Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBahagian Pertama
Secara umumnya, sesetengah masyarakat tidak mengetahui secara mendalam tentang rancangan pembangunan negara. Apakah yang dibawa oleh dokumen atau laporan setiap rancangan pembangunan dalam tempoh lima tahun? Setakat ini, sebanyak 14 rancangan pembangunan negara telah digubal dan dilaksanakan, iaitu dua Rancangan Malaya dan 12 Rancangan Malaysia.
Setiap laporan itu mempunyai kelainan mengikut perspektif yang digubal sebelum ini, iaitu dari segi ketebalan laporan dan juga fokus teras yang diambil kira. Malah, hal tersebut juga berbeza daripada segi format dan gaya penyampaian. Laporan Rancangan Malaysia sejak alaf baharu lebih kaya dengan infografik bagi memudahkan tahap penerimaan kandungan dan keterbacaan.

Negara telah menggubal dan melaksanakan Rancangan Malaysia Pertama (RMK1) pada tahun 1966, yakni tahun kelahiran saya. Hal ini bermakna sebagai rakyat, saya berbangga kerana saya telah menjadi sebahagian daripada perjalanan rancangan negara sepanjang enam dekad. Mulai tahun depan kita akan melihat pelaksanaan satu lagi rancangan pembangunan, yang akan merangkumi tempoh lima tahun dari 2026 hingga 2030, iaitu Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Sebaik-baik sahaja Persekutuan Malaysia dibentuk, bersama Sabah, Sarawak dan Singapura (yang kemudiannya keluar dari Malaysia pada tahun 1965) pada 16 September 1963, negara mengambil langkah untuk rancangan lima tahun dengan diberikan nama Rancangan Malaysia (bermula dari RMK1 hingga RMK12).
Kita sedang menanti kehadiran RMK13 yang dijadualkan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada 31 Julai ini (esok). Mengapakah hal ini penting? Rancangan Malaysia yang digubal dan diluluskan di Parlimen setiap lima tahun menjadi perhatian, sebagaimana belanjawan tahunan. Kedua-duanya ada hubung kait antara satu sama lain, tetapi belanjawan tahunan lebih difokuskan oleh masyarakat kerana bersifat jangka pendek, iaitu diumumkan untuk dilaksanakan dalam tempoh satu tahun. Selain itu, Rancangan Malaysia lazimnya bersifat makro, yang kadangkala sukar untuk difahami dan dihadamkan dengan mudah oleh rakyat jelata, tetapi perancangan lima tahun kekal penting kerana merupakan asas kepada dasar pembangunan negara dalam jangka panjang dan akan menjadi asas kepada hala tuju pembangunan jangka panjang negara.
Rancangan Malaysia juga penting kerana menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara secara terancang dan menyeluruh. Hal ini bukan sekadar dokumen dasar, tetapi pelan tindakan lima tahun yang menetapkan hala tuju ekonomi, sosial, alam sekitar dan tadbir urus negara bagi membolehkan kerajaan menetapkan keutamaan dan sasaran yang realistik berdasarkan cabaran semasa dan potensi masa hadapan.
Setiap rancangan Malaysia mempunyai keunikan tersendiri dalam memenuhi keperluan semasa untuk menangani cabaran mengikuti persekitaran sosioekonomi yang diperkukuh dengan kepimpinan politik. Kita tidak dapat lari daripada ekosistem tersebut, dan disebabkan hal itu, kandungannya telah dan akan dirangka sedemikian rupa untuk memenuhi harapan para pemegang taruh, iaitu rakyat serta sektor awam dan swasta. Sifat ini telah dilihat dan diperlihatkan oleh kesemua 12 Rancangan Malaysia setakat ini, termasuklah dua Rancangan Malaya (1956-1965) sebelum itu, yang telah digunakan selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan sebelum Persekutuan Malaysia dibentuk.
RMK1 (1966-1970) dirangka untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi di Negeri-negeri Borneo serta percubaan pertama untuk merancang pembangunan bagi Semenanjung dan Negeri-negeri Borneo secara bersama.
Matlamatnya adalah untuk:
RMK2 (1971-1975) merupakan rancangan pembangunan terbesar dan keazaman yang pernah dijalankan untuk memastikan usaha-usaha lebih besar berbanding sebelum itu bersandarkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB). Terdiri daripada dua matlamat, iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat. RMK3 (1976-1980), iaitu fasa kedua dalam pelaksanaan DEB dilihat sebagai satu usaha berani, kreatif dan berpandangan jauh untuk menangani cabaran sosioekonomi dan politik ketika itu, dan inisiatif paling besar pernah dilaksanakan demi kepentingan seluruh rakyat.
RMK4 (1981-1985) pula berteraskan prinsip bahawa ekonomi negara dijangka berkembang dan lebih pelbagai. Peluang untuk pengembangan ekonomi diandaikan terus cerah. Tumpuan utama telah diberikan kepada kesan perkembangan luar terhadap ekonomi Malaysia, terutamanya kadar kenaikan harga domestik. RMK5 (1986-1990) pula telah dirangka berdasarkan kemajuan sosial dan ekonomi yang telah dicapai, kelemahan dialami, serta bakal cabaran; merupakan satu rancangan untuk penyatuan dan pengurusan ekonomi secara cekap, dengan penekanan kepada usaha memperkukuh pencapaian sedia ada serta memperkasakan lagi ekonomi. Selain itu, RMK6 (1991-1995) merupakan fasa pertama pelaksanaan Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2), yang merangkumi Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dengan menetapkan objektif, strategi dan sasaran menyeluruh bagi membimbing pembangunan negara sepanjang 1990-an.
RMK7 (1996-2000) mengekalkan dan menekankan semula konsep pembangunan seimbang yang diperkenalkan pada tahun 1991 sebagai ciri utama DPN dengan terus memberikan perhatian serius terhadap strategi bagi menjana pertumbuhan ekonomi pesat yang mampan serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi diagihkan secara saksama dalam kalangan rakyat dan antara negeri. RMK8 (2001-2005) pula menggariskan langkah-langkah yang diambil ke arah menjadi sebuah negara bersatu dan maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri menjelang 2020. RMK9 (2006-2010) merangkumi strategi, program dan peruntukan yang diperlukan bagi tujuan merealisasikan misi nasional dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju, saksama dan bersatu padu. Pelaksanaan terdiri daripada lima teras utama bagi mencapai matlamat Wawasan 2020.
Seterusnya, RMK10 (2011-2015) telah digubal berasaskan aspirasi Program Transformasi Kerajaan dan Model Baharu Ekonomi yang berteraskan pendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan, dengan menyediakan pentas bagi transformasi struktur utama yang diperlukan oleh ekonomi berpendapatan tinggi serta hala tuju dasar, strategi dan program baharu yang membolehkan negara tampil sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi. Susulan itu, RMK11 merupakan rancangan pembangunan lima tahun terakhir ke arah merealisasikan matlamat Wawasan 2020. Bertumpu kepada enam strategi, iaitu inklusiviti, kesejahteraan rakyat, modal insan, pertumbuhan hijau, infrastruktur, dan inovasi dan produktiviti. RMK12 merupakan fasa terakhir dalam pelan pemulihan negara di bawah pendekatan 6R, termasuklah mereformasi sistem.
Sementara kita menanti pembentangan RMK13, pelbagai pihak telah mengemukakan input, cadangan dan saranan masing-masing. Masyarakat mengharapkan peralihan ekonomi bernilai tinggi, iaitu mempercepat peralihan daripada model ekonomi bergaji rendah kepada ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi tinggi. Selain itu, negara turut mendambakan ekonomi rendah karbon, khususnya dalam sektor minyak, gas dan tenaga. Malah, rakyat berharap RMK13 juga akan memberikan penekanan ke arah pembangunan modal insan dan pendidikan masa hadapan.
Dalam kita menyaksikan perubahan drastik dalam pelbagai sudut dan sektor, termasuklah demografi, pendidikan dan teknologi, rakyat juga mengharapkan pembaharuan kesihatan dan perlindungan sosial, dengan kerajaan menstrukturkan semula sistem kesihatan awam, termasuklah kesihatan mental dan penjagaan warga emas, dan memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 dan komuniti rentan akan diberi keutamaan holistik. RMK13 juga diletakkan harapan tinggi agar mampu meningkatkan kesejahteraan bandar dan luar bandar, kelestarian alam sekitar dan tindakan iklim, tata kelola baik dan reformasi institusi, serta transformasi digital dan merapatkan jurang teknologi.
Ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Parlimen pada 11 September 2023, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata,
“ternyata pendekatan biasa tidak digunakan untuk menilai pelaksanaan RMK12 tetapi meliputi dasar dan kaedah baharu untuk menghadapi tantangan semasa. RMK12 yang telah diluncurkan pada tahun 2021 mula dilaksanakan bermatlamat “Makmur, Inklusif, Mampan”, manakala gagasan dalam KSP RMK12 bermatlamatkan “Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi.”
Seterusnya beliau berkata:
“Ketidakstabilan politik berserta hentakan wabak COVID-19 sejak awal tahun 2020 telah mendedahkan kerapuhan sistem dan kelemahan tata kelola. Dalam tempoh ini juga, negara dirundung kegelapan tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perintah darurat yang dikuatkuasakan antara tahun 2020-2021 mengakibatkan rakyat kehilangan mata pencarian, menyusutnya purata pertumbuhan ekonomi, serta merosotnya pelabur asing. Tabung rakyat juga telah menyusut dengan pengeluaran dana rakyat, khususnya melalui KWSP sebanyak RM145 bilion. Kadar kemiskinan meningkat ke paras 8.4%, dengan kadar pertumbuhan ekonomi tercorot akibat bertambahnya kemiskinan, dan kadar pengangguran meningkat kepada 4.5% pada tahun 2020.”
Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, dalam kita berhadapan dengan kemelut tersebut negara dituntut untuk melakukan anjakan secara tegas dan menyeluruh. Maka itu, kerajaan telah mengikhtiarkan gagasan Malaysia MADANI dan menyusul dengan kerangka Ekonomi MADANI. Kerangka dasar tersebut telah dicerakin dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) sebagai prakarsa baharu bagi memacu pertumbuhan sosioekonomi Malaysia untuk tempoh 10 tahun.
Mengambil kira penekanan itu, RMK13 perlu datang dalam wajah pembaharuan yang menyeluruh. Kita mengharapkan pendekatan luar biasa berbanding dengan 12 Rancangan Malaysia sebelum ini. Pastinya, tujuan, matlamat dan teras kali ini juga diharapkan jauh berbeza dan lebih mantap demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Dr. G Manimaran ialah Koordinator Media di Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya.