moral terhadap tanggungjawab sosial.

Enam Rukun yang terdapat dalam Malaysia MADANI menjadi pemangkin yang mampu menyemai nilai positif dalam usaha memajukan masyarakat.

Menuju Reformasi Inklusif dan Berdaya Saing

Reformasi yang berakar dari gagasan MADANI tidak harus dihadkan pada perubahan struktur formal kerana perlu menyentuh aspek keupayaan institusi untuk mendengar, beradaptasi dan berkembang bersama rakyat. Dalam kerangka ini, rakyat bukan hanya “sasaran” dasar, tetapi pembentuk bersama realiti dasar itu sendiri.

Prinsip co-creation ini menuntut kesediaan pihak atasan untuk bukan hanya memimpin, tetapi juga mendengar yang menuntut keyakinan terhadap kebijaksanaan akar umbi, dan kesediaan untuk menstrukturkan semula hubungan kuasa antara pusat dengan daerah, dan antara pentadbiran dengan masyarakat.

Daripada Naratif kepada Budaya

Malaysia kini berada di ambang pembentukan satu naratif nasional baharu yang memerlukan bukan sahaja visi yang jelas, malah melibatkan keupayaan untuk membumikan visi tersebut melalui mekanisme pelaksanaan yang inklusif dan berdaya tahan. Situasi yang sedang berlaku melalui pelbagai inisiatif MADANI menunjukkan bahawa tapak perubahan telah pun terbentuk.

Yang diperlukan kini ialah sokongan berterusan, pemantauan yang jujur dan keberanian kepimpinan untuk memperkukuh reformasi ini sebagai satu budaya nasional, bukan hanya sebagai dokumen dasar. Dalam semangat ini, prinsip MADANI bukan lagi sekadar gagasan, namun sedang menjadi gerakan yang menyatukan aspirasi negara dengan keupayaan rakyat untuk mencorakkan masa hadapan bersama-sama.

Profesor Dr. Zainal Abidin Sanusi, Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi