Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Pendidikan merupakan akar bagi sesebuah tamadun yang utuh kerana merupakan jendela kepada pengetahuan holistik serta memastikan negara Malaysia “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan negara maju yang lain.” Demikian ucapan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika merasmikan Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024 yang berlangsung di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, semalam.
Jelas beliau, anak-anak perlulah menghargai perjuangan guru-guru yang telah mendidik serta mengingati jasa dan pengorbanan ibu bapa yang sentiasa berdiri di belakang kejayaan setiap insan yang bergelar pelajar.
“Pelajar perlulah menghargai perjuangan dan kepayahan para guru yang telah mengajar,” ujar beliau.

Malah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 884 pelajar Tuisyen RISDA yang telah berjaya memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2024, dengan menunjukkan peningkatan mendadak berbanding dengan tahun 2023 iaitu, sebanyak 654 pelajar.
Tambah beliau, pemberian insentif berjumlah RM300 akan diberikan kepada semua pelajar cemerlang di bawah bimbingan Tuisyen Risda bagi menghargai penat lelah mereka yang belajar dengan bersungguh-sungguh.
“Kita inginkan semakin ramai anak desa yang akan melangkah ke menara gading dan menjadi insan cemerlang,” tambah beliau lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau turut menegaskan bahawa RISDA merupakan benteng harapan pekebun kecil khususnya anak-anak pekebun kecil untuk maju dalam setiap bidang yang diceburi.
Pada masa yang sama, beliau memuji pencapaian Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) kerana telah menyediakan laluan TVET yang amat luas dan kursus dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata, keberhasilan ini adalah daripada sokongan dan dorongan ibu bapa terhadap bidang ini setelah memperlihatkan kebolehpasaran graduan TVET serta keperluan semasa industri itu dalam pasaran yang diperlukan pada masa kini.
Oleh hal yang demikian, beliau juga berhasrat agar UCAM menjadi pengubah keadaan bagi sistem pendidikan TVET di Malaysia dan juga di serantau Asia.