Diterbitkan pada 31 Ogos 2025, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Makna Peribahasa dan Cinta akan Tanah Air

“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri.”

Peribahasa Melayu ini bukan sekadar susunan kata yang indah, tetapi tersirat pengajaran mendalam tentang perasaan cinta akan tanah air. Memang tidak dinafikan, negara luar tampak gah dengan ekonomi yang megah dan teknologi serba canggih. Pemikiran masyarakat yang progresif dan terbuka serta budaya kontemporari mereka disifatkan maju dan sesuai dengan keperluan masa kini. Hal ini membentuk tanggapan seolah-olah negara luar dan masyarakatnya disirami hujan emas, ibarat sebuah kehidupan tanpa cacat cela.

Negara kita pula sering digambarkan dengan pelbagai liku, cabaran dan rintangan yang berpanjangan. Isu ketidaktentuan ekonomi, ketidaksefahaman politik, perbezaan budaya dan sentimen perkauman ada kalanya mengundang konflik sesama kita. Ibarat hujan batu yang membekaskan luka dalam kalangan kita.

Namun begitu, di sebalik segala kekangan tersebut, kita seharusnya sedar bahawa inilah bumi tempat kita berpijak. Di sinilah juga akar yang membentuk jati diri dan identiti bangsa Malaysia. Tidak kiralah sama ada orang Melayu, Orang Asli, Cina, India mahupun peribumi Sarawak serta Sabah, mereka semua merupakan bangsa Malaysia. Tanpa tanah air ini, kita ibarat pohon tanpa akar: rapuh dan mudah rebah dipukul badai dunia.

Tidak kira betapa indahnya negeri orang, tanah air sendiri tetap memiliki nilai tersendiri yang tiada tandingan. Tanah air ini merupakan tempat lahirnya bangsa kita, bahasa kita, budaya kita dan segala kenangan yang menjadi sebahagian daripada diri kita sebagai bangsa Malaysia.

Sesungguhnya, peribahasa ini mengajak kita agar tidak melupakan asal usul dan tidak memandang mudah terhadap tanah air sendiri, hanya kerana melihat kilauan emas di negeri orang. Emas tidak menjamin kasih sayang, dan kemewahan tidak menjanjikan rasa kepunyaan. Di bumi sendirilah kita bebas menjadi diri sendiri, menghargai warisan nenek moyang dan berbakti kepada tanah yang telah membesarkan kita.

Peribahasa ini juga mengingatkan kita bahawa bulan Ogos semakin menghampiri. Bulan yang cukup keramat buat semua rakyat Malaysia. Setiap tahun apabila bulan Ogos tiba, suasana negara berubah dengan dipenuhi warna-warni Jalur Gemilang yang berkibar megah. Menandakan peristiwa penting yang membawa kepada kelahiran sebuah negara baharu, iaitu kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Menyelusuri Perjalanan Kemerdekaan

Di sebalik sorak-sorai dan kemeriahan sambutan, kita wajar menyelami kembali sejarah perjalanan negara tercinta dalam mencapai kemerdekaan. Menyedari betapa sukarnya perjuangan para pejuang terdahulu, kita juga harus menilai sejauh mana semangat patriotik dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia pada hari ini.

Kemerdekaan negara kita bukanlah datang bergolek begitu sahaja. Kemerdekaan merupakan satu proses panjang yang dicapai hasil daripada titik peluh dan pengorbanan para pejuang bangsa. Sebelum 31 Ogos 1957, Tanah Melayu melalui episod penjajahan yang begitu lama – bermula dengan Portugis di Melaka pada tahun 1511, disusuli Belanda, British, Jepun dan kembali semula di bawah British selepas Perang Dunia Kedua.

Selepas Perang Dunia Kedua, rakyat mula sedar betapa pentingnya kebebasan. Tindakan pihak British yang memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946 menyebabkan orang Melayu bangkit menentang. Orang Melayu menentangnya kerana di bawah Malayan Union, Raja-raja Melayu kehilangan kuasa sebagai pemerintah yang selama ini menaungi masyarakat Melayu. Bahkan syarat kewarganegaraan yang terlalu longgar bagi orang luar menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat tempatan. Penentangan terhadap Malayan Union ini membawa kepada pembentukan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946, menandakan permulaan gerakan nasionalisme yang semakin kuat untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah. Akhirnya Malayan Union dibatalkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Menjelang 1950-an, parti-parti politik tempatan mula bekerjasama dengan kepimpinan tokoh-tokoh tersohor seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan. Kemenangan besar Parti Perikatan dalam pilihan raya 1955 (51 daripada 52 kerusi) membuktikan kemampuan anak tempatan mentadbir tanah sendiri. Pada September 1953, Parti Perikatan gabungan UMNO, Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) mula mengorak langkah memperjuangkan kemerdekaan melalui rundingan dengan British. Rundingan demi rundingan diadakan; isu-isu berkaitan tarikh kemerdekaan, perlembagaan, hak Raja-raja Melayu, kedudukan orang Melayu, kerakyatan bukan Melayu dan hubungan dengan Komanwel dibincang dan diperhalusi.

Pada 8 Februari 1956, termeterailah Perjanjian London yang akhirnya membawa kepada pengisytiharan keramat di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Laungan “Merdeka!” sebanyak tujuh kali oleh Tunku Abdul Rahman masih segar dalam ingatan rakyat, menjadi simbol kebangkitan bangsa Malaysia.

Bak kata peribahasa, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Negarawan kita meninggalkan legasi yang tidak ternilai hasil pengorbanan mereka. Tunku Abdul Rahman yang digelar Bapa Kemerdekaan merupakan contoh negarawan berjiwa rakyat. Sebagai contoh, Tunku memerlukan dana besar untuk menghantar delegasi Perikatan ke London bagi rundingan kemerdekaan. Beliau sanggup menjual rumah peribadi dan sebahagian harta sendiri untuk menampung perbelanjaan rombongan. Ini jelas menunjukkan tekad beliau bukan sekadar politik, tetapi pengorbanan peribadi. Malah dalam pertemuan di Lancaster House, London, Tunku dikatakan pernah mengetuk meja dengan penumbuk apabila pihak British cuba melengah-lengahkan proses memberikan kemerdekaan. Sikap beliau yang biasanya tenang berubah menjadi tegas pada ketika itu, sehingga mengejutkan wakil British.

Tun Tan Cheng Lock pula memperjuangkan penyertaan masyarakat Cina dalam pembentukan negara merdeka. Sama seperti Tunku, beliau turut menggunakan sumber peribadi MCA untuk membiayai rombongan dan kempen menyedarkan rakyat tentang kepentingan kemerdekaan. Tun V. T. Sambanthan pula memastikan kaum India turut serta dalam perjuangan ini. Sewaktu di London, Tun V. T. Sambanthan menyatakan dengan jelas bahawa masyarakat India setia kepada Tanah Melayu walaupun ramai ketika itu masih berstatus sementara.

68 Tahun Merdeka: Makna Patriotisme Moden

Bersempena dengan ulang tahun kemerdekaan yang ke-68 pada tahun ini, kita perlu sedar bahawa semangat patriotik bukan semata-mata mengibarkan bendera atau menyanyi lagu kebangsaan. Sebaliknya kita perlu menjaga keamanan, menghormati undang-undang dan saling menghargai kepelbagaian kaum.

Demi memelihara keamanan dan keharmonian, kita harus menolak sebarang bentuk provokasi perkauman dan ekstremisme. Jangan mudah terpengaruh dengan perbuatan segelintir yang cuba memecah-belahkan kita. Kita julang tinggi bahasa kebangsaan, bahasa Melayu, seiring dengan penguasaan bahasa-bahasa lain untuk kemajuan global.

Sebagai warganegara yang cemerlang, setiap daripada kita sewajarnya menyumbang kepada pembangunan negara, walaupun tidak seberapa, sama ada melalui bidang pendidikan, ekonomi, teknologi atau sukarelawan masyarakat. Inilah cara sebenar kita menunjukkan perasaan cinta yang mendalam terhadap tanah air. Generasi hari ini perlu menghargai usaha mereka bukan sekadar melalui sambutan simbolik, tetapi dengan menghayati nilai perpaduan, toleransi dan muafakat yang menjadi asas kejayaan rundingan kemerdekaan.

Tema Malaysia Madani: Rakyat Disantuni

Tema “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni” dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan pada tahun ini. Tema ini amat bersesuaian dengan konsep Malaysia MADANI yang dilaungkan oleh Perdana Menteri ke-10, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dalam konsep Malaysia MADANI, masyarakat dilihat sebagai unit penting dalam sesebuah negara. Sesebuah negara mampu mencapai kestabilan politik dan pembangunan yang dihasratkan sekiranya masyarakat dibina dan dipupuk dengan keterangkuman nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan keadilan. Kesejahteraan tidak lagi bergantung kepada sebanyak mana jalan raya atau bangunan pencakar langit dibina, tetapi lebih terarah kepada kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Tema “Rakyat Disantuni” juga membuktikan bahawa kerajaan peka terhadap kebajikan rakyat Malaysia. Sejak kerajaan MADANI ditubuhkan, banyak langkah proaktif dilaksanakan demi memastikan kesejahteraan dan kesentosaan rakyat Malaysia. Dengan berpegang pada konsep ini, kerajaan berusaha memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara dan terjamin. Antaranya termasuklah meningkatkan pendapatan isi rumah B40 dan M40, menstabilkan harga barang, subsidi bersasar dan bantuan tunai, program rumah mesra rakyat dan perumahan mampu milik, penekanan kepada pendidikan percuma berkualiti, menaik taraf sekolah daif serta memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional  (TVET) dan pembelajaran digital.

Sebagai rakyat Malaysia, kita sewajarnya bersyukur atas inisiatif yang diambil oleh kerajaan MADANI untuk kesejahteraan rakyat. Seiring dengan semangat tema “Rakyat Disantuni”, menjadi tanggungjawab kita sebagai warganegara untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan MADANI. Hanya dengan cara inilah dasar pembangunan negara yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar. Sokongan padu daripada kita semua boleh disifatkan sebagai satu bentuk patriotisme moden dalam melestarikan kestabilan negara tercinta.

Pendek kata, bulan Ogos seharusnya menjadi medan refleksi untuk setiap rakyat Malaysia. Kemerdekaan yang dicapai lebih 68 tahun lalu bukanlah tiket untuk kita leka dan alpa, tetapi amanah untuk kita jaga bersama-SAMA demi bangsa Malaysia. Marilah kita hayati semangat patriotik, bukan hanya pada bulan Ogos tetapi sepanjang hayat. Sebuah negara yang harmoni dan sejahtera merupakan habuan yang tidak ternilai buat rakyat yang cinta akan tanah airnya.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi