Diterbitkan pada 23 Julai 2025, 11:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Internet telah menjadi bahagian yang sangat penting dalam kehidupan digital kita. Internet digunakan secara meluas untuk tujuan belajar, bersantai, berkomunikasi dan menjana pendapatan. Namun begitu, terdapat satu isu yang semakin membimbangkan dan tidak boleh kita abaikan, iaitu keganasan dalam talian yang berasaskan jantina. Keganasan ini merujuk tindakan yang dilakukan oleh individu atau kumpulan yang menggunakan teknologi maklumat, alat komunikasi atau media digital untuk menyerang, mengancam atau mengganggu seseorang berdasarkan jantina.

Ancaman ini semakin jelas apabila ruang digital digunakan untuk menyasarkan mangsa secara langsung. Serangan boleh muncul dalam pelbagai bentuk seperti mesej atau komen yang bersifat seksual, penyebaran gambar peribadi tanpa kebenaran, ugutan, penghinaan fizikal dan gangguan yang berulang. Semua ini dilakukan dengan tujuan untuk merendahkan, mengugut atau menjatuhkan maruah mangsa.

Walaupun serangan ini tidak melibatkan keganasan fizikal, kesannya terhadap emosi mangsa boleh menjadi sangat mendalam dan berpanjangan. Banyak mangsa yang mengalami trauma, kemurungan dan pengasingan sosial akibat gangguan yang berterusan. Mereka mungkin hilang keyakinan diri, berasa tidak selamat untuk berinteraksi secara dalam talian dan akhirnya menjauhkan diri daripada persekitaran sosial. Keadaan ini menunjukkan bahawa keganasan dalam talian bukanlah isu yang boleh dipandang ringan kerana boleh meninggalkan luka psikologi yang sukar dipulihkan. Dalam kes yang lebih serius, tekanan berpanjangan akibat gangguan digital boleh mengakibatkan kemurungan, cerpat berputus asa dan tingkah laku yang membahayakan diri. Keadaan ini menunjukkan bahawa isu ini bukan sahaja berkaitan dengan keselamatan digital tetapi merupakan isu kesihatan mental dan kemanusiaan yang memerlukan tindakan segera.

Jenis Keganasan dalam Talian Berasaskan Jantina

Situasi ini semakin membimbangkan apabila mangsa keganasan dalam talian yang berasaskan jantina tidak hanya terhad kepada wanita dan kanak-kanak perempuan sahaja, malah semua pengguna juga berisiko, namun golongan ini kekal sebagai kumpulan yang paling kerap menjadi sasaran. Kita harus mengakui bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa, termasuklah lelaki dan individu dari pelbagai latar belakang. Hal ini menunjukkan bahawa semua pengguna berisiko, walaupun beban dan kesan gangguan digital lebih berat ditanggung oleh mereka yang sudah berdepan dengan ketidaksamaan dalam masyarakat.

Poster tentang Keganasan dalam Talian Berasaskan Jantina

Oleh itu, penting bagi kita untuk memahami pelbagai bentuk keganasan digital yang ada supaya langkah perlindungan dapat diambil dengan lebih berkesan. Yang berikut merupakan tujuh bentuk utama keganasan dalam talian yang berasaskan jantina:

 1. Gangguan Seksual

Gangguan seksual dalam ruang siber merupakan antara contoh keganasan dalam talian berasaskan jantina yang paling kerap berlaku. Gangguan ini termasuklah mesej berunsur lucah, komen yang tidak sopan dalam media sosial serta penggunaan bahasa yang terarah kepada perbuatan lucah. Jika dahulu gangguan seksual hanya berlaku secara fizikal, namun kini telah menular ke alam digital. Pelaku sering menyembunyikan identiti sebenar, menjadikan mangsa sukar untuk mempertahankan diri.

  1. Cyberflashing

Cyberflashing merujuk penghantaran imej atau video seksual tanpa kemahuan mangsa. Perbuatan ini biasanya dilakukan melalui aplikasi media sosial atau aplikasi temu janji yang membenarkan mesej peribadi dihantar secara langsung. Walaupun dilakukan secara maya, kesannya boleh membawa kepada tekanan emosi dan perasaan yang tidak selamat dalam kalangan mangsa.

  1. Penyalahgunaan Berasaskan Imej

Penyalahgunaan berasaskan imej merujuk penggunaan kandungan intim seperti gambar berunsur seksual, untuk memalukan, mengugut atau merendahkan maruah mangsa. Hal ini termasuklah penyebaran tanpa izin dan pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM). Menyimpan, menyebar atau mencipta CSAM adalah jenayah serius yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

  1. Penderaan Seksual Berasaskan Imej (Image-Based Sexual Abuse)

Penderaan Seksual Berasaskan Imej ialah penyebaran imej atau video intim tanpa kebenaran mangsa, biasanya sebagai tindak balas terhadap konflik dalam hubungan, khususnya selepas berpisah. Pelaku akan menyebarkan kandungan tersebut atau mengugut untuk berbuat demikian sebagai bentuk balas dendam. Walaupun kandungan itu mungkin diperoleh dengan kebenaran mangsa semasa hubungan berlangsung, penyebaran tanpa izin tetap dianggap sebagai keganasan dan pencabulan privasi.

  1. Peras Ugut Seksual

Peras ugut seksual berlaku apabila pelaku mengugut untuk menyebarkan gambar atau video intim mangsa sekiranya permintaan mereka tidak ditunaikan. Perkara ini sering dilakukan oleh sindiket jenayah terancang yang menyasarkan mangsa melalui media sosial. Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

  1. Intai Siber

Intai siber merupakan tindakan mengintai atau memantau seseorang secara dalam talian tanpa mereka sedari, dengan niat untuk mengganggu atau menakut-nakutkan. Pelaku mungkin mengikuti aktiviti mangsa, mengakses maklumat peribadi atau menghantar mesej gangguan berulang kali. Di Malaysia, jenayah ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali di bawah undang-undang yang berkaitan dengan jenayah menghendap.

  1. Dedah maya

Dedah maya berlaku apabila maklumat peribadi seseorang seperti alamat rumah, nombor telefon atau gambar yang disebarkan dalam ruang awam digital tanpa kebenaran, dengan niat untuk memalukan, menghukum atau membahayakan. Mangsa dedah maya bukan sahaja terdedah kepada gangguan secara dalam talian, malah boleh berdepan dengan ancaman fizikal. Fenomena ini semakin kerap berlaku terutama apabila identiti individu didedahkan dalam kes video tular atau perbalahan dalam media sosial.

Impak Psikososial terhadap Mangsa

 Keganasan dalam talian berasaskan jantina bukan sahaja meninggalkan kesan serta-merta, malah membawa implikasi yang mendalam dan berpanjangan terhadap kehidupan mangsa. Kesan ini meliputi aspek emosi, sosial dan fizikal yang saling berkait dan boleh menjejaskan kesejahteraan mangsa secara menyeluruh.

1. Implikasi terhadap Emosi dan Psikologi

Gangguan yang berterusan di ruang digital boleh memberikan kesan yang mendalam kepada kesihatan mental mangsa, termasuklah risiko kemurungan, kebimbangan yang melampau dan dalam beberapa kes, merangsang pemikiran individu untuk membunuh diri. Ketakutan bahawa pelaku mungkin dapat menjejaki mereka di dunia nyata hanya menambah rasa tidak selamat, sehingga ada mangsa yang berasa terancam walaupun di dalam rumah mereka sendiri.

  1. Pengasingan Sosial

Kesan psikologi daripada keganasan digital sering membawa kepada pengasingan sosial, terutamanya apabila maklumat peribadi disebarkan tanpa izin. Mangsa bukan sahaja mengalami trauma tetapi juga berhadapan dengan stigma dan kecaman masyarakat yang kadang-kadang menyalahkan mereka, bukannya pelaku. Akibatnya, ramai yang memilih untuk menjauhkan diri daripada interaksi sosial dan sukar untuk mempercayai orang lain, sehingga kehilangan sokongan yang sangat penting untuk proses pemulihan.

  1. Kesihatan Fizikal Terjejas

Kesan emosi dan sosial akibat keganasan dalam talian juga memberikan kesan yang mendalam kepada kesihatan fizikal mangsa. Tekanan mental yang berpanjangan boleh mengubah cara pemakanan yang akhirnya boleh membawa kepada masalah pemakanan seperti anoreksia atau bulimia. Di samping itu, tekanan yang berterusan boleh menyebabkan gangguan tidur seperti insomnia dan mimpi ngeri yang berulang, yang seterusnya menjejaskan tumpuan, emosi dan kualiti hidup secara keseluruhan.

Langkah Menangani dan Melaporkan Keganasan dalam Talian Berasaskan Jantina

Keganasan dalam talian yang berasaskan jantina bukan hanya tentang menutup akaun atau menghapuskan komen, namun memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh, termasuklah tindakan cepat, sokongan emosi, perlindungan undang-undang dan kesedaran semua pihak. Isu ini bukan sekadar masalah teknikal tetapi mencerminkan ketidaksamaan kuasa, jurang jantina dan kurangnya empati dalam ruang digital yang sepatutnya selamat untuk semua.

Mangsa perlu diberikan sokongan untuk bertindak dengan berkesan. Antara langkah yang boleh dilakukan termasuklah menyimpan bukti gangguan seperti tangkapan layar mesej, komen atau gambar, untuk digunakan semasa membuat laporan kepada pihak berkuasa atau platform media sosial. Bagi kes yang lebih serius seperti ugutan atau penyebaran imej tanpa kebenaran, laporan boleh dibuat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Bantuan guaman juga tersedia melalui Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menawarkan perkhidmatan percuma atau kos rendah.

Namun begitu, proses pemulihan emosi tidak boleh diabaikan. Sokongan psikososial sangat penting untuk membantu mangsa mengatasi trauma dan ketakutan. Mangsa boleh mendapatkan bantuan daripada Talian Kasih di 15999, Women’s Aid Organisation (WAO) melalui talian 03-3000 8858 atau Befrienders KL melalui talian 03-7627 2929 yang turut menyediakan ruang selamat bagi mangsa yang ingin berkongsi masalah dan mendapatkan bantuan.

Pada masa yang sama, langkah pencegahan harus diutamakan. Pengguna digalakkan untuk memperkuat keselamatan digital dengan menggunakan kata laluan yang kuat, pengesahan dua faktor dan mengawal privasi maklumat peribadi. Pendidikan literasi digital perlu diperkukuh, bukan hanya untuk golongan muda tetapi untuk semua peringkat umur, agar masyarakat lebih sedar tentang risiko dan langkah perlindungan dalam dunia siber.

Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Program Pengajian Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Safiyyah Ahmad Sabri, yang juga merupakan Ahli Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) “Pengguna yang menggunakan media sosial perlu ada kesedaran awal tentang risiko yang mungkin terjadi kepada mereka. Ramai di antara mereka lupa bahawa setiap kebebasan yang dikaitkan dengan nama hak atau ruang peribadi akaun media sosial akan mendedahkan maklumat mereka kepada orang ramai jika tiada pengetahuan tentang siber sekuriti. Lebih-lebih lagi golongan wanita dan kanak-kanak yang lebih mudah berkongsi apa-apa sahaja dalam akaun media sosial mereka.”

Namun begitu, realitinya wanita dan golongan yang terpinggir masih menjadi sasaran utama keganasan siber. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa ketidakseimbangan kuasa masih wujud dan kita tidak boleh membiarkannya berterusan tanpa sebarang tindakan.

Kita harus menyedari bahawa keganasan dalam talian berasaskan jantina bukan sekadar isu digital semata-mata tetapi merupakan isu kemanusiaan yang menyentuh hak, maruah dan keselamatan setiap individu. Oleh itu, kesedaran masyarakat perlu dipertingkat, perundangan perlu diperkukuh dan nilai seperti hormat, empati serta tanggungjawab harus menjadi teras dalam setiap interaksi di alam siber. Ruang digital wajar menjadi persekitaran yang inklusif dan selamat untuk semua, tanpa mengira jantina.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi