Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap kali menjelang Hari Kebangsaan, laungan Merdeka berkumandang di seluruh pelosok tanah air, iaitu mengingatkan kita kepada pengorbanan generasi terdahulu dalam menuntut kebebasan. Namun begitu, dalam era teknologi dan media sosial pada hari ini, timbul satu persoalan yang mempersoalkan adakah kita benar-benar merdeka? Adakah kebebasan pada hari ini terutamanya dalam dunia digital membawa makna kemerdekaan, atau kita sedang menjadi tawanan kepada kebencian, penghinaan dan fitnah yang berleluasa dalam ruang siber?
Dalam ruang maya, ramai yang merasakan diri mereka bebas untuk bersuara, namun kebebasan ini sering disalah tafsir dan disalahgunakan. Media sosial yang sepatutnya menjadi medan perkongsian ilmu dan penyebaran mesej positif kini bertukar menjadi gelanggang perbalahan, penghinaan dan kecaman. Fenomena buli siber, penyebaran maklumat palsu, serta tindakan membongkar data peribadi tanpa izin (doxing) telah menjadi wabak baharu yang mencabar keharmonian masyarakat. Isu ini merujuk tindakan mendedahkan alamat rumah, nombor telefon atau butiran peribadi mangsa secara terbuka, menyebabkan mereka terdedah kepada ancaman di dunia sebenar.
Tahun lepas (2024) sahaja, negara dikejutkan dengan berita pemergian seorang pempengaruh media sosial Tik Tok,yang menamatkan riwayatnya selepas menjadi mangsa kecaman dan ugutan pelayar media sosial. Beliau menerima komen bersifat lucah, ancaman rogol dan penyalahgunaan gambarnya dalam media sosial sehingga mengalami kemurungan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 509 kerana penghinaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyebaran kenyataan jelik. Namun begitu, hukuman yang dijatuhkan ke atas pelaku disifatkan sebagai denda kecil, sehingga membangkitkan rasa tidak puas hati masyarakat dan mendesak pihak yang berkenaan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap penjenayah siber.
Dalam tahun yang sama, negara turut menyaksikan beberapa orang selebriti tanah air yang menjadi mangsa ancaman rogol, komen berunsur lucah, dan penghinaan tanpa sebab. Kes seperti ini menunjukkan bahawa betapa seriusnya isu kebencian digital yang semakin menular. Apakah nilai kemerdekaan jika ruang siber yang kita huni dipenuhi dengan kebencian?
Fenomena echo chamber atau gelembung gema semakin memburukkan keadaan. Echo chamber merujuk situasi apabila seseorang hanya terdedah kepada pandangan yang serupa dengan pegangan mereka sendiri dalam media sosial. Algoritma platform cenderung menunjukkan kandungan yang menyokong kepercayaan sedia ada pengguna, menyebabkan mereka tidak melihat pandangan yang berbeza. Akibatnya, mereka menjadi semakin yakin dengan pendirian sendiri, menolak perbincangan sihat, dan mudah menghukum sesiapa yang berbeza pandangan.
Statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) amat membimbangkan. Lebih 8,756 kandungan buli siber telah dipadamkan oleh pihak berkuasa sepanjang tahun 2024, menunjukkan peningkatan ketara sebanyak lima kali ganda berbanding dengan tahun sebelumnya. Menurut laporan sebuah badan antarabangsa, Malaysia kini berada dalam kelompok negara dengan insiden buli siber tertinggi di dunia. Lebih membimbangkan, sebahagian kes bunuh diri dalam kalangan belia negara ini dikaitkan dengan tekanan akibat serangan emosi dalam media sosial.
Menyedari ancaman ini, kerajaan telah menggubal beberapa undang-undang baharu. Akta Keselamatan Siber 2024 diperkenalkan untuk memperkukuh aspek keselamatan dalam talian, termasuklah pencegahan buli siber dan doxing. Pindaan terhadap Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 memperkenalkan seksyen baharu yang mengenakan hukuman lebih berat terhadap kesalahan buli siber mula dikuatkuasakan pada tahun ini (Julai 2025). Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 turut telah dipinda, menaikkan penalti terhadap penyalahgunaan media sosial. Syarikat teknologi gergasi seperti Meta, X (sebelum ini Twitter) dan Telegram diarahkan mematuhi peraturan tempatan bagi melindungi pengguna di Malaysia.
Malah, sebuah Mahkamah Tinggi baru-baru ini telah membenarkan injunksi terhadap sebuah platform popular kerana gagal menangani kandungan berbahaya dan buli siber. Program advokasi seperti “Klik dengan Bijak” yang diperkenalkan MCMC pula giat dilaksanakan di sekolah bagi mendidik generasi muda tentang etika dan keselamatan dalam talian.
Walau bagaimanapun, undang-undang dan kempen kesedaran semata-mata tidak mencukupi. Merdeka sebenar tidak hanya terletak pada kebebasan bersuara, tetapi juga pada kemampuan menggunakan kebebasan itu dengan penuh tanggungjawab dan empati. Media sosial seharusnya menjadi ruang untuk membina platform sosial yang mengetengahkan aspek positif, bukannya meruntuhkan masyarakat.
Kebebasan tanpa batas hanya akan membawa kepada anarki, manakala kebebasan yang diiringi rasa tanggungjawab akan melahirkan masyarakat yang berakhlak. Kemerdekaan digital memerlukan sekatan atau kawalan yang ketat daripada pihak berkuasa, agar bebas daripada elemen kebencian yang memusnahkan nilai kemanusiaan. Sudah tiba masanya kita menjadi warga siber yang merdeka dari segi akal dan hati, serta berperanan membina ruang siber yang lebih harmoni.
Merdekakah kita? Jawapannya terletak kepada setiap lapisan masyarakat yang mengendalikan papan kekunci dan skrin di hadapan mata pada setiap hari.